Thursday, 27 March 2014

HAKIKAT MANUSIA ITU LEMAH

Sebagai manusia, pastinya tiada siapa yang terlepas dari ujian rasa lemah,rasa tak mampu,rasa dah tidak berdaya,rasa layu letih dan sebagainya.Manusia sama sekali tidak akan terlepas dari merasai dan mengalami perasaan yang saya sebutkan tadi.Rasa macam tak tahu mampu atau tidak nak teruskan langkah ini.Rasa seperti tak tahu mampu atau tidak nak terus bertahan dan bertahan dalam sesuatu masalah. Subhanallah !!! lemahnya kita sebagai hamba Allah. Lemahnya manusia itu adalah dibawah pengetahuan Allah. Sebab itulah Allah suruh kita bergantung harap padaNya semata2.Sebab itulah Allah utuskan Rasulullah kepada kita. Sebab Allah tahu hakikat manusia ni lemah,tidak mampu,tidak kuat jika sendiri dan tidak akan mampu bertahan untuk jangka masa yang lama bila sendirian.


Berapa ramai manusia yang kini sedang hebat diuji oleh Allah dengan pelbagai bentuk ujian dan dugaan yang menghimpit dada mereka hingga menjadikan segala jiwa dan hati mereka yang dahulunya kuat dan tabah kian luntur dan menjadi lemah.Manusia itu tidak akan boleh lari dari kesedihan, kedukaan dan kegalauan. Segala rasa bercampur-baur menjadikan jiwa resah dan bungkam, dan ada yang memilih untuk terus-menerus kecewa dalam hidup.Perasaan merasakan diri lemah, galau, bungkam dan duka ini tidak dapat kita bohongi diri sendiri. Perasaan itu benar, dan kita tidak dapat menidakkan semua ini. Terasa betapa lemahnya diri, kita kembali merenung kehidupan.





Dan daripada situ, kita mendapati satu konklusi.Sesungguhnya manusia ini lemah. Kerana itu manusia perlu memohon kekuatan daripada Pencipta manusia itu sendiri! Manusia sering lupa bahawa mereka sebenarnya LEMAH.Saya seperti anda, dan kita semua ialah manusia yang sama di sisi Tuhan. Maka sebab itu, hakikat manusia itu lemah tidak dapat dipisahkan dari kita semua.Akhirnya, kita perlu kembali kepada Pencipta untuk memohon kekuatan. Akhirnya, manusia itu jualah yang lemah dan Allah jua yang Maha Berkuasa.Kembalilah memohon kekuatan daripadaNya.Biar doa-doa menjadi pelunas rasa.Biar doa-doa menjadi peluah rasa.Segala remuk redam diluahkan, diadukan kepada Pencipta.Allah sesungguhnya Maha Mendengar.


Ketika kita hampir-hampir putus asa, ketika kita hampir jatuh ke jurang kekecewaan, kita mengadu kepadaNya.Kita benar-benar lemah dan tidak terdaya, hingga ada ketikanya terpacul keluhan dan keluhan, kita kadang-kadang bagai terlupa Dia sentiasa bersama kita semua.Saat ini kita menyedari bahawa tiada apa yang ada pada kudrat manusia. Hanya Dia sahaja tempat manusia bergantung harap. Maka segala keresahan ini diserah kepadaNya mudah-mudahan gelojak hati ini tenang.Sedarlah bahawa sesungguhnya manusia itu LEMAH !!!


Saturday, 15 March 2014

REMAJA HANYA SEKALI



Menyebut mengenai remaja,di akhirat kelak terdapat 7 golongan manusia yang akan dapat naungan Allah.Ketika itu,tiada naungan selain dari naungan Allah S.W.T. Dalam satu hadis Nabi S.A.W, baginda pernah sebut salah satu golongan yang mendapat naungan Allah itu adalah golongan remaja. Remaja yang bagaimana yang mendapat naungan atau teduhan dari Allah? Remaja yang dimaksudkan oleh Nabi itu ialah remaja yang membesar dan meningkat umur mereka dalam keadaan taat patuh akan perintah Allah.Visi mereka akhirat.Bila kita sebut remaja bervisi akhirat,tidak semestinya kena menjadi seorang ustaz ataupun ustazah.Jika mahu jadi doktor maka jadilah seorang doktor yang bervisi akhirat.Andai hendak menjadi seorang peguam maka jadilah seorang peguam yang bervisi menjaga hukum Allah.


Teringat saya akan sebuah kisah seorang remaja di zaman Rasulullah yang ketika itu beliau berusia 17 tahun. Beliau ialah Tsa’labah Bin Abdurrahman. Setelah beliau memeluk islam,beliau sentiasa mengikuti pengajian Rasulullah. Setiap kali Rasulullah berhajat kepada sesuatu barang, baginda mesti beritahu Tsa’labah dan meminta beliau untuk mencarinya. Maka suatu hari beliau pergi mencari barang yang diminta oleh Rasulullah S.A.W. Dalam perjalanan beliau mencari barang tersebut, beliau melewati sebuah rumah seorang wanita yang kebetulan pintu rumah wanita tersebut terbuka.Maka Tsa’labah secara spontan memandang ke dalam rumah itu dan terlihat seorang wanita sedang mandi.Maka ketika itu beliau tersedar, lalu beliau terus menyembunyikan diri di sebuah gua di pinggir madinah kerana takut dan malu untuk bertemu dengan Rasulullah dek kerana dosanya memandang wanita. Subhanallah bagaimana remaja kita ?





Tetapi kini, remaja hari ini jauh dari pegangan agama.Jauh dari tarbiah yang berlandaskan agama.Mungkin selama ini kita sibuk untuk mendidik para remaja.Kita selalu sibuk membentuk fizikal remaja sahaja tanpa melihat pembentukan dalaman remaja itu sendiri.Lihatlah bagaimana remaja hari ini.Bagaimana mereka bertutur dengan ibubapa? Bagaimana mereka berpakaian dan siapakah idola mereka? Kita sentiasa sibuk memberikan pendidikan yang tinggi,fasiliti dan wang ringgit yang cukup. Dalam masa yang sama kita leka dan alpa untuk menyibukkan diri untuk membentuk kerohanian remaja itu sendiri.Remaja adalah usia yang begitu berharga dan tiada tanding nilainya.Bentuklah remaja didiklah mereka mengikut acuan islam.




Wahai para ibubapa sekalian,ambillah kesempatan untuk mencipta saham di akhirat kelak dengan mendidik serta mentarbiah anak-anak remaja mengikut garis panduan yang telah islam tetapkan.Ajarkan mereka siapa Nabi kita.Beritahulah kepada mereka siapa pencipta kita.Sampaikanlah kepada mereka ayat-ayat cinta dari tuhan kita.Buat para remaja sekalian,janganlah kita merasa hidup ini akan berpanjangan kerana ajal itu tidak mengenal usia.Ambillah peluang dan kesempatan yang ada ini untuk membina jati diri remaja islam sepertimana  yang diceritakan dalam al quran dan hadis.Jadilah pewaris keberanian yang benar seperti Saidina Ali yang sanggup tidur di tempat Rasulullah. Contohilah sifat ketaqwaan seperti Tsa’labah yang takut dan malu untuk berjumpa Rasulullah dek kerana dosanya itu.



Thursday, 13 March 2014

SYUKUR DARI KACA MATA INSAN

Manusia ini biasanya syukur di dalam pentakrifan dia ada kaitan dengan kurniaan. Bila Allah kurnia pada kita, kita ucap syukur. Tetapi memuji Allah dengan lafaz alhamdulillah ini, merangkumi semua keadaan. Masa kita susah pun kita ucap alhamdulillah. Tetapi bila kita syukur maksudnya kita berterima kasih diatas pemberian Allah. Hamka pernah berkata “ Kita ini selalu merujuk kepada perkara yang belum kita dapat dan kita selalu lupa dengan perkara yang kita dapat".Kita selalu nak bersyukur kalau kita diberi benda yang baru dan kita lupa bahawasanya apa yang telah ada pada kita hari ini adalah suatu nikmat yang besar. 




Suatu hamba Allah yang patah kakinya yang barangkali dia tidak pernah teringat pun nikmat kaki yang berpijak setiap hari,suatu hari Allah uji padanya dengan ujian sakit kaki,dia akan kata “Ya Allah, bagilah kembali kakiku ini,sembuhlah kembali kakiku ini”. Ketika itu dia tahu nikmat besarnya kaki,nikmat tangan.Seperti kata Hamka “ Yang ada ini sudah harapan kita”. Tetapi insan bukan salah untuk kita mengharapkan yang belum ada tetapi jangan lupa yang telah ada.Sebab itu sebahagian para sarjana menyebut syukur kadang kala lebih tinggi maqamnya dari sabar. Ramai orang terpaksa bersabar namun belum tentu orang yang dapat nikmat itu bersyukur.


Bila insan dia syukur, dia tidak akan cepat mengeluh.Kadang kala kita seringkali mengeluh sebab kita diuji dengan kereta kerapkali rosak tetapi disebalik semua itu ada lagi insan yang masih belum ada kereta pun. Insan jika dia nak bersyukur kepada Allah tidak terdaya dia.Seperti firman Allah S.W.T dalam surah Al Nahl ayat ke 18 yang bermaksud :

“Dan jika kamu menghitung-hitung nikmat Allah, niscaya kamu tak dapat menentukan jumlahnya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”




Bila kita melihat hidup ini secara keseluruhan sesungguhnya apa yang Allah kurnia kepada kita ini adalah lebih dari harapan kita sebenarnya.Ibnu Katsir menjelaskan dalam kitab tafsirnya Allah benar-benar memaafkan kalian. Jika kalian diperintah untuk mensyukuri seluruh nikmat tersebut, tentu kalian tidak mampu dan bahkan enggan untuk bersyukur. Jika Allah mahu menyiksa, sudah tentu boleh dan itu bukan tanda Allah itu zalim. Akan tetapi, Allah masih mengampuni dan mengasihi kalian. Allah mengampuni kesalahan yang banyak apatah lagi memaafkan bentuk syukur kalian yang sedikit.”




Kadang kala kita banyak mengeluh.Ini tidak kena itu pun tidak kena. Semuanya tidak kena.Kita seharusnya mendidik jiwa kita agar sentiasa bersyukur walaupun dalam keadaan serba sedikit nikmat yang kita perolehi pada sesuatu keadaan.Yakinlah dengan bersyukur kita akan lebih mendekatkan diri kita kepada Allah lantas meletakkan ketaatan kepada perintah Allah itu lebih utama. Bersyukurlah selagi masih diberi kesempatan.