Setiap tahun pada bulan Zulhijjah, jutaan umat Islam mengunjungi
Baitullah di kota Mekah untuk menunaikan ibadat haji. Pada setiap 10 Zulhijjah,
seluruh umat Islam menyambut kedatangan hari kebesaran Islam iaitu Hari Raya
Aidil Adha atau Hari Raya Korban. Pada hari itu, umat Islam mengadakan solat
sunat hari raya di samping menyembelih binatang ternakan seperti unta dan lembu
untuk dikorbankan. Penyembelihan korban dilakukan setelah selesai solat Aidil
Adha dan masih dapat dilakukan pada hari-hari tasyrik iaitu 11,12 dan 13
Zulhijjah.
Dalam sejarah, menurut Al-Quran, korban pertama yang dilakukan
manusia adalah oleh dua orang adik-beradik, putera Nabi Adam, Qobil dan Habil. Kerana
suatu sengketa, mereka diperintahkan untuk melaksanakan korban, untuk
menentukan siapa yang benar dalam persengketaan tersebut. Korban Habil diterima
dan korban Qobil ditolak. Oleh kerana Habil berkorban dengan ikhlas menjalankan
perintah Allah, sedangkan Qobil berkorban dengan maksud menenangkan
persengketaan tersebut.
Sepanjang sejarah kehidupan manusia, ramai yang telah berkorban
kerana Allah SWT. Umpamanya pada zaman Rasulullah SAW, ramai para sahabat
berkorban untuk menegakkan agama Islam. Mereka bukan saja berkorban harta
tetapi juga jiwa raga. Saidina Ali telah mempertaruhkan nyawanya sewaktu
Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah. Saidina Abu Bakar As-Siddiq dan Saidina
Uthman RA banyak mengorbankan harta untuk menegakkan agama Islam. Demikianlah
pengorbanan umat Islam yang terdahulu.
Ibadat haji dan korban menuntut pengorbanan. Ini kerana tanpa
semangat berkorban, orang akan keberatan untuk mengeluarkan perbelanjaan ke
Mekah, meninggalkan keluarga dan pekerjaan untuk memenuhi panggilan Allah.
Untuk menyembelih haiwan terpaksa juga mengeluarkan belanja. Bukan senang untuk
mengorbankan harta jika hati tidak bersih daripada sifat kedekut atau sayangkan
harta melaksanakan korban dengan menyembelih binatang.
Ibadat haji yang dilakukan pada masa ini juga menunjukkan ketaatan
kepada Allah, apabila seseorang itu secara sukarela mengikut kesemua rukun haji
meskipun ia memenatkannya. Ibadat haji juga mengajar erti persamaan dan
persaudaraan. Apabila menunaikan haji, seorang akan merasakan bahawa kedudukan
mereka sama sahaja di hadapan Allah. Dengan berpakaian ihram bagi lelaki dan
bertelekung bagi perempuan, seperti tiada perbezaan di antara satu sama lain baik
orang kaya atau miskin, pemimpin atau rakyat jelata.