ISLAM agama samawi terakhir
diturunkan Allah. Sebagai agama terakhir sudah tentu ia paling lengkap dan
sempurna. Islam berada di kemuncak kecemerlangan pada zaman Rasulullah
(s.a.w.). Ia berkembang pesat sehingga pernah menguasai satu pertiga dunia. Umat
Islam dikurniakan Allah mendiami kawasan paling subur dan paling kaya di dunia.
Mereka juga berada di tengah laluan antarabangsa yang menjadikan rantau Islam
ini idaman semua pihak. Jatuhnya Khalifah Uthmaniah Turki yang menjadi induk
umat Islam dan mansuhnya sistem khalifah, hasil perancangan jahat yang diketuai
Mustafa Kamal Ataturk dan tewasnya kerajaan ini dan sekutunya dalam Perang Dunia
Pertama menyebabkan wilayah umat Islam difaraidkan oleh penjajah sebagai
rampasan perang. British, Perancis, Itali, Sepanyol, Belanda dan lain-lain
mendapat habuan masing-masing.
Islam dan umatnya hasil
daripada perancangan teratur musuhnya serta disokong dengan kelemahan dalaman
yang sedia ada telah diasak dari dalam dan luar oleh penjajah dan tali barut
mereka menyebabkan umat Islam berada di tahap paling lemah dalam sejarahnya. Namun
begitu, umat Islam tidak perlu pasif kerana Allah menjanjikan Islam tetap
unggul. Rasulullah menegaskan, akan tetap ada sekumpulan daripada umat Islam
yang terus mempertahankan kebenaran daripada gugatan musuh. Belajar daripada
kesilapan lampau dan dengan kepemimpinan ulama yang mukhlisin, umat Islam
bangun semula dalam asakan dan serangan yang bertali arus itu. Umat Islam
menapak semula untuk bangun dan mengambil semula tempatnya di persada dunia.
Namun ia tidak semudah yang
diungkapkan kerana terlalu banyak cabaran dan halangan yang terpaksa dihadapi. Penulis
dan pemikir Islam sudah banyak menulis mengenai cabaran yang dihadapi umat
Islam. Kefahaman dan penghayatan umat Islam berbeza-beza mengikut taraf hidup
dan latar belakang mereka. Secara umumnya terbahagi kepada dua. Pertama,
golongan kurang terpelajar atau tidak terpelajar. Golongan ini kadang-kadang
tidak memahami langsung akan Islam kecuali maklumat asas mengenai aspek ibadat
dalam agama. Keislaman mereka sekadar pak turut semata-mata. Mereka mewakili
bahagian terbesar daripada keseluruhan umat Islam. Mereka ini mudah terpengaruh
dengan golongan yang pada pandangan mereka adalah terpelajar.
Kedua, golongan yang mendapat
pendidikan Barat atau yang terpengaruh dengannya. Rata-rata golongan ini
dianggap terpelajar di kalangan umat Islam. Mereka mendapat pendidikan daripada
sistem pendidikan yang tidak berteraskan wahyu tetapi mereka mempunyai
kedudukan yang baik dalam masyarakat. Kelemahan golongan ini berpunca daripada
kejahilan mereka mengenai Islam sebagai ad-Din. Berpunca daripada golongan
inilah kedengaran suara sumbang seperti Islam tiada hubungan dengan
hukum-hakam, syariat Islam sudah tidak sesuai dengan kehidupan zaman moden,
sesetengah ajaran Islam payah dan sukar hendak dilaksanakan dan sebagainya. Bagi
golongan yang faham Islam pula, mereka memahami Islam sebagai satu sistem hidup
yang sempurna dan menyeluruh yang diturunkan Allah. Mereka inilah yang berusaha
melaksanakannya dalam kehidupan kerana meyakini Islam tetap sesuai pada setiap
zaman dan tempat kerana ia milik Allah Yang Maha Mengetahui.
Umat Islam juga sentiasa
menghadapi cabaran daripada musuh. Musuh umat Islam adalah daripada kalangan
yang tidak kelihatan seperti nafsu dan syaitan dan ada juga daripada kalangan
manusia. Bertitik tolak daripada sikap tidak senang dengan umat Islam inilah,
mereka melakukan pelbagai usaha untuk merosak dan menghancurkan umat Islam.
Sejarah menyaksikan pertentangan kedua-dua pihak ini mencetuskan peristiwa,
tragedi dan kejadian pahit manis di kalangan umat Islam. Sasaran utama mereka
adalah akidah umat Islam, al-Quran, hadis, Rasulullah dan hukum Islam. Oleh itu
pelbagai pendekatan digunakan, bermula daripada pertentangan bersenjata yang
tergambar melalui beberapa siri Perang Salib yang silih berganti, namun mereka
tidak berjaya menghapuskan umat Islam.
Kaedah baru dicari selepas
cara pertama kurang berhasil. Bermulalah era serangan pemikiran. Ternyata cara
ini sedikit sebanyak berjaya memerangkap umat Islam. Mereka berselindung di
sebalik pelbagai wadah, institusi penyelidikan dan badan yang mereka bentuk
untuk menjadi boneka mereka. Musuh Islam juga mengeksport pelbagai pemikiran
dan ideologi kepada umat Islam. Serangan ini berterusan walaupun negara umat
Islam dapat membebaskan diri daripada cengkaman penjajahan fizikal tetapi masih
dijajah di segi pemikiran. Yahudi dan Nasrani menggunakan pelbagai saluran bagi
mencapai hasrat mereka termasuk media, pakej bantuan dan kebajikan yang
berselindung di sebalik pelbagai tabung dan dana, misi kemanusiaan dan seumpamanya.
Tujuan utama mereka untuk menghancurkan Islam ke akar umbinya. Inilah cabaran
yang terpaksa kita lalui.
No comments:
Post a Comment