Thursday, 23 August 2012

DUNIA DAN AKHIRAT TIADA PEMISAH

Tanpa dunia, bagaimanakah hukum Allah boleh ditegakkan. Sembahyang sebagai contohnya perlu didirikan dengan menggunakan pakaian yang merupakan barangan dunia di mana pakaian itu adalah salah satu syarat sah sembahyang ditunaikan. Puasa pula adalah suatu latihan untuk mengawal kehendak kepada dunia dan mengekang keserakahan nafsu daripada mengausai jiwa. Zakat yang merupakan salah satu rukun Islam pula adalah suatu manifestasi perintah Allah bahawa dunia perlu dikuasai agar orang yang beriman mampu memberi sumbangan harta untuk menegakkan agama. Haji sebagai kemuncak bagi bukti ketakwaan kepada Allah SWT dilaksanakan dengan mengorbankan dunia yang dimiliki sebagai bukti keinginan yang mendalam mengharapkan rahmat Allah.

Bagi memastikan dunia ditadbir dengan keadilan Allah SWT dan bagi memastikan konsep Khalifah dipenuhi, maka kuasa pemerintahan yang merupakan kemuncak hakikat dunia hendaklah dikuasai dalam rangka untuk mentaati Allah SWT. Kuasa pemerintahan menurut pandangan Islam adalah suatu manifestasi mewakili kuasa bagi menjalankan hukum Allah SWT.

Ekonomi merupakan tunjang kepada kuasa dunia. Tanpa menguasai wang dan pasarannya, adalah mustahil untuk memastikan ekonomi itu tunduk dan patuh kepada keadilan Allah SWT. Kelemahan umat Islam dalam menguasai dan menguruskan ekonomi sedunia mengakibatkan pasaran riba mengatasi pasaran Islam.Sosial pergaulan manusia pula merupakan suatu intipati kehidupan yang tidak dapat dipisah daripada naluri manusia. Sekiranya umat Islam tidak mengurus urusan sosial mereka menurut lunas Islam, maka system yang tidak berkiblatkan Allah akan mengambil ruang dan peranannya.

Jelasnya, dunia dan akhirat menurut agama Islam adalah satu. Tiada pemisah. Bahkan keduanya adalah saling memerlukan. Kiranya dipisahkan keduanya akan pincanglah yang satu lagi, tanpa berfungsi. Inilah konsep Islam yang tergambar dalam manifestasi Islam Hadhari di mana dunia adalah jambatan bagi menuju akhirat.

No comments:

Post a Comment