Tuesday, 20 January 2015

DIRIMU BEGITU BERHARGA

Sejak kebelakangan ini, kita seringkali mendengar dan terbaca artikel tentang teguran terhadap para da’ie agar tidak menghukum dan memandang serong kepada muslimah yang tidak berhijab dengan hujah bahawa mereka ini (iaitu muslimah yang tidak menutup aurat) masih belum mendapat hidayah Allah dan belum ada kekuatan untuk berhijab. Mereka juga mengatakan golongan muslimah yang tidak berhijab ini jika satu hari telah mendapat hidayah dan bertaubat dengan taubat yang murni, mereka ini jauh lebih baik dan lebih mulia. Maka dicananglah kisah seorang pelacur yang dapat memasuki syurga kerana telah memberikan minuman kepada seekor anjing.Dari satu sisi, sudah semestinya kita harus bersetuju dengan pendapat si ‘penulis’ tentang isu ini. Soal hidayah adalah hak mutlak Allah. DIA berhak berikan kepada sesiapa saja hambaNYA di dunia ini. Kita hanya membenci dosa yang dilakukan, tapi bukan benci kepada si pelaku dosa. Namun jauh disudut hati, kita risau sekiranya penulisan seperti itu menjadi ‘tiket’ kepada para wanita muslim yang masih belum bertudung di luar sana untuk terus-terusan dengan dosa membuka aurat. 




Perintah menutup aurat adalah perintah ALLAH. Siapa ALLAH? Allah adalah tuhan yang menciptakan segala sesuatu baik yang ada di langit mahupun yang ada di bumi. Seluruh makhluk bertasbih dan memuji kebesaran zat Allah. Setiap perintah Allah wajib kita patuh, tunduk dan taat. Siapalah kita untuk ingkar terhadap perintah Allah, sedangkan apapun yang kita miliki hari ini termasuk jasad kita adalah milik Allah? Tidak ada hatta sebesar zarah milik kita. Jadi mengapa perlu ingkar? Mengapa perlu bertangguh-tangguh dalam mentaati perintahNYA? Analoginya mudah. Jika kita berkerja dalam sebuah syarikat, pasti kita akan tunduk dan patuh pada peraturan serta arahan dari majikan kita, bukan? Kalau kita ingkar, kita akan dibuang kerja dan hilang punca pendapatan. Nah, begitulah juga kita dengan Allah. Ingkar arahan Allah, bererti kita menzalimi diri sendiri dan hilanglah keberkatan dalam hidup kita. Maka serikandi sekalian, ayuhlah. Jangan bertangguh dalam menyahut seruan menutup aurat. Hukum menutup aurat bukan perkara furu’. Tiada perselisihan di kalangan ulama tentang soal aurat baik lelaki atau wanita. Jangan kata tunggu dulu, mulakan sekarang. Takut kita tidak punya banyak masa untuk terus bertangguh.Ingat, ajal kita juga tidak bertangguh! 




Kemudian lagi, terdengar suara-suara yang merintih, saya belum ada kekuatan untuk menutup aurat. Saya belum bersedia untuk menutup aurat. Hati saya belum terbuka dan pelbagai lagi. Secara peribadi, kita harus melihat bahawa ini semua sebagai alasan dan hasutan iblis untuk terus memberi alasan untuk tidak menutup aurat dan tunduk pada perintah Allah. Saudariku, kekuatan untuk menutup aurat bukanlah ditunggu. Bila kita faham bahawa hukum menutup aurat itu wajib, ketahuilah bahawa kefahaman itu juga adalah hidayah Allah. Maka bertindaklah dan mulakan langkah pertama. Tidak perlu istikharah, tidak perlu mohon petunjuk Allah. Anda hanya perlu tekadkan keyakinan dan kuatkan iman. Tidak rugi kita untuk akur pada perintah Allah. DIA yang menciptakan kita, DIA jualah yg tahu segala yang terbaik untuk kita. Tidak masuk akal, Allah SWT dengan segala sifatNYA yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang sengaja untuk menzalimi dan menyusahkan hamba-hambaNYA. Bahkan, Allah SWT ingin memberikan kita lebih banyak kemudahan dan kesenangan di akhirat nanti. Jangan ragu wahai saudariku. Iblis pasti tetap membisikkan perkara yang bukan-bukan untuk menakut-nakutkan kita. Tinggalkan mereka, berhijablah. Biarkan iblis dan konco-konconya menangis meraung kerana usahanya tidak berjaya mengheret kita masuk ke neraka. Raihlah kekuatan itu dan dalam masa yang sama kita juga meraih cinta Kekasih agung kita. Bukankah itu lebih bernilai dari harta seluruh dunia?

No comments:

Post a Comment