Ke mana hendak kita pimpin
remaja kita pada hari ini? Fikiran, jiwa, rasa, tingkahlaku sudah tiada
gambaran ketimuran, melayu apatah lagi Muslim. Keadaan mereka semakin meruncing
dan perubahan ini harus menjadi hidangan perbincangan meja bulat tentang siapa
mereka 10 tahun dari sekarang. Pendedahan cerita, kisah mereka ini di dada
akhbar, tayangan filem, drama bukan memberikan kesedaran, tetapi itulah realiti
yang digambarkan 1 dari 10 kisah benar yang telah berlaku mungkin. Jika
kerosakan ini dahulunya disorok-sorokkan, dan hari ini ia sudah timbul
ke permukaan kerana tak dapat disorokkan lagi.
Remaja hari ini perlukan
contoh dan tauladan dari orang dewasa di sekeliling mereka. Tolonglah buat ibu
dan ayah, sediakan contoh yang baik buat mereka. Jadilah manusia yang
bertanggungjawab membina kehidupan mereka. Sekiranya sampai ajal ibu dan ayah,
anak sudah bersedia berdikari dan dapat memudahkan urusan kita selepas
kematian. Anak adalah amanah Allah bukan bebanan, bukan tempat untuk
dibanggakan, bukan untuk sekadar membuktikan kita ibu dan ayah, mereka adalah
bekalan kita bila menghadap Allah s.w.t..
Kerosakan yang berlaku juga
adalah akibat dari salah ajar kita kepada generasi muda. Kurang prihatin,
kurang kasih sayang kerana kesibukan kita semua mencari harta dunia yang
sementara. Sibuk mengikut kemajuan dan teknologi, sehingga lupa anak atau adik
yang membesar dan berdikari di dalam rumah sendiri. Akhirnya hidup mereka lebih
tertumpu kepada dunia yang mereka diami hari ini. Jom kita bantu generasi masa
depan kita dengan membangunkan mereka semula. Kembali kepada asas kehidupan
yang sebenar iaitu hidup untuk memberi kehidupan kepada orang lain juga.
Jika terlihat anak-anak muda
ini, jangan terus memarahi mereka sebaliknya senyumlah sebagai sedekah yang
paling mudah untuk kita buat. Berikan salam dan berjenakalah dengan mereka,
kerana hari ini, kita terlalu serius dengan mereka. Jika berpeluang tegurlah,
dengan cara yang tidak memalukan. Bawa berbincang jika ada masalah dan bantu
mereka jika perlu. Hidup bukan perkara yang mudah kerana ada banyak amanahnya.
Tetapi dengan hidup mudah untuk kita berbakti dan membuat kebaikan kepada orang
lain. Maka hiduplah dalam bekerja, berjiran, berkawan, bermain dan apa sahaja.
Kerana hidup insan itu dengan ihsan.
No comments:
Post a Comment