Tuesday, 24 September 2013

BELAJARLAH DARI KESILAPAN

Ramai orang takut untuk silap. Silap dan salah kadangkala dipandang sebagai sesuatu yang amat negatif dalam kehidupan insan. Ya, kalau kita lihat secara sekali lalu – silap dan salah – sememangnya adalah negatif.
Tetapi sebagai manusia, kita tak akan mampu mengelak diri daripada melakukan kesilapan dan kesalahan. Tidak kira sehebat mana pun kita mempersiapkan diri, akan wujud juga keadaan-keadaan di mana kita melakukan kesilapan.
 Namun sebenarnya, kegagalan, kesilapan, kesalahan bukanlah sesuatu yang negatif 100%.
Kita patut memandang kegagalan, kesilapan dan kesalahan itu daripada luar kotak kebiasaan.

Kadangkala, kita bersedia hingga sampai tahap kita merasakan bahawa kita telah faham atau merasakan bahawa kita telah mampu melakukan terhadap sesuatu perkara.
Untuk soalan periksa kita rasa kita sudah boleh jawab semua jenis soalan.
Namun tiba-tiba, kita melakukan kesilapan. Apa yang kita faham rupanya tidak tepat. Apa yang kita siap sediakan rupanya tidak kena dengan apa yang dikehendaki dalam pekerjaan. Kita telah tersalah. Kita gagal mendapat keputusan yang cemerlang. Kita gagal dalam melakukan kerja yang terbaik.Di sini kalau keimanan itu wujud bersama kita, pertama sekali kita akan bersangka baik kepada Allah SWT.“Mustahil Allah nak zalim pada aku.”

Hal ini kerana, jelas wujud Hadith 40 Karangan Imam An-Nawawi: Daripada Abu Zar al-Ghifaari r.a, daripada Rasulullah s.a.w berdasarkan apa yang diriwayatkannya daripada Tuhannya yang Maha Mulia lagi Maha Tinggi bahawasanya Ia berfirman : “Wahai hamba-hamba-Ku! Sesungguhnya Aku mengharamkan ke atas diri-Ku kezaliman…”
Maka kita akan melihat semula kesilapan kita itu.

“Kenapa aku silap? Di mana aku silap? Macam mana aku boleh tersilap.”
Dan ketahuilah, apabila kita muhasabah semula, kita akan mendapat satu perkara baru. Pengajaran baru. Yang mana sekiranya Allah izin kita tidak silap dalam kesilapan kita tadi, kita tidak akan mempelajari pengajaran tersebut. Kita tidak akan mengetahuinya. Namun dengan kasih sayang Allah SWT, dengan hikmahNya yang tersangat luas, Allah ingin kita melihat sesuatu. Sebab itu disilapkan kita.Tidakkah kita fikirkannya???

Akhirnya apabila mendalami perkara ini, yakni belajar daripada kesilapan ini, kita akan melihat bahawa kesilapan, kegagalan, kesalahan, itu semua adalah pelengkap kepada kehidupan. Orang yang memerhatikan kesilapannya semula, kegagalannya semula, akan mempunyai kesedaran yang lebih tinggi, kepekaan yang lebih tinggi berbanding mereka yang tidak pernah peduli akan kegagalan mereka.Inilah dia apa yang suka saya sebutkan sebagai ‘membaca kehidupan’. Bukan sekadar bergantung kepada teori-teori di dalam buku semata-mata. Namun melihat juga apa yang telah kita lalui di dalam kehidupan kita.Belajar daripada kesilapan, belajar daripada kegagalan, itu semua banyak membantu untuk membina satu peribadi yang lebih mantap.

No comments:

Post a Comment