Sunday, 28 December 2014

KERANA RAHMAT ALLAH

Semua orang ingin masuk syurga di akhirat. Siapa kata, dia tidak mahu masuk syurga, nyatalah dia berbohong. Buktinya lihat bagaimana seluruh manusia tanpa kecuali seorang pun sedang sibuk mencari jalan dan berusaha untuk dapat syurga dunia. Iaitu sekurang-kurangnya rumah besar yang lengkap dengan perabut dan pakaian, makanan, hiasan dan lain-lain serba mewah. Itulah keinginan semua. Kerana semua menganggap pada rumah yang begitulah ada kebahagiaan dan keindahan hidup. Dan itulah hakikat syurga. Walaupun syurga dunia sebenarnya bukan pada rumah tapi pada hati. Yang mana kalau hati bahagia rumah kecil pun indah, walhal dalam keadaan hati menderita, kalau berada dalam istana sekalipun tetap terasa juga penderitaan itu. Rasa sempit dan menghimpit. Sebab itulah bagi orang yang mengetahui rahsia ini, hidupnya tidak digunakan untuk memburu kekayaan. Keutamaan akan diberikan pada memburu iman dan taqwa. Yakni hati yang penuh berisi ingatan dan cinta pada Allah dan pertemuan dengan-Nya yakni di hari kiamat. 



Bagaimana pula untuk dapat masuk syurga di akhirat? Dengan sembahyang, puasa, haji, zakat dan dengan segala amalan-amalan kita selama ini? Jawabnya, tidak. Sebab ahli syurga itu semuanya ke syurga kerana rahmat Allah. (Walaupun amal ibadah itu juga adalah dituntut). Manakala ahli neraka itu masuk neraka kerana keadilan-Nya. Siapa yang dapat rahmat dapatlah syurga itu dan siapa yang tidak dapat rahmat itu, maka tidak akan terbukalah pintu syurga untuknya walau bagaimana banyak pun ibadahnya. Kalau begitu, kenalah kita mencari dan mendapatkan rahmat Allah. Iaitu dengan melakukan amalan-amalan atau perkara yang boleh mendatangkan kasihan belas Allah pada kita. Lihat pertanyaan Allah pada Imam Ghazali, sesudah wafat beliau, "Amalanmu yang mana yang menyebabkan Aku menerima engkau dekat padaku?" Dalam keadaan Imam itu tertanya-tanya, Allah pun beritahu, "Iaitu kerana engkau membiarkan seekor lalat meminum dakwat dari penamu sewaktu engkau sedang menulis." 



Tentu kita pelik dengan kisah ini. Kenapa Allah tidak pandang pada jasa bakti Imam Ghazali yang sungguh banyak dan besar-besar terhadap agama Allah itu, sebagai sebab untuk dia masuk syurga? Sedangkan Allah berjanji untuk balas semua kebaikan sekalipun sebesar zarah? Jawabnya pintu syurga terbuka kerana satu amalan yang paling ikhlas, yang dibuat dengan susah payah dan betul-betul kerana Allah. Yang mana kalau bukanlah kerana takutkan Allah pasti amalan itu tidak dapat dibuatnya kerana susah dan payahnya amalan itu bagi individu itu. Amalan yang boleh membuatkan seseorang itu masuk syurga bukannya sama, antara seorang dengan seorang yang lain. Sebab manusia memang tidak sama hal keadaan mereka. Ukuran senang dan susah itu berbeza dari seorang ke seorang. Kerana itu darjah keikhlasan dalam melakukan satu-satu amalan tidaklah sama. Siapa yang dapat melakukan amalan yang paling berat padanya untuk dilakukan dengan niat betul-betul kerana Allah, maka berjayalah dia untuk mendapatkan kasihan belas (yakni rahmat Allah) dan syurga-Nya. Yang mana kalau orang lain melakukan hal yang sama, belum tentu sebab itu orang itu dapat masuk syurga. Sebab perkara itu mungkin tidak berat baginya, malah memang dia suka melakukannya.


No comments:

Post a Comment