Berjalanlah dengan penuh harapan walau hidup ini tidak selalu
bahagia,sedekahkanlah satu senyuman walau dihati kita tidak lagi mampu
bertahan,belajarlah memaafkan walau diri kita terluka,berhentilah memberi
alasan walau ingin menyatakan kebenaran,hiduplah dalam iman walau hari dipenuhi
dugaan dan berpeganglah kepada Allah walau DIA tidak kelihatan.Bukti
kasihNYA,kita wujud didunia pinjaman ini.Ucaplah alhamdulillah dengan penuh kesyukuran.Terkadang
hati ini terlalu sukar untuk memberi maaf. Bahkan lebih sukar daripada meminta
maaf. Masih terasa tusukan rasa bagaikan sebuah dendam yang membara. Masih
terngiang-ngiang segala kata. Masih terbayang semua tingkah dan perlakuan.
Wajah ‘orang-orang bersalah’ itu terasa begitu menjengkelkan. Memberi maaf
kepada mereka seolah-olah menggadaikan harga diri. Ah, apakah maruah ini
terlalu murah untuk di sorong tarik dengan harga yang rendah? Dan cukup sakit,
apabila mengenangkan ‘musuh-musuh’ itu tersenyum dengan kemenangan.
Namun, itu hanya bisik ‘hati besarkita’. Yang melantunkan suara ego
dan marah. Kesat dan kesumat. Tetapi jauh dari dalam diri ada suara lain yang
bergetar. ‘Hati kecil’ yang tidak jemu-jemu mengingatkan. Suara tulus yang mendamaikan
gelombang jiwa. Bisik telus yang meredakan amukan rasa.Maafkan, lupakan,cintai,
sayangi.Berperang dengan mereka bererti berperang dengan diri sendiri. Begitu
bisik hati kecil itu selalu.Pada sebuah persimpangan rasa, tiba-tiba hati
disapa oleh sebuah firman:“Tolaklah kejahatan dengan sebuah kebaikan.Nescaya
engkau akan mendapati musuhmu akan menjadi seolah-olah saudara”. Wahai diri,api
jangan dilawan dengan api. Nanti bakarannya akan membakar diri sendiri.
Menyimpan dendam sama seperti membina sebuah gunung berapi di dalam hati.
Semakin besar dendam itu, maka semakin sakit hati yang menanggungnya.
Musuh-musuh kita terus ketawa, sedangkan kita sendiri menderita meneguk bisa.
Musim-musim terus berlalu sewajarnya mendewasakan kita. Pengalaman
lampau sentiasa membuktikan bahawa permusuhan hanya akan memberi kepuasan
sementara. Apabila ‘fatamorgana’ itu berlalu. Kita akan menjadi lebih dahaga
daripada sebelumnya. Apakah akan kita terjah perangkap itu berkali-kali?
Oh,tidak. Mukmin tidak akan terperosok dalam lubang yang sama dua kali. Begitu
maksud sebuah sabda. Justeru? Cukup sekali! Biarlah musuh itu ketawa
sepuas-puasnya. Beban rasa ini biarlah kita letakkan. Tidak akan kita bawa
dalam safar kehidupan yang pendek ini. Hidup terlalu singkat untuk membenci.
Bermusuh dengan orang lain, sama seperti bermusuh dengan diri sendiri.
Memaafkan orang lain,sama seperti memaafkan diri sendiri. Kata bijak
pandai:“Apa yang kita berikan akan kita terima kembali”
Betapa leganya sekarang. Benarlah bahawa kebaikan itu tampak sukar
untuk dilaksanakan. Pahit. Sakit. Tetapi apabila dilaksanakan akan terasa
kemanisannya. Manakala kejahatan itu tampak mudah, indah dan manis. Namun
apabila dilakukan, pasti ada kekesalan, kepahitan dan keresahan. Ketika ini
terasa benar apa yang selalu didengar di dalam tazkirah bahawa dosa itu sesuatu
yang meresahkan. Dendam itu dosa. Memaafkan itu pahala. Memaafkan menjemput
datangnya ‘syurga’ yang fana, sebelum syurga yang baqa’. Kini hati
tertanya-tanya lagI. Siapa kita, yang begitu sukar memaafkan? Tuan? Tuhan. Kita
hanya hamba. Sedangkan DIA Sang Pencipta itu Maha Pemaaf, Maha Pengampun, siapa
kita yang kerdil ini untuk terus berdendam? Ya ALLAH, ampunkan diri ini.
Sengaja atau tanpa sengaja, sering atau kekadang,diri ini ‘terlanjur’ menumpang
hak-MU. Andai hati kita di belenggu kepayahan dan keresahan, ubatilah ia dengan
membaca Kalamullah, Sesungguhnya Kalamullah adalah sebaik ubat bagi mengubati
hati.