Sunday, 28 December 2014

NUKILAN CINTAKU

Kau mungkin menghilang dari pandanganku….
Tetapi tidak dari hatiku
Kau mungkin jauh dari jangkauanku….
Tetapi tidak dari fikiranku

Kehadiranmu dalam hidupku
Membawa sejuta pijar lentera
Senyuman, canda tawa, serta cintamu
Mampu menyembuhkan lukaku di masa lalu
Kaulah yang membuatku bangkit dan percaya lagi akan cinta 





Malam menemaniku
Bersama cahaya kecil yang gelita
Sekadar untuk ku lihat wajahmu dibalik cermin hatiku
Yang menerobos ke alam fikiranku kala ini
Hatiku sentiasa mendambakan sebuah kasih setulus hatimu
Kekuatanmu juga kekuatanku

Padaku
Mungkin puisiku ini tidak seindah biasa
Namun cukuplah dirimu tahu
Puisi ini hanya untukmu sayang
Ku ciptakan hanya untukmu
Nukilan cinta ini buatmu bidadari
Penyeri di mata penyejuk di hati 




Ku tahu cinta tak semestinya memiliki setiap hari
Kasih dan sayang tidak semestinya di baitkan setiap detik
Namun mengertilah sayang
Dirimu selalu ada dihatiku

Ku selalu menyimpan dirimu dalam hidupku
Biarlah semua ini menjadi yang terindah
Semoga suatu hari nanti
Akan ada keajaiban
Diantara kau dan aku bersatu


KERANA RAHMAT ALLAH

Semua orang ingin masuk syurga di akhirat. Siapa kata, dia tidak mahu masuk syurga, nyatalah dia berbohong. Buktinya lihat bagaimana seluruh manusia tanpa kecuali seorang pun sedang sibuk mencari jalan dan berusaha untuk dapat syurga dunia. Iaitu sekurang-kurangnya rumah besar yang lengkap dengan perabut dan pakaian, makanan, hiasan dan lain-lain serba mewah. Itulah keinginan semua. Kerana semua menganggap pada rumah yang begitulah ada kebahagiaan dan keindahan hidup. Dan itulah hakikat syurga. Walaupun syurga dunia sebenarnya bukan pada rumah tapi pada hati. Yang mana kalau hati bahagia rumah kecil pun indah, walhal dalam keadaan hati menderita, kalau berada dalam istana sekalipun tetap terasa juga penderitaan itu. Rasa sempit dan menghimpit. Sebab itulah bagi orang yang mengetahui rahsia ini, hidupnya tidak digunakan untuk memburu kekayaan. Keutamaan akan diberikan pada memburu iman dan taqwa. Yakni hati yang penuh berisi ingatan dan cinta pada Allah dan pertemuan dengan-Nya yakni di hari kiamat. 



Bagaimana pula untuk dapat masuk syurga di akhirat? Dengan sembahyang, puasa, haji, zakat dan dengan segala amalan-amalan kita selama ini? Jawabnya, tidak. Sebab ahli syurga itu semuanya ke syurga kerana rahmat Allah. (Walaupun amal ibadah itu juga adalah dituntut). Manakala ahli neraka itu masuk neraka kerana keadilan-Nya. Siapa yang dapat rahmat dapatlah syurga itu dan siapa yang tidak dapat rahmat itu, maka tidak akan terbukalah pintu syurga untuknya walau bagaimana banyak pun ibadahnya. Kalau begitu, kenalah kita mencari dan mendapatkan rahmat Allah. Iaitu dengan melakukan amalan-amalan atau perkara yang boleh mendatangkan kasihan belas Allah pada kita. Lihat pertanyaan Allah pada Imam Ghazali, sesudah wafat beliau, "Amalanmu yang mana yang menyebabkan Aku menerima engkau dekat padaku?" Dalam keadaan Imam itu tertanya-tanya, Allah pun beritahu, "Iaitu kerana engkau membiarkan seekor lalat meminum dakwat dari penamu sewaktu engkau sedang menulis." 



Tentu kita pelik dengan kisah ini. Kenapa Allah tidak pandang pada jasa bakti Imam Ghazali yang sungguh banyak dan besar-besar terhadap agama Allah itu, sebagai sebab untuk dia masuk syurga? Sedangkan Allah berjanji untuk balas semua kebaikan sekalipun sebesar zarah? Jawabnya pintu syurga terbuka kerana satu amalan yang paling ikhlas, yang dibuat dengan susah payah dan betul-betul kerana Allah. Yang mana kalau bukanlah kerana takutkan Allah pasti amalan itu tidak dapat dibuatnya kerana susah dan payahnya amalan itu bagi individu itu. Amalan yang boleh membuatkan seseorang itu masuk syurga bukannya sama, antara seorang dengan seorang yang lain. Sebab manusia memang tidak sama hal keadaan mereka. Ukuran senang dan susah itu berbeza dari seorang ke seorang. Kerana itu darjah keikhlasan dalam melakukan satu-satu amalan tidaklah sama. Siapa yang dapat melakukan amalan yang paling berat padanya untuk dilakukan dengan niat betul-betul kerana Allah, maka berjayalah dia untuk mendapatkan kasihan belas (yakni rahmat Allah) dan syurga-Nya. Yang mana kalau orang lain melakukan hal yang sama, belum tentu sebab itu orang itu dapat masuk syurga. Sebab perkara itu mungkin tidak berat baginya, malah memang dia suka melakukannya.


DI MANA ALLAH DI HATI KITA ?

Sesekali kita perlu merenung jauh ungkapan “ di mana Allah dalam hati kita,” agar kita dibayangi kasih sayang Allah dengan apa yang kita lakukan, dalam kehidupan harian yang banyak menjurus kepada habuan duniawi lebih daripada mengingati Allah.Kita perlu meletakkan dalam minda beberapa persoalan untuk dijawab, di mana ia boleh membantu meningkatkan iman,hubungan serta keupayaan untuk maju dalam pelaksanaan ibadat yang sangat-sangat dituntut oleh Islam. Persoalan seperti-adakah kita telah mengagungkan Allah dalam perkara yang patut diagungkan? Bagaimana pula keagungan terhadap Allah menyerap masuk dalam sanubari kita?Sehubungan ini, Saidina Ali bin Abi Talib ada mengungkapkan kata-kata masyhurnya yang memuji golongan solihin, antara lain beliau menyebut: sesungguhnya keagungan Allah sentiasa bertapak dalam hati, apa yang mereka lihat selainNya adalah kecil belaka.




Cuba perhati serta renung secara mendalam kehidupan golongan solihin, yang penuh dengan pujian terhadap Allah atas segala keagungan ciptaanNya.Suasana ini telah menjadikan mereka sentiasa cermat dalam bertindak, berusaha tidak menyinggung kesucian Islam dengan kata-kata atau perbuatan. Mereka hanya takut kepada Allah dan tidak kepada makhluk apatah lagi derhaka kepadaNya.Keagungan hanya layak disanjung terus kepada Allah, tidak memohon sesuatu melainkan kepadaNya. Hati mereka hanya berpaut hanya untukNya, semua yang ada di muka bumi ini kerdil dan bersifat sementara, hanya Allah sahajalah yang kekal tanpa kesudahan.Justeru, di manakah kita terhadap cinta kepada Allah? Bagaimana hubungan kita denganNya? Adakah kita benar-benar memelihara kebenaran konsep cinta hanya kepadaNya atau ada yang lain turut menerima cinta kita untuknya? Adakah kita telah melakukan apa yang dikehandakiNya dalam proses kita meletakkan cinta hanya kepadaNya? 





Ketahuilah sekalian umat Islam, walau di mana mereka berada, dalam apa jua jawatan yang disandangnya, sesungguhnya Allah tidak suka kepada hambaNya yang memenuhi ruang hidupnya dengan pelbagai kebendaan dunia, hingga tiada ruang Allah di dalam hatinya.Apatah lagi untuk mengingatiNya dengan berzikir, jika Allah Maha Besar dalam segenap tindak-tanduk hambaNya, anak yang disayangi dijadikan korban tanpa berbelah bagi, itulah terjadi yang kepada Nabi Ibrahim yang menyembelih anak kerana patuh kepada perintah Allah.Dalam hal ini, baginda Rasulullah dan para sahabat tidak banyak bertanya, apatah lagi ragu terhadap perintah Allah untuk menghalakan kiblat ke Baitullah (Kaabah). Walaupun sebelum itu kiblat yang dihalakan adalah Masjid al-Aqsa, kerana Allah adalah segala-galanya dalam hidup mereka. Hidup dan mati mereka hanya untuk Allah dan bukan yang lain, kerana yang lain selain Allah akan mati dan memerlukan sokongan lantaran kelemahan dan tidak sempurna.

Tuesday, 16 December 2014

PEPERIKSAAN : MELATIH JIWA BERTAWAKKAL

Kehangatan peperiksaan atau ujian semakin membahang. Persediaan demi persediaan mula kita gerakkan.Pejam celik pejam celik,detik terus berlalu meninggalkan kita tanpa sebarang penyesalan.Timbul persoalan di sini, sejauh manakah persediaan kita bagi menghadapi imtihan sedangkan kita ini secara hakikatnya hanya makhluk yang lemah dan senantiasa memerlukan tempat kebergantungan dari yang Maha Berkuasa. Allah berfirman yang bermaksud :

"Dan apabila hamba2Ku bertanya padamu(muhamad) tentang(Aku),maka katakankan pada mereka sesungguhnya Aku ini dekat dengan mereka. Aku kabulkan permohonan orang-orang yang berdoa apabila dia berdoa padaKu. Hendaklah mereka itu memenuhi(perintahKU) dan beriman padaKU,agar mereka memperolehi kebenaran".(al-Baqarah:186) 



Secara fitrahnya manusia ini dicipta dalam keadaan naif dan lemah yang mana sampai satu saat kita berkehendak  MENCARI PERTOLONGAN dan BANTUAN.Ayat ini cukup jelas adalah untuk memberikan motivasi untuk kita semua.Apabila kita hendak  menghadapi dengan UJIAN atau PEPERIKASAAN tentu sahaja kita akan menghadapi dengan perasaan STRESS dan juga rasa kacau bilau.Sebab itu Islam mendidik kita beberapa cara untuk kita berhadapan dengan sifat dan perasaan yang bercelaru ini.Islam anjurkan kepada kita EMPAT perkara bagi menghadapi perasaan STRESS dan juga perasaan kacau bilau ini

Perkara yang pertama yang Islam anjurkan pada kita ialah dengan BERDOA.Kita di galakkan untuk berdoa di penghujung solat ketika sujud yang terakhir kerana sujud merupakan satu tempat paling DEKAT dengan Allah SWT.Ketika inilah peluang kita untuk MEMINTA KEJAYAAN yang diberkati Allah SWT.Selain itu juga kita di galakkan untuk melafazkan DOA pada satu pertiga malam kerana waktu ini lah yang waktu terapi stress yang paling sesuai untuk kita. 



Perkara yang kedua ialah dengan wirid atau pun ZIKIR. Secara psikologinya kita hanya mampu untuk fokus dalam mengulang kaji pelajaran hanya 45minit sahaja.Alangkah bijaknya kita sekiranya kita berhenti seketika sebelum sambung ulang kaji pelajaran selepas 45minit itu dengan BERZIKIR. Dalam hadith sohih Rasulullah s.a.w bersabda:"Ada dua kalimah yang mudah untuk kamu sebut dengan lidah,tetapi berat timbangan di sisi Allah dan dua kalimah yang sangat dikasihi Allah s.w.t,dua kalimah itu ialah Subhanallah wa biham dihi,Subhanallah hil a'zim"


Perkara yang ketiga ialah untuk menghadapi tekanan dan perasaan kacau bilau ini Islam juga mengajar kita untuk menghadapi perasaan ini dengan MEMBACA AL-QURAN kerana  al-Quran dapat membuka pintu HIKMAH,KETENANGAN dan juga pintu HIDAYAH. Al quran merupakan kalam mukjizat dari Allah yang sudah tentu di dalamnya mempunyai seribu satu penawar yang membolehkan hamba Nya melepaskan tekanan perasaan kacau bilau ini. Di dalam surah Al-Israa’ ayat 82,Allah SWT  berfirman:

“Dan kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang yang beriman kepadanya.” 



Perkara yang keempat ialah islam juga menganjurkan kita untuk sentiasa MENGEKALKAN DIRI DENGAN WUDHUK kerana kita akan sentiasa berada dalam keadaan bersih dan suci dalam wudhuk.Para malaikat juga suka pada orang yang berwudhuk dan para malaikat akan berdoa memohon keampunan pada Allah terhadap orang yang berwudhuk.InsyaAllah,tanpa dosa sudah tentu diri kita akan berada dalam keadaan tenang.Jadi,sebelum nak mengulang kaji pelajaran,sama-sama kita latih diri kita untuk berwudhuk terlebih dahulu supaya kita mendapt ketenangan dan mudah untuk ingat apa yang kita baca.


Marilah sama-sama kita berdoa agar kita menghadapi peperiksaan dengan penuh ketenangan dan keyakinan serta diberkati dan di beri pertolongan dari Allah SWT  Dalam satu hadith qudsi Allah berfirman yang bermaksud: ("Aku ini berada pada sangkaan hambaKu padaKU"). Jika baik sangkaan kita pada Allah,maka baiklah Allah pada kita.Andai kata kita tidak yakin maka itulah yang kita akan perolehi.Adab kita berdoa hendaklah penuh dengan pengharapan dan keyakinan. 

Tuesday, 2 December 2014

MENGUMPAT : RINGAN DI MULUT BERAT DI AKHIRAT

Mengumpat bermaksud seseorang menceritakan keburukan, kelemahan peribadi dan tindakan orang yang tertentu kepada orang lain yang tidak disukainya. Pada hakikatnya perbuatan mengumpat dilakukan secara sengaja dan tidak disedari oleh seseorang yang suka mengumpat di samping tidak dapat mengawal lidahnya daripada membicarakan kelemahannya atau keburukan peribadi orang lain. Dalam Islam perbuatan mengumpat adalah salah satu sifat yang tercela dan menjadi amalan orang yang tidak beriman dan munafik. Islam melarang keras umatnya mengumpat terhadap sesama muslim kerana boleh mendatangkan akibat yang buruk.




Orang yang suka mengumpat adalah diumpamakan sebagai orang yang memakan daging bangkai saudaranya sendiri. Perbuatan mengumpat boleh meninggung perasaan, hati dan kehormatan orang lain yang akhirnya boleh menimbulkan permusuhan dan perbalahan antara satu sama lain.Rasulullah S.A.W melarang umatnya mengumpat kerana banyak mendatangkan buruk sangka dan fitnah terhadap orang lain.Sepertimana yang di sabdakan baginda yang bermaksud : Setiap orang Islam terhadap sesama Islam itu haram darahnya (tidak boleh membunuh), hartanya (tidak boleh merampasnya) dan kehormatannya (tidak boleh mengumpat) – Muslim & At Termizi).



Ia di samakan seperti memakan daging saudara seagama. Manusia waras tidak sanggup memakan daging manusia, inikan pula daging saudara sendiri. Dosa mengumpat bukan saja besar, malah antara dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah SWT biarpun pelakunya benar-benar bertaubat. Dosa mengumpat hanya layak diampunkan oleh orang yang diumpatkan. Selagi orang yang diumpatnya tidak mengampunkan, maka dosa itu akan kekal dan menerima pembalasannya di akhirat.Lihatlah betapa besarnya dosa orang yang mengumpat. Ringan di mulut, berat timbangan dosa di akhirat. Yakni ringan sahaja untuk kita mengumpat, tetapi dosa itu teramat berat dan besar di sisi Allah SWT. Perkara ini terlalu biasa bagi masyarakat kita sehingga tidak sedar akan dosa-dosa dari perbuatan mengumpat.

Monday, 1 December 2014

DI SEBALIK TANGGAL 1 DISEMBER

Di sebalik tanggal 1 Disember,
Seorang ayah,hatinya resah berbau seribu macam perasaan dihati.Teruja,gementar,resah gelisah,gembira dan bahagia disaat menantikan sebuah kelahiran anak lelaki yang menjadi penantian dari dahulu lagi.Sungguh hati si ayah tidak dapat disembunyikan lagi seribu macam perasaan menunggu lahirnya seorang lahi putera harapan bangsa,negara dan agama.Si ayah,sudah tentu telah memikirkan masa depan anak yang bakal dilahirkan ini.Sudah tentu si ayah telah mencorakkan bagaimana susur galur kehidupan anaknya nanti.


Di sebalik tanggal 1 Disember,
Seorang ibu,hatinya berdebar-debar teruja bagi melahirkan seorang anak lelaki yang selama ini dikendong kesana kesini selama 9 bulan.Perasaan bahagia bercampur gembira ini menuntut untuknya lebih kuat dan tabah dalam usaha melahirkan seorang anak ini.Beliau menahan sejuta macam keperitan dan kepedihan,menerima sejuta macam cabaran dan dugaan,menghadapi pelbagai ubat-ubatan dan suntikan jarum. Demi berjuang melahirkan seorang putera yang diharapkan menjadi tiang seri agama,bangsa dan negara.




Di sebalik tanggal 1 Disember,
Jarum menunjukkan tepat jam 6 pagi,hati seorang ayah resah gelisah memikirkan nasib 2 nyawa insan yang semestinya paling disayangi dan dicintai.Adakah selamat dilahirkan atau sebaliknya.Hati seorang ibu pula,masih berjuang menahan dan menghadapi seribu macam kesakitan,keperitan dan kesukaran demi melahirkan seorang insan yang menjadi harapan mereka ini.2 hati tetapi berkongsi satu perasaan yang sama demi menantikan kehadiran insan baru.Si ayah terus menunggu dan menunggu manakala si ibu pula berjuang dan terus berjuang meskipun nyawa yang menjadi gadaian.


Di sebalik tanggal 1 Disember,
Akhirnya lahirlah seorang putera yang selama ini menjadi penantian mereka.Si ayah menangis kegebiraan sambil meyambut kedatangan insan baru ini.Si ibu menangis kesyukuran dek kerana berjaya dengan selamatnya melahirkan insan baru ini.Dunia sekali lagi menyaksikan bahwa mereka inilah insan yang paling gembira dan bahagia disaat lahirnya insan baru ini yang sudah semestinya menjadi tonggak harapan agama,bangsa dan negara.Dunia turut menjadi saksi bahwa mereka inilah insan yang paling mulia mengandungkan,menyusukan serta mendidik insan ini menjadi insan yang berguna suatu hari nanti.



Di sebalik tanggal 1 Disember,
Terima kasih mak terima kasih abah yang selama ini mengendong insan ini ke hulu ke hilir,menyusukan ia serta bekerja keras memerah keringat tenaga demi membesarkan insan yang kerdil ini.Jasamu mak jasamu abah,Allah jualah saksi atas segala-galanya. Yang membesarkan insan kerdil ini dari sebesar ibu jari hingga menjadi insan yang berguna nanti.Doaku insan kerdil ini,moga Allah merahmati serta memberkati perjalanan hidup dua insan paling mulia ini.Ampunkanlah mereka tempatkanlah mereka di temapat orang-orang yang soleh.Jadikanlah mereka ini insan-insan yang terpilih untuk bersama-sama para solehin,siddiqin dan para anbiya. Ameen.

KESENIAN DI KACA MATA ISLAM

Islam adalah agama yang diturunkan oleh Allah swt kepada seluruh manusia tanpa mengenal bangsa yang bersumberkan al-Quran, Sunnah dan Ijma' Ulama. Islam adalah agama yang nyata dan sesuai dengan fitrah manusia, pada semua tempat, zaman dan situasi menepati citarasa, kehendak, sifat, keinginan, nafsu, perasaan dan akal fikiran manusia. Dalam jiwa, perasaan, nurani dan keinginan manusia terbenamnya rasa sukakan keindahan dan keindahan itu adalah seni. Seni adalah sesuatu yang bersifat abstrak, dapat dipandang, didengar dan disentuh oleh jiwa tetapi tidak dapat dinyatakan melalui kata-kata dan bahasa.

Seni Islam merupakan sebahagian daripada kebudayaan Islam dan perbezaan antara seni Islam dengan bukan Islam ialah dari segi niat atau tujuan dan nilai akhlak yang terkandung dalam hasil seni Islam. Pencapaian yang dibuat oleh seni Islam itu juga merupakan sumbangan daripada tamadun Islam di mana tujuan seni Islam ini adalah kerana Allah swt. Walaupun seni merupakan salah satu unsur yang disumbangkan tetapi Allah melarang penciptaan seni yang melampaui batas. Firman Allah swt dalam surah Al Baqarah ayat 190 yang bermaksud : "Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melampaui batas."



Keindahan merupakan salah satu ciri keesaan, kebesaran dan kesempurnaan Allah swt lantas segala yang diciptakanNya juga merupakan pancaran keindahanNya. Manusia dijadikan sebagai makhluk yang paling indah dan paling sempurna. Bumi yang merupakan tempat manusia itu ditempatkan juga dihiasi dengan segala keindahan. Allah swt bukan sekadar menjadikan manusia sebagai makhluk yang terindah tetapi juga mempunyai naluri yang cintakan keindahan. Di sinilah letaknya keistimewaan manusia yang tidak dimiliki oleh makhluk lain sama ada malaikat, jin dan haiwan. Konsep kesenian dan kebudayaan dalam Islam berbeza dengan peradaban Islam yang lain.

Dalam pembangunan seni, kerangka dasarnya mestilah menyeluruh dan meliputi aspek-aspek akhlak, iman, matlamat keagamaan dan falsafah kehidupan manusia. Seni mestilah merupakan satu proses pendidikan yang bersifat positif mengikut kaca mata Islam, menggerakkan semangat, memimpin batin dan membangunkan akhlak. Ertinya seni mestilah bersifat menyuruh berbuat baik dan mencegah kemungkaran serta membangunkan akhlak masyarakat, bukan membawa kemungkaran dan juga bukan sebagai perosak akhlak ummah. Semua aktiviti kesenian manusia mesti ditundukkan kepada tujuan terakhir iaitu keredhaan Allah dan ketaqwaan. Semua nilai mestilah ditundukkan dalam hubunganNya serta kesanggupan berserah diri. Seni juga seharusnya menjadi alat untuk meningkatkan ketaqwaan.



Dalam Islam, seni tidaklah bermatlamatkan hiburan, tujuan keduniaan ataupun keseronokan. Islam telah menggariskan kesenian sesuai mengikut naluri dan fitrah semulajadi manusia. Sewajarnyalah juga manusia mengemudi seni mengikut fitrah manusia yang sedia ada berbekalkan sempadan syariah demi kesejahteraan jiwa dan dunia manusia. Bahkan sekiranya betul pembawaan seni itu, ia dikira ibadah pula. Alangkah ruginya manusia Muslim yang tidak tahu bagaimama untuk membawa kecenderungan makhluk sejenisnya ke arah ketaqwaan kepada Allah swt. Seni Islam dibentuk untuk melahirkan seseorang yang benar-benar baik dan beradab.

Konsep seni Islam dan pembawaannya haruslah menjurus ke arah konsep tauhid dan pengabdian kepada Allah swt. Motif berseni haruslah bermatlamatkan perkara-perkara ma'ruf (kebaikan), halal dan berakhlak. Jiwa seni mestilah ditundukkan kepada fitrah asal kejadian manusia kerana kebebasan jiwa dalam membentuk seni adalah menurut kesucian fitrahnya yang dikurniakan Allah swt. Fungsi seni tidak kurang sama dengan akal supaya manusia menyedari perkaitan antara alam, ketuhanan dan rohani atau dengan alam fizikal. Lantas ia menyedari keagungan Tuhan dan keunikan penciptaanNya.



DALAM MENYEULUSURI KEHIDUPAN INI

Kekayaan sekalipun jika dimiliki oleh seorang insan, tidak akan dapat memberikan ketenangan jiwa selagi dia tidak menemui jalan Tuhannya yang sebenar. Demikian itu, disebabkan Allah telah memfitrahkan dalam jiwa insan kehendak kepada kebenaran dan keinginan menyelusuri hidup dengan cara yang diredai-Nya.Jika ada insan yang menyeleweng dari fitrah ini, jiwanya akan menderita sekalipun dia mewah dan berkuasa. Sekalipun kelihatan gembira dan bersuka, namun di sudut sanubarinya kekosongan yang memeritkan. Insan yang tidak menyelusuri hidup atas landasan Tuhan akan sentiasa merasai kekosongan dalam jiwa atau pencariannya yang belum selesai. Jika dibiarkan, ia akan menjadi barah amat perit.


Kita selalu membaca berita artis-artis terkenal mengambil dadah atau orang ternama membunuh diri. Mereka bukan kekurangan harta, pengaruh atau kehilangan ruang untuk berpesta. Mereka kehilangan fitrah yang luhur. Maka akidah yang benar, pegangan agama yang jujur dan kehidupan berpandukan peraturan Allah adalah keperluan jiwa insan dan ubat bagi kesakitan perasaan. Jika insan tidak mengambil ubat ini, sekalipun kita melihat senyuman manisnya, namun di sudut perasaannya, ada seakan pemberontakan jiwa dan gangguan ketenangan yang tidak berkesudahan. Jika dia sedar, dia akan mencari kebenaran.




Sebab itu kita membaca ramai tokoh terbilang di Barat dan Timur mencuba berbagai-bagai agama. Sehingga akhirnya alhamdulillah ada yang menganut Islam. Jika dia tidak sedar, dia akan mengubatinya dengan mendapatkan kegilaan hidup menerusi aktiviti-aktiviti yang bermacam sebagai cubaan mencari ketenangan jiwa.Itulah sebabnya, sesetengah manusia membuat berbagai-bagai aktiviti yang pelik seperti merempit motosikal dengan cara yang memusnahkan diri, terjun dari tempat tinggi dengan cara yang berbahaya dan seumpamanya. Atau mungkin aktiviti yang baik seperti perjuangan membela kehidupan haiwan atau tumbuhan tertentu.


Walaupun amat baik dan bersesuaian dengan Islam, namun sebahagian aktiviti yang terlibat itu sebenarnya sedang mencari ruang mengisi satu kekosongan yang tidak dapat difahami dalam jiwa mereka. Manusia adakalnya ia akan tersempit.Kesempitan itu bukan kesempitan harta atau kuasa, tapi jiwa yang gagal menemui hakikat sebenar kebahagiaan. Ia seakan sesak dan penuh resah meraba-raba sesuatu yang dirasakan bagai kehilangan. Sesuatu itu sebenar adalah cahaya hidayah Allah.