Allah SWT itu sifatnya Maha Sempurna. Berbanding hamba yang
sifatnya serba kekurangan dari segenap sudut. Namun adakalanya manusia sering
lupa bahawa dia hanyalah makhluk yang dicipta. Oleh itu pasti wujudnya pencipta
baginya. Dalam kepesatan dunia masakini.,kesibukkan manusia mengejar teknologi,
manusia sering lalai dan alpa akan kemampuan dan kehendak dirinya. Sehingga
membuat kita terlupa adanya pencipta dikalangan diri yang hina ini. Kita
seringkali terbiasa dengan situasi perbualan begini " Karim tu baru keluar
pusat serenti kan?? Buat baik pulak rajin ke surau! Sekejap ja tu, tak lama
lagi balik ke lorong gelap tu!. Layakkah manusia menghukum? Kadangkala
perbualan di atas seperti biasa didengari bahkan mungkin kita sendiri yang
mengucapkannya. Tanpa disedari, diri yang lemah telah menghukum sesama hamba.
Sedangkan manusia itu sama tarafnya. Ada masanya melakukan kebaikan, ada
masanya pasti ada dosa yang tercalit di hati. Kerana manusia itu bukan sifatnya
ma'sum seperti para malaikat yang sentiasa bertasbih.
Bezanya tahap manusia itu ada peringkatnya. Jika hari ini kita
tertawa akan dosa dan kesilapan orang lain. Tidak siapa tahu kita akan diuji
lebih berat dari apa yang dilalui oleh mereka. Adakalanya ego manusia itu
membuatkan diri angkuh hingga terlupa dirinya juga akan diuji. Ego itu berjalan
seiring pula dengan nafsu. Jika nafsu tidak di kawal, musuhlah akan mengawalnya
sehingga menyebabkan perpecahan dan persengketaan dalam hidup manusia. Selain
al-Quran, hadith s.aw sebenarnya sudah memberikan jalan dan panduan buat kita
dalam menjalani kehidupan seharian,kehidupan bermasyarakat dan sebagainya.
Seperti halnya kali ini, Rasulullah s.a.w berpesan disebalik kata-katanya, agar
berikan peluang buat manusia yang pernah melakukan dosa atau kesilapan. Hamba
kepada Tuhannya sudah tentulah taubat yang selayaknya. Tetapi mengapa
kadangkala wujud hamba yang menghukum sesama saudaranya sendiri? Muliakah kita
dari Pencipta yang Maha Pengampun.
Justeru, Rasulullah s.a.w memberikan panduan agar setiap kesilapan
yang dilakukan manusia itu akan dapat dihapuskan dengan kebaikan. Berikan
peluang manusia perbaiki diri. Kerana itulah ujian buat dirinya. Itulah dugaan
buatnya, agar menuju setapak lagi hampir kepada Ilahi. Bantulah sesama hamba
dan berikan peluang. semoga ia akan meringankan jalan kita melalui ujian Allah.
Ujian dan dugaan pasti hadir. Allah dan para Rasul-Nya tidak pernah mengajar
manusia bersikap bongkak dan lupa diri. Kerana itu bukanlah sifat yang
selayaknya bagi hamba. Manusia itu sendiri saat lahirnya keluar dari tempat
yang hina. Apabila bibir mengucapkan iman kepada Allah dan rasul-Nya, itulah
tiket dan jalan yang dipilih untuk menjadi laluan ke akhirat. Oleh itu,
semestinya jalan yang dipilih itu Allah janjikan dengan ujian dan dugaan. Tiada jalan mudah untuk mendapat kemenangan.
Kerana bukan mudah mendapatkan sesuatu yang berharga. Manusia diuji dengan
kemampuannya. Allah juga tidak pernah menzalimi hambanya sedemikian.
Tatkala diuji, manusia hanya ada dua pilihan. Melaluinya dengan
sabar hingga meningkat imannya, atau melaluinya dengan putus asa dan akhirnya
kecewa dengan rahmat tuhan. Semestinya akan wujud dua jenis golongan dikalangan
hamba Allah di dunia. Ia membezakan antara dua jalan, sukar atau mudah
menggapai cinta Ilahi. Oleh itu, jika hari ini kita senang tanpa diuji,
bersyukur dan bersiap sedialah. Jangan pula tertawakan hamba yang diuji dalam
hidupnya. Ujian Allah buat kita belum tentu bagaimana, mungkin ringan dan tidak
mustahil lebih berat dari apa yang dilalui orang lain. Semaikan sayang sesama
makhluk cinta dan sayang Allah itu bersabit juga dengan apa-apa yang diciptakan
di dunia. Segala penciptaan di bumi bukanlah sia-sia tanpa manfaat padanya.Sematkan
rasa cinta dan sayang sesama manusia yang merupakan sebaik-baik ciptaan Allah.
Anggaplah kesilapan dan dosanya sebagai peringatan buat diri kita
yang mungkin terleka tanpa sedar. Mana mungkin kita membiarkan seorang sahabat
jatuh ke dalam gaung, selagi ada rasa sayang dan cinta kepadanya kerana Allah
ta'ala. Mudah-mudahan rasa sesama manusia itu menyampaikan kita kepada
pencipta. Sifat bersangka baik sesama manusia akan membuatkan hati lebih lapang
dan tenang. Kesempitan fikiran dan desakan nafsu akan terhindar dalam diri.
Dengan itu, amal ibadah juga mudah untuk dilaksanakan. Jika amal ibadah
sempurna tiadalah persengketaan dan perpecahan berlaku sesama manusia. Semoga
Allah menjadikan kita hamba yang sabar dan syukur di atas segala nikmat dan
ujian dari-Nya.
No comments:
Post a Comment