Saturday, 31 January 2015

LIDAH AMANAH DARI ALLAH

Biasa kita dengar ungkapan “kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa”. Itulah perumapamaan Melayu yang banyak mendidik bangsa kita pada masa dahulu agar berhati-hati sewaktu berbicara. Oleh sebab itu, kita melihat orang Melayu terkenal dengan sifat bersopan santun.Walau bagaimanapun, terdapat juga sebilangan orang Melayu yang tidak sayang mulut. Mereka bukan sahaja “cakap lepas” sehingga menyinggung hati jiran tetangga, malah suka membawa cerita, mengumpat dan menabur fitnah. Mereka bersikap sebegini supaya dapat memberi masalah pada pihak lawan.Kita dapat melihat mereka seperti tidak mendapat apa-apa kesan negatif, sebaliknya mereka boleh bergembira atas penderitaan orang lain. Kalau begitu halnya, perumpamaan itu tidak benar-benar mendidik orang Melayu. Atau boleh jadi, mesej perumpamaan itu tidak merujuk kepada golongan di atas walaupun zahirnya perumpamaan tersebut menunjukkan seolah-olah kedua-dua belah pihak harus berasa bahananya.


Sedarlah bahawa mulut amanah Allah SWT. Jika kita merujuk kepada ilmu tasawwuf, “mulut” ini disebut “lidah”. Itulah hakikatnya. Mulut selain menjadi saluran untuk makan dan minum, ia juga menjadi medium komunikasi. Maka sebab itu, mulut pada hari akhirat akan menjadi saksi atas apa yang dilakukan oleh tuannya. Ketika itu manusia tidak boleh menafikannya lagi.Lidah merupakan salah satu daripada tujuh anggota manusia yang Allah SWT amanahkan kepadanya untuk dimanfaatkan dan dijaga sebaiknya. Jadi, semua anggota itu seharusnya dignakan mengikut kehendak Allah SWT. Mulut atau lidah sebagai contoh diamanahkan supaya bercakap perkara yang baik, membaca al-Quran dan menyampaikan ilmu yang bermanfaat. Tetapi realitinya, anggota tersebut sering disalahgunakan oleh manusia, lalu menyebabkan hubungan sesama manusia rosak binasa. Percayalah apabila manusia tidak menjaga amanah, mulut itu akan menjadi alat pemusnah kebahagiaan masyarakat. 





Oleh sebab  itu, dalam ilmu tasawwuf disebutkan, bagi mengimbangi tujuh anggota tersebut, Allah SWT menciptakan tujuh buah pintu neraka. Maknanya, bagi setiap satu bahagian anggota itu, ada neraka yang dikhususkan untuknya. Ini termasuklah neraka untuk mereka yang tidak menjaga amanah lidah. Sungguhpun Allah SWT telah menyediakan neraka khas bagi dosa lidah, masih ramai umat Islam yang tidak pandai menjaga lidah. Seolah-olah mereka telah merelakan diri untuk masuk ke dalam neraka tersebut. Mengapakah ini berlaku?Apakah mereka tidak takut kepada neraka?Kita mungkin tidak hairan dengan ahli politik yang setiap patah ucapannya boleh menyakitkan hati parti lawan. Ucapan yang berbentuk fitnah atau umpatan sudah menjadi asam garam dunia politik. Mungkin antara sebabnya, sudah tidak fikir akan dosa dan pahala lagi. Malah, boleh jadi mereka tidak takut akan neraka atas sangkaan peluang untuk bertaubat masih ada.



Demikian juga sifat dua orang insan yang berebut kuasa dan sebagainya. Kata-mengata antara satu sama lain sudah menjadi lumrah. Persoalannya, adakah dengan mengata orang, pihak satu lagi boleh insaf dan bertaubat? Tidak sama sekali. Jadi apa faedahnya berbuat begitu? Tidak gerunkah kita andai nanti dimasukkan ke dalam neraka bahana lidah ini.Kita dapat mengenal peribadi seseorang daripada percakapannya. Orang yang tinggi akhlak selalunya bercakap hal yang baik saja, tidak menyakiti hati orang lain, tidak mengucapkan perkataan kotor dan tidak banyak bercakap. Mereka mengawal lidah sebaik-baiknya.Ya Allah, peliharalah lidah kami daripada kata-kata keji, dusta, nista, umpat, fitnah, adu domba dan selamatkan kami daripada lidah para penabur fitnah. Ya Allah, jauhkanlah lidah kami daripada menyakiti umat manusia, dan jadikanlah ia kepada kami sebagai penyelamat daripada api neraka, dan jadikanlah perkataan kami sebagai jambatan menuju ke syurga. Ya Allah, ampunkanlah kami, dan golongkanlah kami dalam mereka yang berkata benar. 

Tuesday, 20 January 2015

PERJALANAN MENUJU MU

Ku berjalan kesepian meniti lorong-lorong kehidupan
Bertemankan bayu kasihNya yang menghembus perlahan
Ku mencari sinar suria agama dalam meraih teduh rahmatNya
Ku mencari sang pelangi iman untuk menerangi langkahku
Sebagai petunjuk dalam melalui simpang bahagia mahupun derita
Aku hanya insan biasa yang perlukan pergantungan dari Nya
Dia lah yang menakluk hati ku dan membolak-balikkanhati ini


Merentasi daerah fikiran mencari kematangan diri
Menerokai medan ilmu dalam menggapai kecemerlangan hakiki
Menyaksikan panorama dunia yang berbagai ciri keunikan
Sungguh indah alam ciptaanMu wahai Tuhan Yang Maha Indah
AlamMu dihiasi bunga-bunga yang sentiasa galak menguntum senyuman
Dihiasi gunung-ganang yang sentiasa gah memaksi hamparan bumi
Serta dihiasi lautan yang beralun lembut berdendang zikir syahdu padaMu 




Subhanallah, tiada yang lebih indah melainkan keindahanMu Ya Allah
Tetapi sayang hamparanMu itu telah dinodai oleh sejenis makhluk
Yang bernama manusia serta diiktiraf olehMu sebagai ‘Khalifah’
Terlalu banyak daripada mereka yang menjadi egois dan parasit
Berbanding yang berbudi mulia yang sentiasa redha denganMu
Mereka terpalit dengan hasutan liar fana yang menyesatkan


Ku terasa lelah mengekori arus pergolakan duniawi
Berhenti seketika di anjung sukma mencari nafas ketenangan
Cuba menjengah di balik sekeping jendela nurani
Aku terlalu asyik menghitung pada yang lain
Tanpaku sedar dimana letaknya tunjang diriku sendiri
Adakah dalam kebaikan ataupun sebaliknya
Masihkah ada ruang untuk ku singkap kembali
Tirai dosa yang telah usang menghiasi tembok qalbu 




Ya Allah ampunkanlah daku serta kami semua
Hembuskanlah bayu ketenangan mahabbahMu
Tetapkanlah hatiku agar terus istiqamah dalam kebaikan
Berikanlah petunjukMu pada yang lalai serta zalim
Lindungilah mereka yang lemah teranaiya
Aku mahukan kedamaian bertakhta di segenap jiwa


Sungguh hebat kanvas kembara hidup ini
Setiap apa yang berlaku terselit sejuta hikmah
Tamatnya sudah destinasi perjalananku kepadaMu
Perjalanan mencari identiti realiti menuju hakiki
Tiba saatnya ku mengadap mempersembah segala amalku
Sambutlah dingin rohku dengan hangat pelukan rahmatMu
Aku datang dengan sepenuh pengharapan kepadaMu Tuhan
Daripada Allah aku datang dan kepada Allah jua aku kembali 

CINTA AKHIRAT TANPA PINGGIR DUNIA

Keyakinan kepada Hari Akhirat sangat penting ketika hidup di dunia. Itulah prinsip yang menjadikan manusia mampu melaksanakan kebaikan walaupun sekiranya tidak mendapat penghargaan atau ganjaran.Dan itulah juga penghalang untuk tidak melakukan kejahatan sekalipun terlepas daripada undang-undang dan pemerhatian orang. Justeru, dunia tidak adil. Acapkali orang baik ditindas dan dizalimi. Manakala orang jahat pula yang disanjung dan dipuja.Apakah kerana dunia tidak adil kita akan berhenti melakukan kebaikan? Tidak.Orang beriman akan terus membuat kebaikan kerana yakin adanya Hari Akhirat. Di sana setiap kebaikan pasti mendapat balasan. Apa yang lebih diharapkan adalah ganjaran akhirat bukan keuntungan dunia.


Hidup di dunia adalah  untuk ‘menanam’ pohon kebaikan sebanyak-banyaknya. Insya-Allah di akhirat nanti akan dituai hasilnya. Orang beriman celik mata hati. Syurga, pahala, keredhaan Allah dan pengampunanNya jelas tertera di ruang hati. Mereka rela rugi, dicaci dan menderita di dunia yang sementara demi mendapat ganjaran, pujian dan kesenangan di akhirat yang abadi. Dunia ini dirasakan ladang tempat bercucuk tanam. Justeru, mereka adalah orang yang paling sibuk berkerja di dunia. Mereka sentiasa aktif dan produktif. Ya, kecintaan kepada syurga tidak bermakna meminggirkan dunia! 




Hati orang beriman dapat melihat dengan jelas dunia yang dekat dan akhirat yang jauh. Yang dekat (dunia) dimanfaatkan semaksimumnya demi keuntungan pada yang jauh (akhirat). Hati mereka tidak rabun dekat dan juga tidak rabun jauh. Hubungan kesalingan antara keduanya dapat dilihat dengan jelas dan tepat. Menerusi pandangan mata hati, mereka memburu dunia dengan sebanyak-banyaknya. Namun bukan untuk diletakkan di dalam hati. Sebaliknya, hanya diletakkan di tangan agar mudah diagih-agihkan.Sebahagian besar manusia, rabun jauh hanya nampak kehidupan dunia. Akhirat seolah-olah tidak ada. Memburu kenikmatan dan kesenangan dunia tanpa memikirkan soal halal dan haram. Menipu, rasuah dan mengumpul harta sebanyak-banyaknya seolah-olah ingin hidup selama-lamanya di dunia.


Mereka lupa bahawa memburu dunia dengan melupakan akhirat hanya meninggikan tempat jatuh. Semakin banyak kuantiti harta yang mereka dapat, semakin banyak banyak kualiti jiwa yang mereka hilang. Ketamakan, kerakusan, kekejaman dan kepura-puraan akan melanda hidup mereka. Mereka akan ‘diburu’ oleh apa yang mereka buru. Harta adalah hamba yang paling baik tetapi tuan yang sangat kejam!Maksudnya, selagi dunia dijadikan alat untuk mencapai matlamat (membuat kebaikan sebanyak-banyaknya), maka selagi itulah ia akan memberi manfaat. Sebaliknya, jika dunia sudah dijadikan matlamat ia akan menipu dan menghancur pemburunya. Menikmati kesenangan dunia tanpa mencintai akhirat umpama minum air laut semakin diminum akan semakin haus.Manusia hakikatnya bukan warga dunia, manusia adalah warga akhirat. 

DIRIMU BEGITU BERHARGA

Sejak kebelakangan ini, kita seringkali mendengar dan terbaca artikel tentang teguran terhadap para da’ie agar tidak menghukum dan memandang serong kepada muslimah yang tidak berhijab dengan hujah bahawa mereka ini (iaitu muslimah yang tidak menutup aurat) masih belum mendapat hidayah Allah dan belum ada kekuatan untuk berhijab. Mereka juga mengatakan golongan muslimah yang tidak berhijab ini jika satu hari telah mendapat hidayah dan bertaubat dengan taubat yang murni, mereka ini jauh lebih baik dan lebih mulia. Maka dicananglah kisah seorang pelacur yang dapat memasuki syurga kerana telah memberikan minuman kepada seekor anjing.Dari satu sisi, sudah semestinya kita harus bersetuju dengan pendapat si ‘penulis’ tentang isu ini. Soal hidayah adalah hak mutlak Allah. DIA berhak berikan kepada sesiapa saja hambaNYA di dunia ini. Kita hanya membenci dosa yang dilakukan, tapi bukan benci kepada si pelaku dosa. Namun jauh disudut hati, kita risau sekiranya penulisan seperti itu menjadi ‘tiket’ kepada para wanita muslim yang masih belum bertudung di luar sana untuk terus-terusan dengan dosa membuka aurat. 




Perintah menutup aurat adalah perintah ALLAH. Siapa ALLAH? Allah adalah tuhan yang menciptakan segala sesuatu baik yang ada di langit mahupun yang ada di bumi. Seluruh makhluk bertasbih dan memuji kebesaran zat Allah. Setiap perintah Allah wajib kita patuh, tunduk dan taat. Siapalah kita untuk ingkar terhadap perintah Allah, sedangkan apapun yang kita miliki hari ini termasuk jasad kita adalah milik Allah? Tidak ada hatta sebesar zarah milik kita. Jadi mengapa perlu ingkar? Mengapa perlu bertangguh-tangguh dalam mentaati perintahNYA? Analoginya mudah. Jika kita berkerja dalam sebuah syarikat, pasti kita akan tunduk dan patuh pada peraturan serta arahan dari majikan kita, bukan? Kalau kita ingkar, kita akan dibuang kerja dan hilang punca pendapatan. Nah, begitulah juga kita dengan Allah. Ingkar arahan Allah, bererti kita menzalimi diri sendiri dan hilanglah keberkatan dalam hidup kita. Maka serikandi sekalian, ayuhlah. Jangan bertangguh dalam menyahut seruan menutup aurat. Hukum menutup aurat bukan perkara furu’. Tiada perselisihan di kalangan ulama tentang soal aurat baik lelaki atau wanita. Jangan kata tunggu dulu, mulakan sekarang. Takut kita tidak punya banyak masa untuk terus bertangguh.Ingat, ajal kita juga tidak bertangguh! 




Kemudian lagi, terdengar suara-suara yang merintih, saya belum ada kekuatan untuk menutup aurat. Saya belum bersedia untuk menutup aurat. Hati saya belum terbuka dan pelbagai lagi. Secara peribadi, kita harus melihat bahawa ini semua sebagai alasan dan hasutan iblis untuk terus memberi alasan untuk tidak menutup aurat dan tunduk pada perintah Allah. Saudariku, kekuatan untuk menutup aurat bukanlah ditunggu. Bila kita faham bahawa hukum menutup aurat itu wajib, ketahuilah bahawa kefahaman itu juga adalah hidayah Allah. Maka bertindaklah dan mulakan langkah pertama. Tidak perlu istikharah, tidak perlu mohon petunjuk Allah. Anda hanya perlu tekadkan keyakinan dan kuatkan iman. Tidak rugi kita untuk akur pada perintah Allah. DIA yang menciptakan kita, DIA jualah yg tahu segala yang terbaik untuk kita. Tidak masuk akal, Allah SWT dengan segala sifatNYA yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang sengaja untuk menzalimi dan menyusahkan hamba-hambaNYA. Bahkan, Allah SWT ingin memberikan kita lebih banyak kemudahan dan kesenangan di akhirat nanti. Jangan ragu wahai saudariku. Iblis pasti tetap membisikkan perkara yang bukan-bukan untuk menakut-nakutkan kita. Tinggalkan mereka, berhijablah. Biarkan iblis dan konco-konconya menangis meraung kerana usahanya tidak berjaya mengheret kita masuk ke neraka. Raihlah kekuatan itu dan dalam masa yang sama kita juga meraih cinta Kekasih agung kita. Bukankah itu lebih bernilai dari harta seluruh dunia?

Monday, 19 January 2015

HIDUP HANYA SEBUAH PINJAMAN

Malam ini..
Aku masih bersama keluarga tercinta
Menghirup udara segar
Melihat bulan dan bintang bertaburan
Melihat keindahan alam maya
Adakah hari esok
Masih ku rasai semua ini??
Kematian..
Kau pasti datang.. menjemputku
Tiada yang terhindar darimu
Kehadiran mu tak dapat dihalang
Atau ditunda waktunya 



Ya Allah
Aku hamba Mu yang hina
Telalu banyak dosa lalu ku lakukan
Ku mohon keampunan Mu Ya Allah
Tiada tempat bagiku
Hanya kaulah tempat aku mengadu
Dan jangan Kau
Jauhkan aku dari Mu walau sedetik
Sinarilah hidupku dengan hidayah Mu
Berilah pertunjuk dikalaku kebuntuan
Selagi nafas bersisa di bumi Mu ini 




Ya Allah
Keindahan ini hanya pinjaman
Kehidupanku jua sebuah pinjaman
Pabila Sakaratul Maut tiba
Semua pinjaman ini dikembalikan pada Mu
Tiada lagi yang menjadi milik ku
Keluarga… kawan-kawan.. isteri tercinta
Akan ku pulangkan pada Mu
Hanyalah yang ku bawa amalanku
Ibadahku… doa anak yang soleh
Menjadi peneman di alam kubur
Matikanlah aku dalam Husnul Khatimah
Agar menjadi malam pertama
Bagi malam-malam syurga berikutnya
Dan jauhkanlah Aku
Dari malam-malam neraka berikutnya

JALAN YANG HARUS DI TEMPUH

Kelemahan dan ketidakupayaan diri dalam menyelesaikan masalah-masalah yang menghimpit hidup tidak seharusnya menjadi sebab untuk meranapkan tangga-tangga harapan bagi mengecap masa depan yang lebih cerah. Lemah tidak menandakan kita perlu putus asa walaupun berasa diri sudah kehilangan makna bagi meneruskan hidup anugerah Allah ini. Sekiranya persepsi begitu diprogramkan dalam benak, senang sekali cara penyelesaiannya. Tiadalah wujud istilah ‘berjuang’ dan ‘jihad’ dalam kamus kehidupan seseorang muslim.


Seandainya seseorang itu mempunyai kematangan dalam bereaksi dengan kesulitan hidup ini, ‘lemah’ akan diberikan kesimpulan agar ‘perlu usaha lebih gigih’ dan bukan pula akan ditafsir sebagai ‘gagal’, bahkan seharusnya ditafsir sebagai ‘belum berjaya’. Jika kita perhatikan betul-betul, bukankah istilah ‘gagal’ dan ‘belum berjaya’ terdapat perbezaan maksud yang ketara? Kata hukama’, “Kegagalan sebenar bukan ketika kau jatuh dan tewas dalam suatu usaha , tetapi ketika kau sudah berputus asa untuk bangkit kembali.” Seringkali emosi kesedihan melupakan kita terhadap firman Allah ini, “Allah tidak membebani seseorang melainkan dengan kesanggupannya.” 




Meletakkan daya keterbasan dalam usaha dan kegigihan merupakan satu tindakan yang menyebabkan kita melihat ketidakupayaan diri itu sebagai suatu kelemahan hakiki walhal tidak. Meskipun kita tidak menafikan antara bentuk kelemahan manusia adalah mempunyai had dan batas daya upaya, tetapi adakah kita tahu dimana had dan batas itu? Ternyata tidak. Kegagalan dan kelemahan dalam perkara-perkara yang seolah-olah sulit untuk diselesaikan tidak menandakan kita sudah sampai kepada had kita, sebaliknya memberitahu kita dimana kesilapan yang perlu diperbaiki dan diberi tambah baik untuk melepasi had sebelumnya. Daripada situ kita akan melihat “Kesempurnaan manusia berselindung disebalik ketidaksempurnaannya.” Kerana kesedaran terhadap sifat tidak sempurna inilah mendorong kita untuk sentiasa menuju sempurna.


Cuba kita mengkaji latar kehidupan orang-orang yang berjaya, mereka lebih banyak menghadapi kegagalan berbanding orang-orang yang gagal! Ini bukan sesuatu yang ironi, ini sesuatu yang masuk akal dan rasional. Hal ini kerana mereka telah mengumpulkan tenaga dan kekuatan melalui pengalaman yang banyak dan mengkaji serta belajar cara untuk mengatasi titik-titik kelemahan tersebut dengan teliti bagi terus mencari jalan untuk sampai ke puncak. Hal ini tidak lain dan tidak bukan memerlukan azam dan semangat tanpa padam agar langkah-langkah menuju puncak itu sentiasa konsisten. Fikirkan pengajaran ini baik-baik. Kegagalan adalah berpunca daripada kelemahan diri dalam mengendalikan sesuatu perkara, walaupunbegitu kegagalan juga merupakan platform untuk kita mengatasi kelemahan diri tersebut. Kita tidak akan jumpa seseorang yang mencapai hidup senang tanpa pernah melalui sebarang kesulitan dan kegagalan. Bahkan kegagalanlah yang mengajar mereka erti berdikari dan matang. 

AKU MASIH YANG DULU

Aku masih seperti kelmarin
Kesedihan, kegagalan dan penderitaan
Semua ini atas kekuasaanNya
Aku hanya insan kerdil yang hanya mampu berusaha
Bertawakal dan berdoa agar hidup ini
Diberi hidayah dan pedoman



Aku masih seperti semalam
Aku bersyukur kehadrat Ilahi kerana
Diberi peluang untuk bernafas di bumi ciptaanNya
Dan diberi petunjuk dikala kebuntuan
Aku bersyukur padaNya
Sesungguhnya ujian yang datang itu
Mengukuhkan lagi iman
Dan menguatkan pendirianku 




Aku masih seperti hari ini
Hanya mampu ku tampilkan
Peribadi insan yang berilmiah
Dan menghambakan diri kepadaNya
Aku redha dengan apa yang telah tersurat
Di dalam perjalanan hidup ini
Jika ini jalan terbaik bagi ku
Akan ku terangi dengan cahaya ketabahan
Walauapa pun rintangan, aku tetap berdiri teguh
Semua ini adalah satu permulaan dalam kehidupan 



Insya-Allah….
Aku adalah insan yang sama pada hari mendatang
Akan ku cekalkan semangat
Agar ianya tidak patah dipertengahan jalan
Hanya doa mengiringi ketabahan bagi menguatkan semangat
Sesungguhnya 
aku memihak kepada kebenaran..
Temanku keceriaan, sahabatku senyuman
Kesabaran, rakan dikala kesunyian
Walauapa pun terjadi
Anggaplah semua ini satu ujian dariNya
Dan terimalah aku dengan seadanya

Saturday, 17 January 2015

HARI INI MILIK KITA

Maksud yang terkandung dari kata”Hari Ini Milik Kita” adalah bahwa semestinya kita memanfaatkan hari yang  sedang kita lalui dengan sebaik-baiknya. Dengan berusaha melakukan yang terbaik dengan cara yang baik, dan berusaha memberikan yang terbaik untuk sesama. Bukan dengan menenggelamkan diri dalam lautan penyesalan akan kesalahan yang pernah dilakukan,dan tanpa berusaha untuk melakukan tindakan  apapun di hari ini. Dan bukan jua dengan hanya mengkhayal sesuatu untuk masa depan tetapi tidak melakukan apapun di hari ini. Kenapa hari ini menjadi hari kita?apakah hari yang telah kita lalui bukan milik kita?apakah hari esok tidak akan menjadi milik kita? Jawapannya adalah bukan kerana hari ini adalah hari yang pasti bagi kita untuk menjalankan aktiviti kita. Sedangkan masa lalu adalah hari yang telah dilalui yang tak akan mungkin kembali lagi dan masa depan adalah sesuatu yang tidak pasti. Pantaskah kita berharap dapat kembali ke masa lalu sedangkan telas jelas hal itu tak dapat kembali lagi? Sedangkan kita memiliki hari ini. 




Setiap kita pernah melakukan kesalahan. Ya! Memang benar. Kerana kita bernafas dalam jiwa hamba yang memiliki nafsu, bukan jiwa malaikat yang tak dianugerahi nafsu. Jika para malaikat selalu taat kepada Allah, menurut kita itu hal biasa kerana mereka tidak dianugerahi nafsu yang sering mendorong untuk  melakukan kesalahan. Tapi, jika ada manusia yang selalu  berada dalam ketatan kepada-Nya,itu adalah hal yang sangat luar biasa kerana ia mampu mengalahkan dan mengendalikan nafsunya. Kita memang bukan para malaikat yang selalu taat kepada-Nya,tapi kita dapat belajar dari ketaatan mereka yang senantiasa berada dalam ketaatan kepada-Nya. Maka, di hari ini dan hari esok jangan biarkan diri  kita kembali jatuh dalam jurang yang sama.Berusahalah untuk tidak terjatuh kembali dalam jurang yang sama,dalam kesalahan yang sama.


Jika diungkap kembali sejarah Nabi Allah Adam AS,syaitan telah berjaya mengeluarkan ibu bapa (Nabi adam dan hawa) kita dari syurga-Nya, maka Allah ingatkan agar kita tidak ditipu oleh syaitan sebagaimana ia telah menipu ibu bapa kita.Jika syaitan itu telah berjaya mengeluarkan ibu bapa kita dari syurga-Nya, maka jangan biarkan ia kembali berhasil mengeluarkan kita dari jalan kebenaran. Jangan biarkan ia menjauhkan kita dari-Nya. Jadikanlah kekhilafan ibu bapa kita itu sebagai pelajaran yang membekas dalam jiwa kita. Hari ini milik kita. Lupakanlah semua kesalahan yang pernah dibuat dimasa lalu. Biarlah ia tenggelam bersama tenggelamnya matahari. Jangan biarkan ia menjadi ombak yang menghapus kebahagiaan yang telah di ukir di pasir pantai.Cukuplah kesalahan dan kelalaian di masa lalu itu menjadi pelajaran agar kita tak jatuh kedalam jurang yang sama. Tatahlah kembali hari ini menjadi lebih baik agar masa depan akan menjadi baik. Azamkan dalam diri untuk tidak mengulangi kesalahan itu lagi. Yakinlah bahawasanya Allah itu Maha Penerima Taubat hamba Nya meskipun Dia tahu hamba Nya pasti akan tergelincir lagi.

FAHAMI MAKSUD IZIN DAN REDHA

Antara perkara yang perlu dibezakan ialah ungkapan ‘izin’ dan ‘redha’.Apa yang kita izinkan tidak semestinya kita redha. Juga sebaliknya apa yang kita redha tidak semestinya kita izinkan. Juga mungkin apa yang kita izinkan itu kita redha, atau sebaliknya juga mungkin apa yang kita redha maka kita izinkan. Kita mungkin memberikan kebenaran atau memboleh sesuatu yang di bawah penguasaan kita berlaku dalam keadaan redha ataupun tidak redha. Apa yang kita izinkan bukanlah semestinya kita redha atau suka. Misalnya jika seseorang pemerintah muslim mengizinkan bukan muslim membina rumah ibadah mereka, bukanlah semestinya bererti pemerintah tersebut meredhai kekufuran atau penyembahan selain daripada Allah. 



Keizinan itu diberikan mungkin disebabkan kerana hak-hak mereka sebagai bukan muslim dalam mengamalkan agama dan cara hidup mereka. Pemerintah mengatur urusan rakyat dengan adil dan saksama. Keizinan atau kelulusan yang diberikan oleh pemerintah bukan menunjukkan akidahnya telah rosak atau dia telah menghalalkan yang haramApa yang ingin dijelaskan ialah bukan semestinya setiap yang diizinkan itu diredhai oleh seseorang. Begitu juga di dalam islam, apa yang terjadi itu semuanya diatas keizinan dari Allah namun kita perlu tahu bahwasanya setiap perkara yang berlaku dan terjadi di alam ini tidak semestinya diredhai Allah. Contohnya Allah izinkan orang-orang kafir terus mensyirikkan Nya dan Allah jua mengizinkan penyembahan hanya pada Nya tanpa mensyirikkan Allah.Namun timbul persoalan disini ialah apakah Allah redha akan pensyirikkan ke atas Nya ? Sudah tentu Allah SWT tidak akan sama sekali meredhai perbuatan mensyirikkan Nya.


Jika dimbas pada zaman dahulu,betapa ramai wanita zaman dahuhu yang mengizinkan bapa mereka mengahwinkan mereka, sedangkan jantung hati mereka tidak redha. Ada juga sesuatu perkara itu Allah redha dan Allah suka tetapi Allah tidak izinkan perkara itu berlaku. Misalnya kita ingin melaksanakan ibadah haji dan perkara itu Allah suka dan redha namun tanpa izin Nya kita belum berkesempatan melaksanakan ibadah haji tersebut.Dalam konteks kehidupan seharian,ada keadaan di mana kita izinkan sesuatu dengan penuh redha. Juga ada keadaan di mana kita meredhai sesuatu tetapi tidak dapat mengizinkannya. Kita tidak mengizinkan mungkin disebabkan sebab-sebab tertentu .Oleh itu,sebagai seorang muslim,kita perlu fahami maksud sebenar apa yang dikatakan izin dan redha tersebut. Sedarlah akan kita bahawa setiap perkara yang di izinkan oleh Allah tidak semestinya diredhai Allah.