Islam adalah agama yang
serba lengkap dan menyeluruh dalam pelbagai lapangan hidup iaitu aspek aqidah ,
syariah dan akhlak . Baginda Rasulullah ( s.a.w. ) telah menerima daripada
Allah taala satu risalah lengkap tersebut melalui wahyu al Qur’an al Karim yang
merupakan sumber rujukan utama Islam .Kemudian , Rasulullah ( s.a.w. )
diperintahkan untuk menyampaikannya kepada seluruh umat manusia di samping
mempraktikkan ajaran-ajaran Islam yang terkandung di dalam al Quran itu .
Akhirnya , Islam diwarisi secara turun temurun dari satu generasi kepada satu
generasi yang lain sebagaimana asalnya tanpa sebarang keraguan dan syak
wasangka.
Islam juga adalah satu agama
yang memiliki unsur kekuatannya yang tersendiri dengan keunikan aqidah , ibadat
dan juga akhlaknya di samping bercirikan syumul kerana ianya bersifat terbuka
kepada seluruh umat manusia . Ini bermakna bahawa Islam bukanlah satu agama
yang khusus kepada orang Arab sahaja atau agama kepada satu-satu umat tertentu
, bukan juga agama kepada kasta-kasta tertentu , sebaliknya Islam adalah agama
kemanusiaan sejagat tanpa mengira kaum dan warna kulit pada sepanjang zaman.
Dengan erti kata lain ,
Islam telah menyeru sekalian manusia ke arah dasar persamaan dari segi
kemanusiaan dan mereka semua sama-sama berganding bahu dan bertolak ansur dalam
mendepani perjuangan hidup. Sebenarnya manusia adalah sama dari segi asal usul
kejadiannya dan apa-apa perbezaan sesama manusia dari segi bangsanya , warna
kulitnya dan sebagainya bukannya untuk menjuruskan ke arah pertelagahan dan
permusuhan . Sebaliknya , ianya adalah sebagai satu jalan ke arah saling kenal
mengenal , mencari keserasian dan tolong menolong antara satu sama lain .
Ada satu kaedah yang
membezakan antara seseorang manusia dengan yang lain dari segi asal usul
kejadiannya dan juga keistimewaan yang dikurniakan Allah iaitu istiqamah dalam
hidupnya dan berusaha merebut keredhaan Allah ( s.w.t.). Inilah dia dasar Islam
yang tidak mengenal perbezaan perkauman , asabiah kabilah , puak atau agama .
Islam tidak mengiktiraf sebarang usaha penindasan terhadap saudaranya yang lain
kerana semua manusia adalah sama taraf , yang berbeza cumalah iman yang
bertapak dalam jiwa seseorang dan amal salih yang lahir melalui anggota tubuh
badannya yang mana akhirnya akan mencipta kesejahteraan dan kebahagiaan di
dunia dan akhirat
No comments:
Post a Comment