Islam adalah agama yang maha baik dan maha benar daripada Allah. Ia
diturunkan kepada manusia bagi maksud untuk dijadikan panduan mereka dalam
mentadbir hal ehwal dunia ini, iaitu langit dan bumi dengan segala isi dan
kandungannya, termasuk diri mereka sendiri.Tetapi masalah yang dihadapi oleh
umat Islam hari ini ialah mengapa dan kenapa mereka yang menganut agama yang
benar dan baik itu merupakan golongan yang paling mundur dan terkebelakang,
bahkan paling hina dan paling malang di akhir-akhir ini. Apakah kerana bilangan
mereka sedikit? Apakah kerana negara-negara
mereka miskin? Apakah golongan lelaki mereka pondan semuanya? Tidak! Apakah
wanita-wanita mereka mandul semuanya? Juga tidak. Mengapa islam dilihat semakin
menyimpang jauh ? Sedangkan seribu tahun yang lampau islam lah agama
keadilan,agama yang dipandang mulia sejahtera. Namun hari ini islam diperkotak
kattikkan, dipersendakan malah yang lebih teruk ialah dikecam sebagai agama
pengganas.
Pelbagai jawapan yang tidak serupa telah diberi oleh banyak pihak
yang berbeza. Rata-rata jawapan itu menyalahkan orang lain saja. Mereka berkata
kerana Baratlah maka umat Islam lemah. Kerana sekularismelah yang memundurkan
pemikiran Islam. Kerana Yahudi dan Amerika yang menjahanamkan negara-negara Islam
dan sebagainya.Mungkin betul jawapan-jawapan yang berkenaan, tetapi faktor yang
lebih besar daripada itu semua adalah berpunca daripada umat Islam sendiri.
Mereka salah faham dan silap langkah dalam beramal dengan ajaran-ajaran Islam
yang sebenar.Mereka tidak dapat memahami bahawa Islam bukanlah cuma sebuah
agama yang hanya mengajar dan mendidik penganut-penganutnya cara-cara
sembahyang, puasa, mengerjakan haji dan lain-lain tuntutan fardu ain. Atau
menggalak umatnya supaya mengasingkan diri di masjid-masjid atau bertapa di
tempat-tempat yang jauh daripada orang ramai dengan pakaian yang serebeh dan
selekeh.
Tetapi sesungguhnya Islam itu adalah agama yang mengajar dan
mendidik manusia bukan saja hal-hal yang berhubung dengan soal keakhiratan
tetapi juga yang bersangkutan dengan cara-cara mentadbir dunia yang melibatkan
bidang-bidang politik, ekonomi, sosial dan sebagainya.Islam mahu supaya umatnya
merupakan golongan yang kuat fizikal dan mental dalam menghadapi tentangan
zamannya di samping kekuatan iman dan takwa juga ketinggian akhlak dan moral.Bertolak
daripada pengajaran dan pendidikan seumpama inilah maka umat Islam yang pada
awalnya merupakan kabilah kecil dari padang pasir yang keruntang di tengah
Semenanjung Tanah Arab telah berjaya menguasai hampir 80 peratus dunia dalam
masa yang amat singkat. Kembali bermuhasabah tingkatkan jati diri perkukuhkan
akidah dan dalam masa yang sama sentiasalah memohon keampunan dari Allah SWT.
Pohonlah segala kekuatan dan kudrat pada Nya. Sesungguhnya segala kurniaan
hanyalah datang dari Nya. Kembalilah kepada islam yang sebenar. Jadikanlah
islam itu sebagai prinsip dan tidak menjadikan islam sebagai alat kepentingan
diri.