Ke mana perginya hari-hari gelap itu? Hilangnya tidak disedari.
Lesapnya tidak mengesankan lagi. Alhamdulillah. Akhirnya, detik-detik hitam itu
sudah berlalu.Pasti. Semua orang pastinya pernah diuji dengan pelbagai jenis dugaan.
Semua tak terkecuali.Namun, tanda perhatian dan kasih sayang Allah pada
hamba-hamba-Nya ini seringkali disalah tafsirkan sebagai kemusnahan, disalah
ertikan sebagai perhentian terakhir hidup bagi mereka yang lemah akal dan
jiwanya.Tidak, aku tidak akan sekali-kali menyalahkan mereka. Lumrah hidup
selagi masih bernyawa,selagi itu kita akan diuji atas nama perjalanan sebuah
kehidupan.Dulu, ada satu kisah tentang rama-rama. Sering dikisahkan cerita
ini pada mereka yang dirundum kesedihan.Dengan kisah ini jualah, terselit
sekelumit harapan untuk menyisip secebis kekuatan buat mereka yang lemah.
Memang,
kita tidak mampu menyanyikan lagu 'Semangat Yang Hilang' untuk mengobarkan
kembali semangat mereka, kita juga tidak dapat memberi ubat untuk menghilangkan
ingatan-ingatan buruk itu, malah kita tidak akan mungkin punya kuasa ajaib
untuk mengubah takdir jika bukan diri mereka sendiri yang ingin bangkit
mengubah segalanya.Rama-rama sebenarnya cukup simbolik. Ia lambang perjuangan hidup.
Ia terbang mengibarkan kepak warna-warninya yang indah dan memukau setiap mata
yang memandang.Namun, dulunya rama-rama ini tak lebih dari seekor beluncas.Ya,
seekor beluncas yang dibenci, dianggap perosak dan sering dijauhi. Namun,
kemudian berubah menjadi kepompong sebelum bertransformasi menjadi seekor
rama-rama yang cantik.Kisah rama-rama ini kisah benar, bukan hikayat dongeng
penuh fantasi tetapi lebih kepada teori logik, sebuah cerita saintifik.
Pernah, terdapat sekumpulan saintis sedang membuat kajian terhadap
rama-rama. Mereka memerhatikan dengan teliti proses bagaimana seekor rama-rama
keluar dari kepompongnya. Ia kelihatan seperti kepayahan, terseksa untuk
mengeluarkan diri.Berjam-jam lamanya, rama-rama ini mencuba, mencuba, dan terus
mencuba untuk keluar dari kepompong yang kecil itu.Akhirnya, ia berhasil.
Rama-rama ini pun terbang ke sana dan ke mari seolah-olah meraikan
kebebasannya.Saintis-saintis muda ini kemudian beralih kepada rama-rama yang
lain.Mereka sepakat untuk membantu mengeluarkan rama-rama ini dari kepompongnya
dengan menggunting kepompong tersebut.Rama-rama ini berhasil 'di'keluarkan
dengan mudahnya.Namun, tahukah kamu apa yang terjadi dengan rama-rama
ini?
Tidak, ia tidak mati. Ia masih hidup, ia meneruskan hidupnya dalam keadaan
cacat seumur hidup.Ia tidak berupaya untuk terbang, tidak akan pernah mampu
terbang seperti layaknya. Bukankah ini lebih malang?Ternyata, segala kesukaran
serta kepayahan ketika berusaha keluar dari kepompong itulah yang memberi
kekuatan bagi seekor rama-rama untuk terbang.Hakikatnya, apa yang tidak membunuh kita itulah yang melangsungkan
kehidupan ini. Kita tidak akan kenal bahagia sebelum melalui sengsara, tidak
kenal cinta sebelum faham erti benci, tidak menghargai senyuman tanpa air mata
pedih.Kitaran hidup ini perlu didalami, jatuh bangunnya, turun naiknya, takdir
dan karma. Tentu, kata–kata ini sering kita dengar di mana-mana, "setiap
yang berlaku pasti ada hikmah disebaliknya".Ini bukan kata-kata kosong
yang palsu. Bukan. Tetapi, jangan pula tanyakan pada diri ini, bila dan bagaimana?Tetapi
bersabarlah. Airmata tidak abadi, kering suatu masa nanti. Percayalah,
keajaiban itu pasti ada.Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan setiap yang
berlaku.
No comments:
Post a Comment