Monday, 19 January 2015

JALAN YANG HARUS DI TEMPUH

Kelemahan dan ketidakupayaan diri dalam menyelesaikan masalah-masalah yang menghimpit hidup tidak seharusnya menjadi sebab untuk meranapkan tangga-tangga harapan bagi mengecap masa depan yang lebih cerah. Lemah tidak menandakan kita perlu putus asa walaupun berasa diri sudah kehilangan makna bagi meneruskan hidup anugerah Allah ini. Sekiranya persepsi begitu diprogramkan dalam benak, senang sekali cara penyelesaiannya. Tiadalah wujud istilah ‘berjuang’ dan ‘jihad’ dalam kamus kehidupan seseorang muslim.


Seandainya seseorang itu mempunyai kematangan dalam bereaksi dengan kesulitan hidup ini, ‘lemah’ akan diberikan kesimpulan agar ‘perlu usaha lebih gigih’ dan bukan pula akan ditafsir sebagai ‘gagal’, bahkan seharusnya ditafsir sebagai ‘belum berjaya’. Jika kita perhatikan betul-betul, bukankah istilah ‘gagal’ dan ‘belum berjaya’ terdapat perbezaan maksud yang ketara? Kata hukama’, “Kegagalan sebenar bukan ketika kau jatuh dan tewas dalam suatu usaha , tetapi ketika kau sudah berputus asa untuk bangkit kembali.” Seringkali emosi kesedihan melupakan kita terhadap firman Allah ini, “Allah tidak membebani seseorang melainkan dengan kesanggupannya.” 




Meletakkan daya keterbasan dalam usaha dan kegigihan merupakan satu tindakan yang menyebabkan kita melihat ketidakupayaan diri itu sebagai suatu kelemahan hakiki walhal tidak. Meskipun kita tidak menafikan antara bentuk kelemahan manusia adalah mempunyai had dan batas daya upaya, tetapi adakah kita tahu dimana had dan batas itu? Ternyata tidak. Kegagalan dan kelemahan dalam perkara-perkara yang seolah-olah sulit untuk diselesaikan tidak menandakan kita sudah sampai kepada had kita, sebaliknya memberitahu kita dimana kesilapan yang perlu diperbaiki dan diberi tambah baik untuk melepasi had sebelumnya. Daripada situ kita akan melihat “Kesempurnaan manusia berselindung disebalik ketidaksempurnaannya.” Kerana kesedaran terhadap sifat tidak sempurna inilah mendorong kita untuk sentiasa menuju sempurna.


Cuba kita mengkaji latar kehidupan orang-orang yang berjaya, mereka lebih banyak menghadapi kegagalan berbanding orang-orang yang gagal! Ini bukan sesuatu yang ironi, ini sesuatu yang masuk akal dan rasional. Hal ini kerana mereka telah mengumpulkan tenaga dan kekuatan melalui pengalaman yang banyak dan mengkaji serta belajar cara untuk mengatasi titik-titik kelemahan tersebut dengan teliti bagi terus mencari jalan untuk sampai ke puncak. Hal ini tidak lain dan tidak bukan memerlukan azam dan semangat tanpa padam agar langkah-langkah menuju puncak itu sentiasa konsisten. Fikirkan pengajaran ini baik-baik. Kegagalan adalah berpunca daripada kelemahan diri dalam mengendalikan sesuatu perkara, walaupunbegitu kegagalan juga merupakan platform untuk kita mengatasi kelemahan diri tersebut. Kita tidak akan jumpa seseorang yang mencapai hidup senang tanpa pernah melalui sebarang kesulitan dan kegagalan. Bahkan kegagalanlah yang mengajar mereka erti berdikari dan matang. 

No comments:

Post a Comment