Islam adalah agama yang diturunkan oleh Allah swt kepada seluruh
manusia tanpa mengenal bangsa yang bersumberkan al-Quran, Sunnah dan Ijma'
Ulama. Islam adalah agama yang nyata dan sesuai dengan fitrah manusia, pada
semua tempat, zaman dan situasi menepati citarasa, kehendak, sifat, keinginan,
nafsu, perasaan dan akal fikiran manusia. Dalam jiwa, perasaan, nurani dan
keinginan manusia terbenamnya rasa sukakan keindahan dan keindahan itu adalah
seni. Seni adalah sesuatu yang bersifat abstrak, dapat dipandang, didengar dan
disentuh oleh jiwa tetapi tidak dapat dinyatakan melalui kata-kata dan bahasa.
Seni Islam merupakan sebahagian daripada kebudayaan Islam dan
perbezaan antara seni Islam dengan bukan Islam ialah dari segi niat atau tujuan
dan nilai akhlak yang terkandung dalam hasil seni Islam. Pencapaian yang dibuat
oleh seni Islam itu juga merupakan sumbangan daripada tamadun Islam di mana
tujuan seni Islam ini adalah kerana Allah swt. Walaupun seni merupakan salah
satu unsur yang disumbangkan tetapi Allah melarang penciptaan seni yang
melampaui batas. Firman Allah swt dalam surah Al Baqarah ayat 190 yang
bermaksud : "Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melampaui batas."
Keindahan merupakan salah satu ciri keesaan, kebesaran dan
kesempurnaan Allah swt lantas segala yang diciptakanNya juga merupakan pancaran
keindahanNya. Manusia dijadikan sebagai makhluk yang paling indah dan paling
sempurna. Bumi yang merupakan tempat manusia itu ditempatkan juga dihiasi
dengan segala keindahan. Allah swt bukan sekadar menjadikan manusia sebagai
makhluk yang terindah tetapi juga mempunyai naluri yang cintakan keindahan. Di
sinilah letaknya keistimewaan manusia yang tidak dimiliki oleh makhluk lain
sama ada malaikat, jin dan haiwan. Konsep kesenian dan kebudayaan dalam Islam
berbeza dengan peradaban Islam yang lain.
Dalam pembangunan seni, kerangka dasarnya mestilah menyeluruh dan
meliputi aspek-aspek akhlak, iman, matlamat keagamaan dan falsafah kehidupan
manusia. Seni mestilah merupakan satu proses pendidikan yang bersifat positif
mengikut kaca mata Islam, menggerakkan semangat, memimpin batin dan
membangunkan akhlak. Ertinya seni mestilah bersifat menyuruh berbuat baik dan mencegah kemungkaran serta membangunkan akhlak masyarakat, bukan membawa kemungkaran dan juga bukan
sebagai perosak akhlak ummah. Semua aktiviti kesenian manusia mesti ditundukkan
kepada tujuan terakhir iaitu keredhaan Allah dan ketaqwaan. Semua nilai
mestilah ditundukkan dalam hubunganNya serta kesanggupan berserah diri. Seni
juga seharusnya menjadi alat untuk meningkatkan ketaqwaan.
Dalam Islam, seni tidaklah bermatlamatkan hiburan, tujuan keduniaan
ataupun keseronokan. Islam telah menggariskan kesenian sesuai mengikut naluri
dan fitrah semulajadi manusia. Sewajarnyalah juga manusia mengemudi seni
mengikut fitrah manusia yang sedia ada berbekalkan sempadan syariah demi
kesejahteraan jiwa dan dunia manusia. Bahkan sekiranya betul pembawaan seni
itu, ia dikira ibadah pula. Alangkah ruginya manusia Muslim yang tidak tahu
bagaimama untuk membawa kecenderungan makhluk sejenisnya ke arah ketaqwaan
kepada Allah swt. Seni Islam dibentuk untuk melahirkan seseorang yang benar-benar
baik dan beradab.
Konsep seni Islam dan pembawaannya haruslah menjurus ke arah konsep
tauhid dan pengabdian kepada Allah swt. Motif berseni haruslah bermatlamatkan
perkara-perkara ma'ruf (kebaikan), halal dan berakhlak. Jiwa seni mestilah
ditundukkan kepada fitrah asal kejadian manusia kerana kebebasan jiwa dalam
membentuk seni adalah menurut kesucian fitrahnya yang dikurniakan Allah swt.
Fungsi seni tidak kurang sama dengan akal supaya manusia menyedari perkaitan
antara alam, ketuhanan dan rohani atau dengan alam fizikal. Lantas ia menyedari
keagungan Tuhan dan keunikan penciptaanNya.
No comments:
Post a Comment