Tuesday, 9 September 2014

ORANG BIJAK MENGINGATI MATI

Kita semua yang masih hidup di atas muka bumi ini mengimani bahawa mati itu adalah benar. Baik Muslim, kafir, munafiq, mahupun atheist, mereka semua tahu yang satu hari nanti mereka pasti akan mati. Mengingati mati merupakan satu tuntutan dalam Islam.Mati adalah permulaan perjalanan di alam barzakh  sebagaimana kelahiran itu merupakan permulaan perjalanan kita di alam dunia dan ia akan terhenti samada di syurga atau neraka. Kita biasa mendengar bahawa maut itu menyakitkan. Hakikatnya?? Tiada siapa yang mengetahui melainkan mereka yang telah pergi meninggalkan kita. Mereka tidak mungkin kembali untuk menemui dan memberitahu kita pengalaman dahsyat yang mereka lalui. 




Kita yang masih hidup ini tidak tahu bagaimanakah rasanya mati. Yang telah pergi pula tidak dapat memberitahu kita betapa dahsyatnya maut itu. Maka, satu-satunya cara untuk kita yang masih hidup ini untuk mengetahui misteri mati adalah melalui apa yang dikhabarkan oleh Allah dalam al-Quran dan Nabi S.A.W dalam hadis-hadis yang sahih. Tidak ada seorang manusia pun di dunia ini yang menyukai mati. Orang yang beriman tidak suka kepada kematian kerana bimbang adakah dia telah mencukupkan bekalan untuk menghadapi hari perhitungan, risau akan amalannya yang kurang di sana sini. Orang kafir lebih-lebih lagi tidak menyukai mati bahkan mereka membencinya kerana mati memutuskan mereka daripada syahwat dunia, harta dan keluarga. Kalaulah ada ubat dapat mengubati mati! 





Walau tiada manusia yang menyukai mati, tapi tidak ada siapa pun yang dapat melarikan diri daripadanya apabila masa itu tiba.Wahai manusia yang alpa dan leka, maut sudah menunggu kita di hadapan, dan kini kita sedang berjalan menujunya. Oleh itu, bersedialah! Tidak perlu degree, mahupun MA, ataupun PhD. Ingatlah mati dan sentiasalah bersedia untuknya, maka jadilah kita orang yang bijak. Disebutkan dalam satu hadis, Nabi S.A.W ditanya : Siapakah manusia yang paling bijak? Baginda S.A.W berkata : “Mereka yang paling banyak mengingati mati, dan yang paling banyak membuat persediaan untuknya. Itulah orang yang bijak, mereka pergi dengan kemegahan dunia dan kemuliaan akhirat’. Mati merupakan musibah paling besar. Dengan matilah ditutupnya lembaran amalan kita dan terkuncilah sudah pintu taubat. Maka siapalah yang lebih bijak dari manusia yang mempersiapkan dirinya untuk itu.

No comments:

Post a Comment