Sunday, 12 October 2014

KORBAN & HAJI MENUNTUT PENGORBANAN

Setiap tahun pada bulan Zulhijjah, jutaan umat Islam mengunjungi Baitullah di kota Mekah untuk menunaikan ibadat haji. Pada setiap 10 Zulhijjah, seluruh umat Islam menyambut kedatangan hari kebesaran Islam iaitu Hari Raya Aidil Adha atau Hari Raya Korban. Pada hari itu, umat Islam mengadakan solat sunat hari raya di samping menyembelih binatang ternakan seperti unta dan lembu untuk dikorbankan. Penyembelihan korban dilakukan setelah selesai solat Aidil Adha dan masih dapat dilakukan pada hari-hari tasyrik iaitu 11,12 dan 13 Zulhijjah.


Dalam sejarah, menurut Al-Quran, korban pertama yang dilakukan manusia adalah oleh dua orang adik-beradik, putera Nabi Adam, Qobil dan Habil. Kerana suatu sengketa, mereka diperintahkan untuk melaksanakan korban, untuk menentukan siapa yang benar dalam persengketaan tersebut. Korban Habil diterima dan korban Qobil ditolak. Oleh kerana Habil berkorban dengan ikhlas menjalankan perintah Allah, sedangkan Qobil berkorban dengan maksud menenangkan persengketaan tersebut. 




Sepanjang sejarah kehidupan manusia, ramai yang telah berkorban kerana Allah SWT. Umpamanya pada zaman Rasulullah SAW, ramai para sahabat berkorban untuk menegakkan agama Islam. Mereka bukan saja berkorban harta tetapi juga jiwa raga. Saidina Ali telah mempertaruhkan nyawanya sewaktu Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah. Saidina Abu Bakar As-Siddiq dan Saidina Uthman RA banyak mengorbankan harta untuk menegakkan agama Islam. Demikianlah pengorbanan umat Islam yang terdahulu.


Ibadat haji dan korban menuntut pengorbanan. Ini kerana tanpa semangat berkorban, orang akan keberatan untuk mengeluarkan perbelanjaan ke Mekah, meninggalkan keluarga dan pekerjaan untuk memenuhi panggilan Allah. Untuk menyembelih haiwan terpaksa juga mengeluarkan belanja. Bukan senang untuk mengorbankan harta jika hati tidak bersih daripada sifat kedekut atau sayangkan harta melaksanakan korban dengan menyembelih binatang.


Ibadat haji yang dilakukan pada masa ini juga menunjukkan ketaatan kepada Allah, apabila seseorang itu secara sukarela mengikut kesemua rukun haji meskipun ia memenatkannya. Ibadat haji juga mengajar erti persamaan dan persaudaraan. Apabila menunaikan haji, seorang akan merasakan bahawa kedudukan mereka sama sahaja di hadapan Allah. Dengan berpakaian ihram bagi lelaki dan bertelekung bagi perempuan, seperti tiada perbezaan di antara satu sama lain baik orang kaya atau miskin, pemimpin atau rakyat jelata.

No comments:

Post a Comment