Belia merupakan antara aset terpenting negara bagi menyambung
warisan kepimpinan negara dimasa akan datang . Pemimpin datang dan pergi dengan
meninggalkan warisannya untuk disambung oleh bakal pemimpin yang akan mengambil
alihnya bagi meneruskan segala tanggungjawabnya untuk negara. Persoalannya ,
seramai mana belia yang mengambil tahu tentang hal ini ? Golongan belia
bukanlah satu golongan yang dipinggirkan atau golongan yang kurang penting
dalam pembangunan negara. Mereka bukanlah disisihkan. Malah mereka adalah satu
kumpulan tersendiri yang memerlukan pendekatan yang tersendiri. Ini
memandangkan kepada tahap perkembangan dan kemampuan mereka dalam mengharungi
kehidupan yang memerlukan pendekatan tertentu
Susah untuk kita mencari dan mengesan belia-belia yang benar-benar
mengambil tahu apa sahaja tentang negara termasuklah politik , ekonomi , sosial
dan seumpamanya . Ini adalah kerana sikap mereka yang tidak ingin mengambil
tahu atau menganggap ianya adalah sekadar hal yang remeh dan tidak mendatangkan
hasil untuk mereka.Hal politik dan ekonomi adalah perkara yang paling
merumitkan bagi mereka . Tidak semua minat berparti dan menyertai mana-mana
parti politik . Pada hari ini juga hanya segelintir sahaja aktivis politik dan
aktivis mahasiswa yang benar-benar aktif dan memperjuangkan yang ingin
diperjuangkan . Segalanya bermula dari sejarah . Seharusnya siapa yang harus
memainkan peranan ini ?
Oleh kerana itu kita sudah dididik dengan matapelajaran Sejarah
sejak dibangku sekolah lagi . Ditanam perasaan patriotik dan cinta kita akan
negara dan menerangkan bagaimana pemimpin terdahulu berusaha untuk memerdekakan
negara dan melindungi negara daripada ancaman musuh .Maka , generasi pada hari ini perlu menurunkan
ilmunya kepada generasi yang akan datang agar sejarah kita tidak terkubur .
Pelbagai cabaran yang dihadapi oleh belia pada masa kini . Cabaran-cabaran
inilah yang perlu dihadapi oleh belia secara realiti pada hari ini dan masa
akan datang seiring dengan persekitaran sosial dan peredaran zaman yang berubah
saban hari .
Pertamanya adalah cabaran teknologi maklumat . Setiap orang kini
boleh mengakses segala maklumat tanpa sempadan hanya dengan menggunakan jari
atau dalam erti kata lain adalah mendapatkan maklumat dengan mudah .
Kebaikannya sememangnya sangat banyak seperti menambahkan pengetahuan ,
mendapatkan maklumat isu-isu semasa dan maklumat awam . Semua ini berlaku
kerana dengan kecanggihan sistem yang dunia ada .Malah boleh dikatakan setiap
orang memiliki alat-alat canggih seperti komputer , telefon pintar dan
seumpanya yang mudah diakses dengan pelbagai pakej internet ataupun internet
tanpa wayar . Ianya memberi kesan yang amat ketara dalam hubungan antara
individu , kenegaraan , sosial , kewangan dan industri serta sebagainya . Begitu
juga dengan penipuan yang sudah pun wujud melalui sistem internet dan
keruntuhan moral dan sosial masyarakat akibat penyalahgunaan sistem yang sama.
Seterusnya , pemikiran dan budaya juga antara cabaran yang dihadapi
oleh pada masa kini. Pemikiran beberapa
individu terutamanya negara maju yang lebih bersifat mempengaruh dan menakluk
menjadi lebih dominan dalam alaf ini. Contoh seperti pemikiran globalisasi dan
isu hak asasi manusia . Sifatnya adalah subjektif dan sehingga menimbulkan
pergaduhan . Namun, masalah penerimaan
dalam keterpaksaan terus berlaku kerana kesan ancaman politik dan ekonomi serta
ketenteraan yang akan timbul kelak . Sebagai contoh seperti apa yang berlaku di
negara-negara seperti Russia-Ukraine , Syria , Libya , Mesir dan negara-negara
bergolak . Sementara pengaruh budaya lebih bersifat mempengaruh ekoran
kebebasan dan pengaruh media dan teknologi maklumat .
Akhir sekali , moral dan
sosial yang merupakan antara aspek yang semakin pudar dengan bertambah majunya
kehidupan mereka . Keselesaan, individualistik dan materialistik lebih
menguasai kehidupan mereka . Tahap kebergantungan kepada pemahaman moral dan
keagamaan terus longgar. Ini dapat
dibuktikan berikutan timbulnya beberapa gejala yang sememangnya dilarang keras
oleh ajaran agama. Maka , bersedialah kita wahai belia untuk terus
mempersiapkan diri kita dengan ilmu yang merupakan perisai diri agar kita dapat
berhadapan dengan cabaran-cabaran tersebut dengan bergaya . Sentiasa beringat
akan tanggungjawab kita sebagai hamba Allah SWT di dunia ini dan tanggungjawab
sebagai rakyat .InsyaAllah , semoga kita sentiasa dipelihara dan diampunkan
oleh Allah SWT daripada perkara-perkara yang dikeji olehnya serta Allah SWT
melindungi negara kita daripada anasir-anasir jahat dan fitnah .
No comments:
Post a Comment