Wednesday, 4 June 2014

JANGAN CEPAT MENGHUKUM


Sebagai manusia yang beriman kepada Tuhan yang Maha Satu, dan Nabi Muhammad s.a.w adalah Utusan Tuhan yang Terakhir.Maka kita semua pasti yakin terhadap pahala, dosa, syurga dan neraka.Kita semua juga tahu bahawa kelak pasti kita akan meninggalkan dunia ini, dan yang kita bawa ke alam selepas mati hanyalah amalan kita di bumi samada yang baik mahupun yang buruk.Tetapi pernahkah kita risau terhadap diri kita sendiri, kerana zaman sekarang ini terlalu ramai daripada kalangan masyarakat yang terlalu sibuk menyemak, memuhasabah dan menilai amalan orang lain berbanding diri sendiri, bukankah kita sendiri akan tinggalkan juga dunia ini seperti yang lain?


Ada juga yang suka mencari keaiban saudara seislamnya dengan beralasankan agama iaitu mencegah kemungkaran kata mereka, ada juga yang menjadikan agama sebagai alat untuk menilai dan mengukur diri orang lain.Sebenarnya agama mengajar kita untuk mencegah kemungkaran dengan hikmah, dan ada cara-caranya bukan main hentam sembarangan.Apa yang saya dapat lihat pada zaman sekarang adalah orang yang gemar menilai amalan orang lain ini, dia merasakan dirinya telah cukup baik dan punyai amal yang banyak. Sedangkan dia tidak tahu bahawa segala amal solehnya itu terbakar begitu sahaja kerana akhlaknya yang buruk sesama manusia.









Dari sudut yang lain, saya kadang-kadang kecewa melihat sesetengah pihak yang lebih suka ‘kondem’ orang lain yang mahu berubah hanya kerana mereka itu seperti yang mereka sangkakan sudah berada di jalan Tuhan lebih lama. Atau mereka yang mengaku mereka itu golongan intelek. Mereka ‘membantu’, tapi dengan cara makian dan kejian terhadap orang yang keliru dan hilang arah tujuan dalam hidup. Perasaan benci yang mereka lemparkan itu, seolah-olah orang lain yang berbuat dosa sudah pasti neraka tempatnya.Ternyata ‘golongan intelek’ ini masih tidak faham erti kehidupan sesama manusia yang sebenarnya. Kerana jika mereka faham mereka sudah pasti tidak akan menghina orang-orang yang masih bertatih untuk menuju jalan Tuhan, apatah lagi mencaci keji. 


Dakwah itu bukanlah bererti mengkhabarkan kepada seluruh alam bahawa kitalah yang terbaik. Tapi dakwah itu adalah seperti ajakan atau seruan yang mengatakan, “mari, kita sama-sama keluar dari dalam bilik yang gelap ini ke luar sana yang lebih bercahaya.” Kita adalah makhluk yang lemah, akal kita amat terhad. Apa yang ada dalam hati manusia lain kita tidak pernah tahu, sebab tu kita tidak dibenarkan menghukum orang lain dengan apa yang kita lihat. Kadang-kadang buruk didepan mata, tetapi niatnya baik. Sama-samalah bersangka baik. Apa yang tidak jelas bertanyalah terus kepada tuan punya badan, elakkan sangka menyangka kerana sifat yang demikian akan membesarkan masalah.



No comments:

Post a Comment