Saturday, 30 November 2013

ADA APA DENGAN UJIAN ??

Dugaan atau ujian seringkali menjengah manusia sebagai peringatan dari ilahi.Namun tidak semua dikalangan kita melihat ujian atau dugaan itu sebagai suatu peringatan dari Allah.Sebagai contoh,ada segelintir dikalangan masyarakat yang suka menjustifikasikan orang yang sakit ini sebagai orang yang tidak bersih,tidak pandai menjaga kesihatan dan sebagainya.Pandangan sebegini rupa ada benarnya namun apakah kita lupa bahawa disebalik musibah itu terselit sekelumit hikmah yang menuntut kita semua untuk berfikir.Bukan untuk menghukumnya semata-mata namun kita yang masih mempunyai kudrat yang sihat perlulah mengambil ibrah atau istifadhah dari apa yang telah berlaku.

Sebab itulah Allah sebut di dalam al quran yang bermaksud “ Demi masa. Sesungguhnya manusia itu sentiasa berada di dalam kerugian melainkan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan sentiasa berpesan-pesan dalam kebaikan dengan kebenaran dan dengan sabar”.Kita seringkali menasihati masyarakat tentang apa-apa sahaja perkara dan dalam masa yang sama kita terlupa dan terleka akan diri kita juga sebagai insan yang lemah perlu akan nasihat dan pimpinan dari orang lain.

Sedarkah kita sebenarnya kita semua berada di dalam kerugian.Namun disebalik kerugian kita,Allah menghantar ujian dan dugaan bagi memperingati kita tentang fitrah kita sebagai seorang hamba.Terdapat segelitir dari masyarakat kita yang melihat skop ujian dan dugaan itu semata-mata dengan penyakit,musibah bencana alam dan sebagainya.Namun saya menyeru kepada semua masyarakat agar marilah sama-sama kita melihat skop ujian dan dugaan ini dalam konteks yang lebih luas.Ujian dan dugaan tidak semestinya dalam bentuk wang,kemampuan dan kekurangan namun lebih dari itu.

Ujian atau dugaan yang disebut di dalam al quran adalah berupa bentuk kelaparan,kemiskinan dan rosak tanaman.Itu yang terdapat di dalam al quran. Malah jika kita membuka lebih luas skop ujian,kita akan dapati bahawa sesungguhnya kemewahan dan kejayaan juga merupakan ujian dan dugaan dari Allah.Walaupun dari sisi pandangan masyarakat,kemewahan dan kejayaan adalah perkara yang baik namun di sisi pandangan Allah amat berbeza.Allah sebut di dalam al quran yang bermaksud “ Barangkali kamu membenci sesuatu,sedangkan ia baik untuk kamu dan barangkali juga kamu menyukai sesuatu sedagkan ia buruk untuk kamu”.

Kemewahan dan kejayaan juga merupakan salah satu skop ujian dan dugaan. Tatkala Allah mengurniakan kemewahan dan kejayaan,dicampakkan ujian untuk melihat adakah kita mudah lupa diri,bongkak,sombong dan sebagainya.Kekayaan juga merupakan perkara baik jika bijak dalam menguruskannya namun sebaliknya ia akan menjadi perkara buruk seandainya kita terleka dengan wang,terasyik dengan kebendaan.Kemiskinan juga merupakan suatu bentuk ujian dari Allah untuk melihat kita sama ada kita menjadi hamba yang bersyukur atau menjadi kufur dek kerana tidak tahu nak bersyukur.



Akhir kalam,saya ingin mengajak diri ini sebagai insan biasa yang lemah serta saudara saudari sekalian agar marilah sama-sama kita kembali kepada fitrah manusia iaitu bertuhankan Allah tiada tuhan yang layak disembah melainkan Dia lah yang Maha Esa.Ayuhlah sama-sama kita melihat semula segala ujian dan dugaan adalah peringatan dari tuhan bukan sebagai suatu masalah yang tiada akhirnya.Kita akan lebih rasa dihargai oleh tuhan seandainya kita melihat ujian dan dugaan merupakan anugerah yang tak ternilai dari tuhan namun sebaliknya jika kita melihat ujian dan dugaan merupakan masalah dan musibah bagi kita,maka jauhlah kita dengan Allah.Ingatlah,setiap detik ujian dan dugaan mendatang itu adalah detik yang paling dekat untuk bermanja dengan sang pencipta kita.

No comments:

Post a Comment