KATAKANLAH
(wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu;
diwahikan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan yang Satu; maka hendaklah
kamu tetap teguh di atas jalan yang betul lurus (yang membawa kepada mencapai
keredaan-Nya) serta pohonlah kepada-Nya mengampuni (dosa-dosa kamu yang telah
lalu). Dan (ingatlah), kecelakaan besar bagi orang-orang yang
mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu yang lain).” (Fussilat: 6).
Nabi
Muhammad merupakan rasul terakhir yang diutuskan oleh Allah s.w.t. kepada
seluruh umat manusia di muka bumi ini bertujuan menyebarkan ajaran Islam dengan
menyeru mereka mengesakan Allah s.w.t., tiada tuhan yang layak disembah
melainkan-Nya. Manusia diseru supaya mematuhi segala suruhan-Nya dan
meninggalkan apa yang dilarang oleh-Nya.
Sebagaimana
nabi-nabi dan rasul-rasul yang diutuskan sebelum ini, baginda juga adalah dalam
kalangan manusia. Walaupun baginda seorang yang ummi (tidak tahu membaca) tetapi
baginda dapat mempelajari dan mendalami al-Quran dengan sebaiknya dengan
dibantu oleh malaikat Jibril a.s.
Baginda
juga terkenal dengan akhlak terpuji dan budi pekerti yang tinggi sehingga
menjadi idola dan contoh tauladan kepada manusia sejagat di sepanjang zaman.
Setelah
melalui pelbagai rintangan ketika mengembangkan agama Allah s.w.t., baginda
dapat melembutkan hati-hati yang keras agar memeluk Islam dengan menggesa
mereka agar bertaubat terhadap kesalahan dan dosa yang lampau. Mereka juga
diberi peringatan bahawa sesiapa yang mempersekutukan Allah s.w.t. dengan
sesuatu yang lain akan mendapat balasan azab di akhirat kelak. Akhirnya,
jadilah mereka orang yang sanggup berkorban dan mempertahankan Islam hingga ke
titisan darah yang terakhir.
Kejayaan
Rasulullah s.a.w. menyebarkan agama Allah s.w.t. sungguh mengkagumkan. Sehingga
kini kita masih mampu merasai kemanisan iman yang dibawa oleh baginda. Sebagai
generasi Islam masa kini, kita hendaklah meneruskan dakwah Islamiah bagi
memperjuang dan menyambung usaha baginda dalam menegak dan mengembangkan syiar
Islam di serata dunia.
No comments:
Post a Comment