Monday, 1 December 2014

DALAM MENYEULUSURI KEHIDUPAN INI

Kekayaan sekalipun jika dimiliki oleh seorang insan, tidak akan dapat memberikan ketenangan jiwa selagi dia tidak menemui jalan Tuhannya yang sebenar. Demikian itu, disebabkan Allah telah memfitrahkan dalam jiwa insan kehendak kepada kebenaran dan keinginan menyelusuri hidup dengan cara yang diredai-Nya.Jika ada insan yang menyeleweng dari fitrah ini, jiwanya akan menderita sekalipun dia mewah dan berkuasa. Sekalipun kelihatan gembira dan bersuka, namun di sudut sanubarinya kekosongan yang memeritkan. Insan yang tidak menyelusuri hidup atas landasan Tuhan akan sentiasa merasai kekosongan dalam jiwa atau pencariannya yang belum selesai. Jika dibiarkan, ia akan menjadi barah amat perit.


Kita selalu membaca berita artis-artis terkenal mengambil dadah atau orang ternama membunuh diri. Mereka bukan kekurangan harta, pengaruh atau kehilangan ruang untuk berpesta. Mereka kehilangan fitrah yang luhur. Maka akidah yang benar, pegangan agama yang jujur dan kehidupan berpandukan peraturan Allah adalah keperluan jiwa insan dan ubat bagi kesakitan perasaan. Jika insan tidak mengambil ubat ini, sekalipun kita melihat senyuman manisnya, namun di sudut perasaannya, ada seakan pemberontakan jiwa dan gangguan ketenangan yang tidak berkesudahan. Jika dia sedar, dia akan mencari kebenaran.




Sebab itu kita membaca ramai tokoh terbilang di Barat dan Timur mencuba berbagai-bagai agama. Sehingga akhirnya alhamdulillah ada yang menganut Islam. Jika dia tidak sedar, dia akan mengubatinya dengan mendapatkan kegilaan hidup menerusi aktiviti-aktiviti yang bermacam sebagai cubaan mencari ketenangan jiwa.Itulah sebabnya, sesetengah manusia membuat berbagai-bagai aktiviti yang pelik seperti merempit motosikal dengan cara yang memusnahkan diri, terjun dari tempat tinggi dengan cara yang berbahaya dan seumpamanya. Atau mungkin aktiviti yang baik seperti perjuangan membela kehidupan haiwan atau tumbuhan tertentu.


Walaupun amat baik dan bersesuaian dengan Islam, namun sebahagian aktiviti yang terlibat itu sebenarnya sedang mencari ruang mengisi satu kekosongan yang tidak dapat difahami dalam jiwa mereka. Manusia adakalnya ia akan tersempit.Kesempitan itu bukan kesempitan harta atau kuasa, tapi jiwa yang gagal menemui hakikat sebenar kebahagiaan. Ia seakan sesak dan penuh resah meraba-raba sesuatu yang dirasakan bagai kehilangan. Sesuatu itu sebenar adalah cahaya hidayah Allah.


No comments:

Post a Comment