Begitu pantas masa berlalu, Ramadhan sudahpun meninggalkan kita,
bak kata pepatah yang datang pasti akan pergi. Bulan yang menjanjikan seribu
macam keistimewaan itu sudah berlalu pergi dan seiring dengan itu pula kita
menyambut kedatangan Syawal. Kita raikan kemuculan Syawal dengan takbir, tasbih
dan tahmid, iaitu bulan yang sering kita kaitkan dengan bulan kemenangan. Namun
sepanjang menyambut kehadiran Syawal yang syahdu itu sepanjang hayat kita,
pernahkah kita bertanya, apakah sebenarnya yang kita raikan? Apakah
hakikat sebenar di sebalik sambutan tersebut. Sesungguhnya, yang kita
raikan pada hakikatnya ialah diri kita sendiri sebagai seorang Muslim yang
hidup di atas panji Islam. Kita raikan anugerah terbesar pemberian Allah iaitu
Islam, iaitu agama yang telah memuliakan kita, memberi harga diri kepada kita,
dan yang telah memelihara martabat kemanusiaan kita. Islam itu adalah agama
yang telah disempurnakan oleh Allah, Islam yang menjadi penyempurna nikmat
Allah kepada kita, dan Islam yang telah diredhaiNya sebagai jalan hidup. Maka
pada saat kita menyambut dan meraikan kehadiran Syawal/Aidilfitri, kesedaran
inilah yang kita raikan dan wajar bagi kita untuk memperbanyakkan pujian ke
atas Allah di atas nikmat ini.
Menerusi Islamlah kita terpelihara daripada menjadi hamba kepada
dunia, nafsu dan harta benda. Dengan Islam juga kita bebas merdeka daripada
menjadi hamba kepada sesama manusia. Islam jugalah yang menjadikan kita berdiri
mulia, walaupun di saat umat Islam dihina, ditindas dan dipijak hampir di
setiap pelusuk dunia ini.Bahkan Islam itu juga menjadikan kita gigih dan cekal
untuk terus bertahan walaupun diasak dari segenap sudut. Ditindas
hak asasi kita sebagai manusia yang bertunjangkan Islam, ditindas pemikiran
kita, ditindas semangat perjuangan kita, ditindas ekonomi kita, ditindas hak
kemasyarakatan kita, diputar-belitkan siasah serta dikelirukan jatidiri kita,
dan kita ditindas pada setiap sudut kehidupan yang ada. Tetapi
pernahkan kita merasakan Islam yang kita genggam erat ini semakin longgar atau
terkulai layu? Tentu tidak sama sekali. Bahkan tekanan itulah yang
menjadikan kita semakin yakin bahawa ianya adalah ujian untuk orang beriman dan
juga sunnatullah yang menjanjikan kemenangan mutlak bagi mereka yang berjaya
menempuhnya. Kerana kita yang dianugerahkan kemanisan iman tidak akan
bertolak-ansur dengan prinsip Islam, malah perintah Allah kita junjung dan
julang dengan lebih tinggi dan bersemangat, dan menjadi lebih tegas dan berani
memuliakan Islam.
Semuanya ini adalah kerana kita sedar bahawa di saat meraikan
Syawal Aidilfitri, ianya juga adalah saat yang sesuai untuk diisi dengan
kefahaman yang mantap dan semangat juang yang tinggi. Iaitu semangat mahu
melihat kalimah Allah itu ditinggikan mengatasi segala yang lain.Kekuatan ini
sebenarnya dijana menerusi ibadah puasa yang telah ditempoh dan dilaksanakan
dengan bersungguh-sungguh selama sebulan. Seiring dengan menyambut hari
kemenangan di bulan Syawal ini, kita juga tidak seharusnya lupa untuk menilai
sejauh manakah kita telah mengisi Ramadhan yang telah berlalu pergi dengan
ibadah yang cukup bagi memungkinkan kita dianugerahkan keampunan Allah?
Juga adakah kita berhasil untuk mendapat nilai taqwa sebagaimana yang
telah dijanjikan oleh Allah dalam al Quran? Persoalan-persoalan ini hanya
mampu dijawab oleh kita sendiri yang terlebih mengetahui usaha dan nilai puasa
yang kita lakukan. Beruntung dan bergembiralah mereka yang telah
bersusah payah beramal untuk meraih keampunan dan keredhaan Allah, serta
berdukacita dan rugilah mereka yang lalai dan leka sepanjang Ramadhan.
Jika Ramadhan yang berlalu pergi itu tidak mampu memperbaiki dan meningkatkan
kualiti diri kita, maka pada bulan dan ketika manakah lagi yang boleh menjadi
pendorong yang dapat mengubah diri kita ini?
Pun begitu, perlu diingat bahawa jika ibadah itu hanya di bulan
Ramadhan, dengan anggapan ibadah itu seperti bermusim, maka rugilah juga
kesudahannya. Sebenarnya tidak sukar untuk melihat tanda-tanda amal
kebajikan kita sepanjang Ramadhan diterima atau ditolak. Jika selepas
Ramadhan, taat dan patuh kita kepada Allah berkekalan, malah mampu mengubah diri
menjadi manusia yang lebih baik dan berkualiti, maka itulah sebesar-besar
nikmat kurniaan Allah. Tetapi jika apa yang berlaku adalah sebaliknya,
maka hati-hatilah, kerana dikhuatiri kita termasuk dalam golongan yang rugi dan
kelak akan dihumbankan ke dalam api neraka.Jika di bulan Ramadhan kita mampu
hadir ke masjid setiap hari untuk solat fardhu dan solat sunat Tarawih, tetapi
selepas Ramadhan kita hilang kemampuan untuk ke masjid walaupun untuk bersolat
fardhu. Jika di bulan Ramadan kita mengekang lidah dari berkata-kata yang dusta
dan sia-sia tetapi membasahi lidah dengan membaca al-Quran dan berzikir,
sebaliknya selepas Ramadhan lidah itulah juga yang memaki-hamun, mengadu domba,
mengupat dan menyebar fitnah, dan mata serta telinga kita diisi sepenuhnya dengan
hal-hal yang membawa kemurkaan Allah.
Apakah hasil dan kesan yang
sebegini memungkinkan ibadah kita sepanjang Ramadhan diterima
Allah. Mudah-mudahan Allah melindungi kita dari termasuk dalam golongan
yang sedemikian.Sesungguhnya Ramadhan yang kita lalui itu umpama satu madrasah
pendidikan yang memupuk dan menghasilkan benih taqwa. Dari benih ini akan
tumbuh pula pohon taqwa yang sangat diperlukan dalam mengharungi kehidupan
ini. Dan dari pohon taqwa inilah lahirnya ibadah dan akhlak mulia yang
menjadi penghias diri seorang Muslim. Juga dari rimbunan taqwa yang subur
inilah juga lahirnya kekuatan untuk menangkis segala hasutan dan pujuk-rayu
yang boleh membinasakan seorang Muslim.
No comments:
Post a Comment