Monday, 22 September 2014

KUKUHKAN PERSEFAHAMAN ELAKKAN PERBALAHAN

Bersempena dengan kedatangan bulan zulhijjah pada kali ini, marilah kita sama-sama bermuhasabah dan merenung kembali tentang tahap persefahaman yang wujud di kalangan kita semua. Sejak kebelakangan ini, telah banyak dipaparkan tentang persengketaan yang timbul di dalam masyarakat kita, samada yang melibatkan hal-hal keagamaan mahupun perbezaan ideologi politik di peringkat bawahan dan juga di peringkat atasan. Ianya berpunca daripada kurangnya persefahaman berasaskan Islam sehingga menjejaskan hubungan baik dan keharmonian dalam masyarakat. Perkara ini tentunya menimbulkan keresahan terutamanya di kalangan kita yang peka dengan isu-isu kemasyarakatan yang berlaku pada hari ini. Apatah lagi perkara ini boleh menjejaskan proses pembangunan ummah itu sendiri.


Persefahaman adalah perkara yang amat penting sebelum sesebuah umat itu dapat dibangunkan. Persoalannya, bagaimanakah persefahaman ini dapat diwujudkan. Persefahaman tidak akan wujud sekiranya kita hanya mementingkan pendapat diri kita sendiri tanpa mengambil kira pandangan orang lain. Persefahaman juga tidak akan wujud dalam ertikata yang sebenarnya jika kita hanya mengagung-agungkan pandangan individu atau kumpulan-kumpulan tertentu sahaja. Sebaliknya setiap pandangan yang berbeza itu haruslah diberikan pertimbangan dengan meletakkan prinsip ukhuwwah atau persaudaraan Islam sebagai asasnya. 




Rasulullah s.a.w telah membuktikan bagaimana baginda telah berjaya menyatupadukan dan mewujudkan persefahaman di kalangan masyarakat Islam Madinah melalui persaudaraan berlandaskan aqidah. Sebelum kedatangannya, kabilah-kabilah Arab seperti Aus, Khazraj, bahkan kaum yahudi dan lain-lain pada ketika itu saling bertelagah sesama mereka. Mereka lebih mengutamakan assabiah dan perkauman sehingga seringkali terjadi peperangan hanya disebabkan oleh perkara-perkara yang kecil. Namun akhirnya, perbalahan ini telah berjaya diselesaikan oleh baginda dengan cara mempersaudarakan umat Islam dan membina masjid sebagai lambang perpaduan mereka.


Perselisihan para pemimpin dan kecelaruan umat  hari ini secara tidak langsung menyebabkan ruang dan peluang oleh musuh-musuh Islam yang sentiasa menanti masa untuk menghancurkan umat Islam. Musu-musuh Islam tidak pernah leka semenjak kemunculan Islam di kota Mekah sehinggalah ke hari ini, mereka terus menerus berusaha untuk melemahkan umat Islam. Apabila umat Islam lemah, maka ia adalah masa yang paling baik untuk mereka melaksanakan tindakan menghapuskan Islam dan juga umatnya. Marilah kita bersama-sama mempertahankan persaudaraan Islam dan persefahaman antara kita sehingga ke akhir hayat. Berwaspadalah daripada tipu daya syaitan dan kuncu-kuncunya yang sentiasa berusaha ingin memecah belahkan perpaduan umat .

No comments:

Post a Comment