Mendepani realiti baru dunia yang pantas berubah dan
berkembang, perkahwinan di usia yang muda bukanlah satu fenomena yang luar
biasa, bahkan seharusnya menjadi kelaziman kepada generasi Y pada masa kini.
Hakikatnya, perkahwinan adalah satu fitrah kejadian semulajadi manusia.
Perkahwinan juga merupakan satu sunnah Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW. Persoalannya
bagaimanakah kita mampu melaksanakan sunnah ini di saat kita masih lagi remaja
dan sedang belajar?? Persoalan demi persoalan yang timbul di benak pemikiran
kita. Lantas, kita merasakan topik ini
cukup relevan dan hangat untuk dikongsikan bersama berdasarkan kondisi kita
sekarang.
Setiap hari dan detik kita dihidangkan dengan berita yang
melibatkan generasi muda yang muflis dan tercabut dari akar tradisi ketimuran
dan juga ketingggian akhlak Islamiyyah yang diwarisi zaman berzaman.Kini,
segalanya telah dibenamkan oleh budaya hedonistik yang tidak berfaedah.
Mereka telah dibelenggu dengan rantai-rantai kejahilan dan kegelapan.Justeru
itu, perkahwinan di usia muda tersangatlah signifikan bagi mereka yang ingin
melayarkan bahtera perasaan cinta mereka ke pelabuhan yang halal, iaitu alam
berumahtangga. Ini kerana mukmin atau mukminah yang sejati tidak suka
memandang dan juga tidak suka dipandang kerana apa yang lebih utama adalah
memohon petunjuk dariNya terlebih dahulu sebelum membuat keputusan selaras
dengan kehendak hati dan kewarasan akal.
Sebagaimana yang kita ketahui, Iman kita ini laksana air
di lautan, kadang pasang kadang surut. Ketika pasang, dengan mudah kita meniti jalan
Allah. Ketika sedang surut, kita jauh dari jalan Allah.Justeru itu, perkahwinan
dalam kalangan generasi muda bukan sahaja mampu membendung gejala-gejala
negatif bahkan melahirkan masyarakat yang sakinah di mana tidak akan
wujud lagi kes-kes jenayah seksual seperti pembuangan bayi, rogol, culik dan
sebagainya. Hal ini disebabkan oleh perkahwinan yang halal akan
menghasilkan ketenangan dan ketenteraman. Kesimpulannya, berkahwin di
usia muda bukanlah membawa kepada satu masalah yang besar bagi golongan remaja
yang masih lagi belajar dan belum bekerja. Berkahwin merupakan fitrah manusia
dan sememangnya fitrah itu tidak akan terjadi sekiranya berlawanan dengan
kehendak manusia. Sesungguhnya Allah itu maha mengetahui tentang hal-hal
hambaNya.
No comments:
Post a Comment