Monday, 28 January 2013

HAKIKAT SEBUAH KEHIDUPAN


Kadangkala, dalam menjalani kehidupan di dunia ini, kita perlu sentiasa diingatkan supaya kembali semula pada nilai kemanusiaan.Semoga jiwa kotor kita dapat diredakan daripada taufan kehidupan ini.Kegagalan mengingati asas menyebabkan kita kehilangan kompas dalam kembara hidup.Oleh itu,keluar seketika daripada kegawatan dan kerunsingan isu ketamakan dan kerakusan dunia dengan kembali kita renung sejenak pada hakikat sebuah perjalanan sebagai seorang hamba-Nya.

Walaupun pada pandangan sesetengah ilmuan, perbincangan berkenaan hari akhirat bagaikan kurang standard namun mereka tetap akan mati dan kehidupan ini hanya kehidupan yang fana bukannya baqa’.Kehidupan kita akan berakhir tanpa tarikh yang dapat diberitahu oleh sesiapa pun. Sementara kita manusia sering lupa akan ada kehidupan yang abadi di sana.


Kita semua sering lupa dan leka dengan hakikat ini.Malah kita lupa bahawa kita sedang mengembara menuju ke satu destinasi.Hidup ini menjadi susah apabila kita terlupa,ataupun tidak tahu ke mana destinasi akhir yang hendak dituju.Kemanakah hala tuju kita mahu perjalanan hidup ini berhenti ? Di mana kompas perjalanan hidup kita? Ramai yang tahu bila ditanya tapi terlupa apabila diburu dengan urusan dunia.Kita yang mengaku beriman kepada Allah juga seringkali terlupa dalam mengharungi perjalanan ini.Hakikatnya,tiada siapa yang boleh lari dari sebuah kematian yang merupakan kiamat kecil bagi kita.

Wednesday, 23 January 2013

BICARA KASIH


Kasihku dengarlah hatiku berbicara
Izinkan diriku bertanya
Mampukah cintaku terus bersemi
Mengundang restu Ilahi
Adakah bahagia yang dicari
Menjadi satu realiti disuatu hari nanti

Ku sedari kekurangan ini
Ku insafi kelemahan diri
Ku akui kedaifan diri ini
Namun disebalik kelemahan dan kekurangan Ku ini,ku ingin menyunting dirimu
Menjadi permaisuri hatiku
Menjadi seorang ibu buat anak-anakku

Kasih !!! ingin ku khabarkan padamu…
Wanita itu adalah hiasan dunia
Seindah hiasan adalah wanita solehah
Yang akan membahagiakanSyurga di dalam rumah tangga

Hanya itu yang kuinginkan
Dari insan yang amat kusayang
Damaikanlah resah hatiku
Aku rindu kasih dan sayangmu
Terimalah seadanya
Akulah hiasan pelamin hidupmu


Dan seandainya tiada jodoh kita bersama
Untuk ke gerbang mahligai bahagia
Ku akur dan ku pasrahkan segalanya
Kerana takdir yang akan menentukan
Ajal,maut jodoh pertemuan di tangan-Nya.

Sunday, 6 January 2013

CINTA ITU ADALAH ANUGERAH ALLAH


Maha suci Allah yang mengurniakan pelbagai kenikmatan kepada sekalian hamba-Nya. Allah Maha Mengetahui yang mengurniakan cinta kepada kalangan manusia. Hidup manusia tidak terasa lengkap tanpa kehadiran cinta. Itu satu hakikat dengan fitrah insan yang sentiasa ingin disayangi dan menyayangi. Allah tidak melarang hamba-Nya bercinta. Malah, Dia yang mengurniakan perasaan itu dalam hati setiap manusia. Beruntunglah bagi sesiapa yang menyucikan cinta.

Cinta nikmat bagi hati setiap insan. Tanpa cinta, manusia akan terus hidup dalam kesakitan dan kesukaran. Tanpa cinta, manusia akan saling benci membenci. Manusia akan hilang perikemanusiaan. Manusia akan sanggup menyakiti insan lain demi mencapai kepentingan diri. Justeru, sucikanlah cinta dan suburkanlah perasaan itu dengan takwa kepada Yang Maha Esa.

Cinta yang ditafsir sebagai kasih dan sayang, dianugerahkan sejak awal penciptaan manusia. Ketika Nabi Adam di dalam syurga yang penuh kenikmatan, masih terasa ‘kekosongan’ di hatinya. Lantas, Allah Yang Maha Mengetahui, segera menciptakan seorang perempuan, Hawa bagi mengisi kekosongan tersebut. Maka, terisilah keresahan dan kekosongan yang sebelum ini membelenggu jiwa Adam. Jelaslah, cinta sudah bermula sejak di syurga. Tanpa cinta, pasti akan ada kekosongan dalam jiwa manusia.

Syurga adalah matlamat setiap manusia yang beriman. Allah menjanjikan syurga kepada mereka yang mengamalkan segala perintah-Nya dan meninggalkan apa dilarang. Orang yang layak menghuni syurga adalah mereka dalam kalangan yang baik-baik iaitu para rasul, nabi, siddiqin, syuhada dan solihin. Pahala adalah mahar untuk memasuki syurga. Justeru, cinta juga boleh dijadikan alat untuk mencapai hasrat itu. Jadilah kita insan yang baik-baik agar tergolong dalam kalangan penghuni syurga.

Cinta dilahirkan di tempat baik (syurga), dianugerahkan Yang Maha Baik (Allah), dinikmati kali pertama oleh orang yang baik (Nabi Adam AS) dan diwariskan kepada orang-orang yang baik (para solihin). Cinta lahirnya di syurga dan akan berakhir di syurga. Cinta sesama manusia hanya alat untuk mencapai cinta Allah. Untuk menjaga kesucian cinta, jadikan cinta Allah sebagai dasar untuk mencintai manusia.

Cinta adalah ‘hadiah’ daripada Tuhan. Maka, kita perlu menghargai cinta dengan mendahulukan ‘pemberi’. Cinta bukanlah pendahulu bagi segala-galanya. Jangan taasub dengan cinta hingga merana jiwa dan lupa daratan. Peliharalah cinta kerana Allah. Sucikan cinta dengan perkara-perkara disukai Allah. Berkasih sayang sesama manusia kerana Allah. Bagaimanapun, jangan biarkan cinta pada manusia mendahului cinta pada Allah.

Sayangnya, dunia hari ini terlalu disemai dengan cinta abadi sesama manusia. Manusia yang sanggup lupakan keluarga dan sanggup mati kerana cinta. Manusia yang lumpuh seluruh jiwa kerana cinta. Sedangkan, Allah sepatutnya menjadi yang pertama dalam meraih cinta. Cinta sekadar alat pelengkap kekosongan jiwa, namun ia bukanlah segala-galanya.

Jangan biarkan jiwa terus hanyut kerana kekecewaan dalam cinta. Bacalah al-Quran kerana anugerah ketenangan jiwa dengan mengamalkannya adalah cinta daripada Allah. Begitu juga dengan amal ibadat lain. Jangan diabaikan kerana kita perlu cintai Allah melebihi segala-galanya. Ini termasuk mendirikan solat kerana menerusinya, kita mampu menghindarkan diri kita daripada ingkar terhadap ketentuan Allah dan dikurniakan ketenangan dalam hati.


Sebagaimana kurniaan lain, cinta dicetuskan dengan beberapa peraturan. Peraturan inilah yang mendorong manusia agar berada di landasan yang benar. Tanpa landasan ini, manusia akan tersasar kerana mengejar cinta. Ia adalah syariat. Hukum halal (wajib), haram, sunat, makruh dan harus. Jangan diabaikan yang wajib kerana cinta. Jauhilah yang haram kerana yang kemanisan dengan menempuh yang haram, maka akan berakhir dengan kepahitan. Bagi yang makruh dan harus, gunakanlah pertimbangan yang waras untuk melakukan atau meninggalkannya.


Justeru, hadapilah setiap ujian dalam percintaan itu dengan tenang kerana yang terbaik sudah tentulah datangnya daripada Allah.Percayalah CINTA itu adalah ANUGERAH TERISTIMEWA dari Allah S.W.T !!!!