Sesungguhnya manusia sebelum
kedatangan Islam, ibarat mayat yang tidak bernyawa dan tiada mempunyai roh.
Lalu Allah mengurniakan kepada kita kehidupan yang terbaik, aman dan tenteram.
Menjadi umat teristimewa yang diutuskan kepada manusia, untuk menegah perkara
yang mungkar dan menyeru kepada kebaikan. Justeru, sesiapa yang ingin meragut
Agama dari umat ini ibarat ingin menanggalkan roh dari jasadnya agar ia terus
mati tidak bernyawa. Tugas mengembalikan semula syahsiah Islamiyyah yang telah
lenyap dari umat ini ialah dengan mengembalikan semula roh Islam agar ia
kembali bersemadi ke dalam jasad umat ini.
Terdapat pelbagai macam
doktrin dan idealogi yang semakin bercambah dari hari ke hari untuk menyesatkan
umat ini sama ada dulu mahupun sekarang. Ini semua tidak mengejutkan kita
kerana sememangnya musuh Islam itu banyak di setiap masa dan tempat. Jadi, kita
perlu bersatu pada apa yang kita sepakati bersama dan bertolak ansur terhadap
sebarang perselisihan antara umat Islam, di samping sentiasa berwaspada
terhadap semua perancangan dan tipu daya musuh Islam.Doktrin dan idealogi sesat
tersebut seperti, zionisme, komunisme, gerakan kristianisasi, orientalisme,
penjajahan dan bermacam aliran serta gerakan lagi yang ingin menggoncang akidah
umat Islam, untuk mencapai matlamat mereka menghapuskan Agama ini di muka bumi.
Dalam aneka macam kekalutan
dan kebobrokan pemikiran ini, pelbagai salah faham terhadap agama Islam,
terdapatnya manusia yang mengambil sejuzuk dari agama Islam dan meninggalkan
sebahagian yang lain, memisahkan antara akidah dan syariah, para sufi yang
terpesong dari pemikiran dan ajaran Islam yang sejahtera, dengan kehendak Allah
muncul seorang tokoh agung yang mampu untuk merawat segala kepincangan ini dan
membawa sinar menerangi kegelapan ini, iaitu Imam Hasan Al-Banna yang menyeru
manusia agar kembali beriman kepada Allah dan kembali kepada manhaj Rasul dan
para salaf umat ini. Semoga usaha Imam Hasan Al Banna ini masih tersemat di
hati kita dan meneruskan seruannya ini dalam mencari redha Allah.
No comments:
Post a Comment