Marhaban ya Ramadan, selamat datang bulan suci Ramadan. Kata-kata
itu yang seringkali diungkapkan oleh umat Islam disaat Ramadan datang menyapa.
Di masjid-masjid, di setiap saluran televisyen,
di corong-corong radio sehingga ada dikalangan kita yang menjadikan sebagai
nada dering di telefon bimbitnya. Ungkapan selamat datang tampil dengan
berbagai ekspresi yang menarik. Marhaban ya Ramadan bukanlah sekadar ucapan
selamat datang yang terlontar dari mulut semata-mata. Kerana bulan yang penuh
berkat ini sepatutnya disambut dengan penuh gembira dan penuh bahagia yang
diekspresikan dengan hati , tetapi kebahagian hati yang diekspresikan mestilah dengan
perubahan tindakan dan perilaku bukan sekadar luahan di mulut sahaja.Ibadah
puasa di bulan suci ini yang diwajibkan untuk orang-orang beriman di seluruh
dunia bukan hanya sekadar ibadah. Ibadah puasa di bulan Ramadan sangat berbeza
dengan ibadah yang lain. Ini kerana puasa adalah ibadah ‘rahsia’. Dalam erti kata
yang lain ia bermaksud seseorang itu berpuasa ataupun tidak,hanyalah orang
berpuasa itu sendiri dan Allah sahaja yang mengetahuinya.
Banyak nilai yang boleh kita petik dalam ketika mana kita menjalankan
ibadah puasa. Nilai sosial, perdamaian, kemanusiaan, semangat gotong royong,
solidariti, kebersamaan, persahabatan dan semangat perpaduan. Ada pula manfaat
lahiriah seperti pemulihan kesihatan, peningkatan intelektual, kemesraan dan
keharmonian keluarga, kasih sayang dan penyempurnaan nilai keperibadian
lainnya.Dari sudut kerohanian, puasa mampu meningkatkan kecerdasan minda,
ketaqwaan dan penjernihan hati nurani dalam berdialog dengan al-Khaliq.
Semuanya adalah nilai-nilai positif yang terkandung dalam puasa yang sepatutnya
tidak hanya kita fahami sebagai wacana yang memenuhi intelektual kita, namun
menuntut kesugguhan dan penghayatan dalam setiap aspek kehidupan kita. Malah
yang lebih penting dalam menyambut bulan Ramadan tentunya adalah bagaimana kita
merancang langkah strategi dalam mengisinya agar mampu menghasilkan nilai-nilai
positif dan hikmah yang terkandung dalamnya. Jadi, bukan hanya sekadar memikirkan
menu untuk berbuka puasa dan sahur sahaja.
Namun, kita juga seharusnya perlu menyusun menu rohani dan ibadah
kita. Kalau direnungkan sejenak, menu berbuka puasa dan sahur seringkali lebih
istemawa jika dibandingkan dengan makanan seharian kita. Oleh itu, kita harus
menyusun menu ibadah di bulan suci ini dengan kualiti yang lebih baik dan
bermutu tinggi daripada hari-hari biasa. Dengan kesungguhan kita menyusun menu
ibadah di bulan penuh barakah ini, maka kita benar-benar dapat merayakan
kegemilangan bulan kemenangan ini dengan lebih rasa gembira dan syukur.Ramadan
adalah bulan pencetus semangat dalam beribadah. Bulan yang mengisi kembali
bateri jiwa setiap muslim. Ramadan sebagai bulan pesta ibadah harus kita
maknainya dengan semangat pengamalan ibadah yang sempurna. Ramadan juga
dianggap sebagai bulan kemenangan yang harus kita maknainya dengan menghadirkan
kemenangan dalam melakukan kebaikan merentasi segala keburukan. Ramadan juga
adalah sebagai bulan petunjuk yang seharusnya kita menghayatinya dengan
semangat mengajak kepada jalan yang benar, kepada ajaran Al-Qur'an dan ajaran
Nabi Muhammad Saw.
Ramadan juga dilihat sebagai bulan kesatuan dan perpaduan yang
harus kita maknai dengan mempromosikan perdamaian,perpaduan dan bukan dengan
berbalah sesama sendiri yang tidak tahu kesudahannya. Ramadan adalah sebagai
bulan perjuangan, seharusnya kita realisasikan dengan perjuangan menentang kezaliman
dan ketidakadilan di muka bumi ini. Ramadan sebagai bulan keampunan,
semestinya kita menghiasi diri dengan meminta dan memberikan ampunan. Ramadan
juga sebagai bulan kesabaran, maka kita harus melatih diri untuk sabar dalam
menjalani hidup.Semoga dengan kedatangan bulan ramadan al mubarak pada kali
ini dapat kita sama-sama merebut peluang yang telah diberikan dan di sediakan
oleh Al-Khaliq. Semoga kita dapat mengisi Ramadan pada kali ini tidak hanya dengan
kuantiti harinya sahaja, namun lebih dari pada itu kita juga mempertingkatkan kualiti ibadah puasa kita.Marhaban ya Ramadan.
No comments:
Post a Comment