Monday, 2 March 2015

AMANAH DALAM PERSAHABATAN

Ramai yang membuat andaian bahawa persahabatan adalah bertunjangkan faktor kebersamaan dalam perbuatan, kesepakatan pemikiran serta pemahaman yang mantap dalam sesuatu tindakan. Apabila ada bentuk fikir ke arah ‘kalau kau boleh follow aku’ maka dialah kawan kita. Jika pandangan dan pemikirannya sama macam kita, maka itulah teman yang kita alu-alukan. Mudah sahaja buat kita hari ini menilai sesuatu persahabatan. Jauh nun di dalam sanubari kita sebagai manusia, kita telah disesatkan bahawa sesebuah persahabatan yang sebenar perlu punya amanah. Rasa tanggungjawab, prihatin serta mengambil berat soal kehidupan mereka.


Amanah adalah berkait rapat dengan kepercayaan. Apabila persahabatan perlu punya amanah, ini bermakna persahabatan perlukan kepercayaan. Apa makna sahabat jika kita tidak percaya kepada kawan kita itu bukan? Apabila tidak amanah, maka akan hilanglah kepercayaan, apabila tiada amanah itu maka tiadalah iman.Lawan kepada sifat amanah adalah khianat. Ia termasuk di dalam ciri-ciri kemunafikan. Oleh yang demikian, harus kita fikirkan bersama, adakah kita ini dikalangan manusia yang membina persahabatan atas dasar ketakwaan atau sekadar berusaha untuk memenangi hati manusia? 




Bagaimana persahabatan kita boleh terbina apabila kita sanggup membiarkan sahabat kita menunggu kita dalam satu-satu sesi pertemuan atau temujanji? Bagaimana kita boleh katakan bahawa persahabatan kita adalah atas dasar iman dan taqwa apabila setiap tingkah sahabat kita itu tidak kita tegur kesalahannya? Bagaimana kita istilahkan persahabatan apabila amanah sebagai seorang sahabat itu tidak kita laksanakan?  Sebagaimana pentingnya solat untuk agama Islam, pentingnya bersuci dalam mendirikan solat begitu jugalah pentingnya amanah dalam pembinaan iman. Maka usahakanlah mencari dan menjadi sahabat yang amanah. Antara garis panduan yang dapat kita usahakan adalah dengan mewujudkan sifat kasih sayang.



Hasil dari sifat kasih sayang itu menyebabkan seseorang itu akan terdorong untuk melakukan kebaikan yang sama terhadap sahabatnya.Maka, seharusnya kita juga perlu menjadi sahabat yang amanah kepada teman-teman yang lain. Antara tips untuk menunaikan amanah dengan baik adalah dengan solat secara berjemaah. Maka, tuntutan solat berjemaah ini akan mampu membebaskan diri kita dari sifat kemunafikan kerana khianat atau tidak amanah itu adalah salah satu sifat kemunafikan. Seorang sahabat yang sejati akan menjaga sahabatnya selagi ada upaya dan diperlakukan sebaiknya demi persahabatan atas dasar ketakwaan kepada Allah s.w.t. Oleh yang demikian, jika sekiranya kita sudah atau tertinggal amanah yang diberikan, maka perbanyakkanlah beristighfar serta jangan lupa untuk menjadi sahabat yang sentiasa memperingatkan orang lain tentang amanah mereka. 

No comments:

Post a Comment