Saturday, 15 March 2014

REMAJA HANYA SEKALI



Menyebut mengenai remaja,di akhirat kelak terdapat 7 golongan manusia yang akan dapat naungan Allah.Ketika itu,tiada naungan selain dari naungan Allah S.W.T. Dalam satu hadis Nabi S.A.W, baginda pernah sebut salah satu golongan yang mendapat naungan Allah itu adalah golongan remaja. Remaja yang bagaimana yang mendapat naungan atau teduhan dari Allah? Remaja yang dimaksudkan oleh Nabi itu ialah remaja yang membesar dan meningkat umur mereka dalam keadaan taat patuh akan perintah Allah.Visi mereka akhirat.Bila kita sebut remaja bervisi akhirat,tidak semestinya kena menjadi seorang ustaz ataupun ustazah.Jika mahu jadi doktor maka jadilah seorang doktor yang bervisi akhirat.Andai hendak menjadi seorang peguam maka jadilah seorang peguam yang bervisi menjaga hukum Allah.


Teringat saya akan sebuah kisah seorang remaja di zaman Rasulullah yang ketika itu beliau berusia 17 tahun. Beliau ialah Tsa’labah Bin Abdurrahman. Setelah beliau memeluk islam,beliau sentiasa mengikuti pengajian Rasulullah. Setiap kali Rasulullah berhajat kepada sesuatu barang, baginda mesti beritahu Tsa’labah dan meminta beliau untuk mencarinya. Maka suatu hari beliau pergi mencari barang yang diminta oleh Rasulullah S.A.W. Dalam perjalanan beliau mencari barang tersebut, beliau melewati sebuah rumah seorang wanita yang kebetulan pintu rumah wanita tersebut terbuka.Maka Tsa’labah secara spontan memandang ke dalam rumah itu dan terlihat seorang wanita sedang mandi.Maka ketika itu beliau tersedar, lalu beliau terus menyembunyikan diri di sebuah gua di pinggir madinah kerana takut dan malu untuk bertemu dengan Rasulullah dek kerana dosanya memandang wanita. Subhanallah bagaimana remaja kita ?





Tetapi kini, remaja hari ini jauh dari pegangan agama.Jauh dari tarbiah yang berlandaskan agama.Mungkin selama ini kita sibuk untuk mendidik para remaja.Kita selalu sibuk membentuk fizikal remaja sahaja tanpa melihat pembentukan dalaman remaja itu sendiri.Lihatlah bagaimana remaja hari ini.Bagaimana mereka bertutur dengan ibubapa? Bagaimana mereka berpakaian dan siapakah idola mereka? Kita sentiasa sibuk memberikan pendidikan yang tinggi,fasiliti dan wang ringgit yang cukup. Dalam masa yang sama kita leka dan alpa untuk menyibukkan diri untuk membentuk kerohanian remaja itu sendiri.Remaja adalah usia yang begitu berharga dan tiada tanding nilainya.Bentuklah remaja didiklah mereka mengikut acuan islam.




Wahai para ibubapa sekalian,ambillah kesempatan untuk mencipta saham di akhirat kelak dengan mendidik serta mentarbiah anak-anak remaja mengikut garis panduan yang telah islam tetapkan.Ajarkan mereka siapa Nabi kita.Beritahulah kepada mereka siapa pencipta kita.Sampaikanlah kepada mereka ayat-ayat cinta dari tuhan kita.Buat para remaja sekalian,janganlah kita merasa hidup ini akan berpanjangan kerana ajal itu tidak mengenal usia.Ambillah peluang dan kesempatan yang ada ini untuk membina jati diri remaja islam sepertimana  yang diceritakan dalam al quran dan hadis.Jadilah pewaris keberanian yang benar seperti Saidina Ali yang sanggup tidur di tempat Rasulullah. Contohilah sifat ketaqwaan seperti Tsa’labah yang takut dan malu untuk berjumpa Rasulullah dek kerana dosanya itu.



No comments:

Post a Comment