Dugaan atau
ujian seringkali menjengah manusia sebagai peringatan dari ilahi.Namun tidak
semua dikalangan kita melihat ujian atau dugaan itu sebagai suatu peringatan
dari Allah.Sebagai contoh,ada segelintir dikalangan masyarakat yang suka
menjustifikasikan orang yang sakit ini sebagai orang yang tidak bersih,tidak
pandai menjaga kesihatan dan sebagainya.Pandangan sebegini rupa ada benarnya
namun apakah kita lupa bahawa disebalik musibah itu terselit sekelumit hikmah
yang menuntut kita semua untuk berfikir.Bukan untuk menghukumnya semata-mata
namun kita yang masih mempunyai kudrat yang sihat perlulah mengambil ibrah atau
istifadhah dari apa yang telah berlaku.
Sebab itulah
Allah sebut di dalam al quran yang bermaksud “ Demi masa. Sesungguhnya manusia
itu sentiasa berada di dalam kerugian melainkan orang-orang yang beriman dan
beramal soleh dan sentiasa berpesan-pesan dalam kebaikan dengan kebenaran dan
dengan sabar”.Kita seringkali menasihati masyarakat tentang apa-apa sahaja
perkara dan dalam masa yang sama kita terlupa dan terleka akan diri kita juga
sebagai insan yang lemah perlu akan nasihat dan pimpinan dari orang lain.
Sedarkah
kita sebenarnya kita semua berada di dalam kerugian.Namun disebalik kerugian
kita,Allah menghantar ujian dan dugaan bagi memperingati kita tentang fitrah
kita sebagai seorang hamba.Terdapat segelitir dari masyarakat kita yang melihat
skop ujian dan dugaan itu semata-mata dengan penyakit,musibah bencana alam dan
sebagainya.Namun saya menyeru kepada semua masyarakat agar marilah sama-sama
kita melihat skop ujian dan dugaan ini dalam konteks yang lebih luas.Ujian dan
dugaan tidak semestinya dalam bentuk wang,kemampuan dan kekurangan namun lebih
dari itu.
Ujian atau
dugaan yang disebut di dalam al quran adalah berupa bentuk kelaparan,kemiskinan
dan rosak tanaman.Itu yang terdapat di dalam al quran. Malah jika kita membuka
lebih luas skop ujian,kita akan dapati bahawa sesungguhnya kemewahan dan
kejayaan juga merupakan ujian dan dugaan dari Allah.Walaupun dari sisi
pandangan masyarakat,kemewahan dan kejayaan adalah perkara yang baik namun di
sisi pandangan Allah amat berbeza.Allah sebut di dalam al quran yang bermaksud
“ Barangkali kamu membenci sesuatu,sedangkan ia baik untuk kamu dan barangkali
juga kamu menyukai sesuatu sedagkan ia buruk untuk kamu”.
Kemewahan
dan kejayaan juga merupakan salah satu skop ujian dan dugaan. Tatkala Allah
mengurniakan kemewahan dan kejayaan,dicampakkan ujian untuk melihat adakah kita
mudah lupa diri,bongkak,sombong dan sebagainya.Kekayaan juga merupakan perkara
baik jika bijak dalam menguruskannya namun sebaliknya ia akan menjadi perkara
buruk seandainya kita terleka dengan wang,terasyik dengan kebendaan.Kemiskinan
juga merupakan suatu bentuk ujian dari Allah untuk melihat kita sama ada kita
menjadi hamba yang bersyukur atau menjadi kufur dek kerana tidak tahu nak
bersyukur.
Akhir
kalam,saya ingin mengajak diri ini sebagai insan biasa yang lemah serta saudara
saudari sekalian agar marilah sama-sama kita kembali kepada fitrah manusia
iaitu bertuhankan Allah tiada tuhan yang layak disembah melainkan Dia lah yang
Maha Esa.Ayuhlah sama-sama kita melihat semula segala ujian dan dugaan adalah
peringatan dari tuhan bukan sebagai suatu masalah yang tiada akhirnya.Kita akan
lebih rasa dihargai oleh tuhan seandainya kita melihat ujian dan dugaan
merupakan anugerah yang tak ternilai dari tuhan namun sebaliknya jika kita
melihat ujian dan dugaan merupakan masalah dan musibah bagi kita,maka jauhlah
kita dengan Allah.Ingatlah,setiap detik ujian dan dugaan mendatang itu adalah
detik yang paling dekat untuk bermanja dengan sang pencipta kita.