Setelah
bertahun-tahun melalui pelbagai pengalaman dalam dunia sukarelawan dan
kerja-kerja kemasyarakatan, jarang sekali dapat ditemui seorang manusia yang
gemar mendengar kritikan dan teguran dari orang lain. Apatah lagi apabila ia
datang dari budak hingusan yang dianggap jauh lebih muda dan kurang makan garam
dari diri kita. Pepatah Cina ada menyatakan, mereka yang sentiasa memuji itu
adalah musuh kamu dan yang sentiasa mengkritik dan menegur itulah teman yang
sebenar. Persepsi kita terhadapa kritikan dan teguran adalah terlalu negatif.
Sehinggakan, kita menutup telinga kita daripada mendengar apa yang benar, dan
kita hanya suak mendengar puji-pujian dan kemasyhuran diri sendiri. Ia amat
berbahaya dalam urusan harian kita.
Secara tidak
langsung, kita sebenarnya mendedahkan diri kita untuk kesalahan dan dosa-dosa
yang lain seperti menghina, mengumpat, serta kadangkala menyebarkan fitnah dan
membuat tuduhan melulu.Antara kewajipan seorang Muslim kepada Muslim yang lain
adalah apabila mereka meminta nasihat, maka wajiblah kita untuk memberikan
nasihat. Itu menggambarkan betapa keperluan untuk mendengar kritikan adalah
penting dan mampu melahirkan seseorang yang berjiwa besar dan berfikiran
terbuka. Kehidupan ini penuh dengan teguran yang disampaikan oleh Allah s.w.t.
sendiri kepada manusia. Apabila jiwa ini kecil, pemikiran juga sempit,
akhirnya, teguran-teguran dari Allah s.w.t. hanya berlalu secara sia-sia dan
tidak dapat dilihat oleh mata hati kita. Ketika itu, akan matilah hati kita.
Terdapat beberapa
cara untuk kita melatih diri untuk sentiasa berlapang dada dalam menerima
sebarang kritikan. Pertama, rinduilah kritikan dan nasihat tersebut.
Sentiasalah mencari cara untuk memperbetulkan diri kita. Buangkan anggapan
bahawa diri kita yang terbaik dan sentiasa ingat bahawa hidup ini mesti terus
belajar. Kedua, cari dan bertanyalah. Jadikanlah bertanya serta meminta nasihat
ini sebagai satu kebiasaan. Wajib bagi seorang Muslim untuk memberikan nasihat
kepada Muslim lain yang meminta nasihat. Ketiga, nikmati kritikan. Apabila
menerima teguran, senyum dan fikirkan apa yang baik disebalik apa sahaja
teguran yang diberikan. Ingat selalu, peringatan itu bukan hanya datang dari
seorang manusia, tetapi adalah dari Allah s.w.t. yang sentiasa kasih dan sayang
kepada kita.
Keempat, syukurilah.
Maka, bersyukurlah apabila masih ada orang yang mahu menegur kita. Jika tidak,
maka mungkin Allah s.w.t. sengaja membiarkan kita membuat dosa dan menyimpan
kemurkaan-Nya kepada kita. Sebaliknya, apabila ditegur, itu tanda Allah s.w.t.
menyimpan kasih sayang-Nya untuk kita. Kelima, menilai diri. Berlaku jujurlah
dengan diri sendiri. Setiap kelemahan perlu diakui, itu bukan tanda kalah, tetapi
mengalah. Mengalah dengan keegoan diri yang tidak mahu diperbaiki. Keenam,
memperbaiki diri. Kemudian, lakukanlah islah atau pembaikan. Ini proses penting
yang membolehkan kita menjadi orang yang beruntung, hari ini lebih baik dari
semalam. Terakhir,membalas budi. Ucapkanlah terima kasih kepada yang menegur
dan sentiasalah memberikan hadiah kepada mereka yang kerapkali menegur kita.
Berfikirlah positif. Mereka pasti ingin melihat kita lebih baik atau Allah
s.w.t. pasti memberikan pendidikan yang terbaik untuk kita. Pecayalah dan
jangan berputus asa dengan Allah s.w.t.
No comments:
Post a Comment