Perasan atau tidak, dunia
hari ini semakin pantas bergerak dan kadangkala kita terlepas dari kawalan dan
hanyut buat seketika sebelum terdampar dan kembali kepada kehidupan itu semula.
Kehidupan hari ini menjadikan semua manusia perlu hidup pantas, tangkas, cekap,
cepat dan pelbagai lagi istilah yang sesuai. Ketangkasan dan kecepatan ini
mengundang kepada kurang prihatinnya manusia terhadap hubungan sesama mereka.
Bayangkan jika kita bekerja di kilang pembotolan, perlu cepat dan cekap untuk
mengelakkan ia pecah atau rosak, maka kita tidak punya waktu untuk bicara
bersama rakan disebelah pun. Inilah dunia kita hari ini, jika dahulu sempat
kita menjenguk jiran tetangga, sanak saudara, tapi kini hanya bertemu apabila
tiba hari raya, kematian atau kenduri kesyukuran.
Kehidupan sebegini mematikan
jiwa serta sifat insan dalam diri bahkan ihsan itu pula semakin menipis.
Apabila ihsan menipis, sifat kejiwaan insan itu mati, ia akan mematikan sekali
dua perkara yakni rasa syukur dan kerendahan hati. Syukur kepada Allah dengan
puji-pujian kita kepada Nya, alhamdulillah. Ungkapan ini kita biasa dengar,
namun malangnya ia tidak datang dengan ucapan terima kasih. Manusia perlu
bersyukur, dan mereka yang bersyukur mesti banyak mengucapkan terima kasih
kepada makhluk Nya. Apabila syukur kepada Allah, maka berterima kasihlah kepada
sesama manusia kerana ia nilai keinsanan yang tinggi yang merupakan kesan dari
rasa syukur kepada Allah s.w.t.. Jiwa penuh kesyukuran ini akan dipenuhi dengan
ihsan kerana yakin pada setiap sesuatu itu pasti, atas perintah, perancangan
dan perjalanan yang telah Allah tentukan.
Kerendahan hati manusia
terletak pada lidahnya dan salah satunya adalah kata-kata memohon maaf. Hari
ini, kebanyakan manusia sudah semakin sukar memohon maaf bahkan di negara kita,
memohon maaf sudah menjadi aktiviti bermusim iaitu pada hari raya aidilfitri.
Jiwa yang sukar memohon maaf akan sukar juga memaafkan orang lain dan
kadangkala ia membawa kepada keburukan hubungan sesama manusia. Ajarkan diri
kita untuk berterima kasih dan memohon maaf setiap hari dengan sesiapa sahaja
apatah lagi mereka yang dekat dengan kita. Dua sifat ini membentuk keinsanan
dalam diri yang mampu menggerakkan diri untuk berubah ke arah yang lebih baik.
Pastikan budaya berterima kasih dan bermaafan menjadi budaya kehidupan harian.
Semoga ia mampu melahirkan lebih ramai insan ada ihsan.
No comments:
Post a Comment