Thursday, 12 December 2013

MAQAM PARA AULIA

Awal bulan disember yang lepas, Alhamdulillah saya berkesempatan melawat dan menziarah maqam para aulia dan tokoh-tokoh agung perjuangan islam.Apa yang dapat saya nukilkan di sini ialah sebenarnya ketabahan,kegigihan dan kesabaran para alim ulama yang terdahulu memungkinkan kita untuk berasa sedikit keselesaan dalam usaha kita menuntut ilmu.

Jika kita mahu dibandingkan dengan kepayahan,kesusahan dan keperitan ulama terdahulu dalam jaulah mencari ilmu,maka bagi saya tak terbanding dengan usaha yang telah kita lakukan.Maka malulah kita kepada para aulia yang dipilih oleh Allah untuk menjadi pendorong dan contoh tauladan kepada kita yang masih faqir dalam menuntut ilmu Allah yang Maha Luas ini.

Antara maqam yang sempat saya ziarah ialah Al Imam Sya’rani rahimallah.Beliau seorang ulama tasawwuf.Antara karomah yang Allah Azza Wajalla anugerahkan pada beliau ialah beliau mampu bercakap dengan jin.Beliau juga telah mengajar jin tentang agama islam.Beliau cukup terkenal dan termashur dengan kefaqihan tentang ilmu tauhid.

Saya juga berkesempatan menziarahi maqam Al Imam Sultan Hanafi. Beliau juga merupakan seorang ulama tasawwuf yang terkenal di Al Azhar As Syarif.Nasab keturunan beliau sehingga sampai kepada Saidina Abu Bakar As Siddiq.Antara karomah yang diberikan kepada beliau ialah beliau mampu berjalan diatas air.Subhanallah betapa hebatnya ciptaan Allah yang Maha Mencipta sesuatu tanpa bantuan atau pertolongan dari sesiapa pun.


Maqam yang sempat saya kunjungi juga ialah maqam Al Imam As Syafie rahimallahu taa’la.Tersentuh hati melihat sebuah maqam seorang alim yang diakui oleh ramai ulama.Malah guru beliau, Al Imam Malik kagum dengan sikap imam As Syafie yang gigih mencari ilmu meskipun beliau sudah mampu memberi fatwa.Al Imam As Syafie seorang ulama yang faqih tentang ilmu hadis dan fiqh.Malah beliau juga terkenal dengan sikap waraknya dan alimnya.Sehinggakan suatu ketika, beliau melawat tuan gurunya Imam Malik, Imam As Syafie menghormati perbezaan pendapat dan begitu juga Imam Malik.Walaupun mereka terdapat beberapa perbezaan pendapat, namun ianya tidak dijadikan sebagai titik tolak perpecahan ummah.Kita sebagai umat Nabi Muhammad semestinya meraikan perbezaan sebagaimana yang telah di tunjuk oleh kedua-dua imam besar 2 mazhab ini.


Dan antara maqam yang tak dapat saya lupakan ialah Maqam As Syahid Imam Hassan Al Banna.Hati ini hanya mampu bersedih menangisi pemergian seorang alim yang bergiat aktif dalam dakwah.Apa yang membuatkan saya kagum dengan beliau ialah beliau merupakan seorang ulama yang tidak banyak menulis tetapi meninggalkan kita seribu makna perkataan yang penuh hikmah.Malah Al Imam Hasan Al Banna juga merupakan seorang alim yang sentiasa berpegang kepada konsep wasatiyyah.Semasa hayatnya,beliau sentiasa menyeru umat islam untuk kembali kepada al quran dan as sunnah dan elakkan dari berbincang soal perkara-perkara furuq dalam agama.Al Imam Hasan Al Banna terdidik dengan didikan tarekat naqsyabandiah.Bapanya seorang ulama hadis yang terkenal.Beliaulah pengasas kepada gerakan dakwah Ikhwanul Muslimin.Beliau telah meninggalkan kepada kita warisan yang tidak ternilai iaitu Usul 20.Dalam usul ini seharusnya menjadi tonggak kepada gerakan dakwah yang kita lakukan ini.


Marilah kita sama-sama sedekahkan bacaan al fatihah kepada para alim ulama kita sama ada yang masih hidup ataupun yang telah pergi mendahului kita.Ayuhlah semua selagi mana kita mampu belajar untuk menjadi insan yang sempurna,maka belajarlah meskipun kita dihimpit kesusahan dan keperitan.Percayalah semua,disebalik keperitan dan kesusahan itu terselit hikmah dari Allah Azza Wajalla.

No comments:

Post a Comment