Biasa kita dengar ungkapan “kerana pulut santan binasa, kerana
mulut badan binasa”. Itulah perumapamaan Melayu yang banyak mendidik bangsa
kita pada masa dahulu agar berhati-hati sewaktu berbicara. Oleh sebab itu,
kita melihat orang Melayu terkenal dengan sifat bersopan santun.Walau
bagaimanapun, terdapat juga sebilangan orang Melayu yang tidak sayang mulut.
Mereka bukan sahaja “cakap lepas” sehingga menyinggung hati jiran tetangga,
malah suka membawa cerita, mengumpat dan menabur fitnah. Mereka bersikap
sebegini supaya dapat memberi masalah pada pihak lawan.Kita dapat melihat
mereka seperti tidak mendapat apa-apa kesan negatif, sebaliknya mereka boleh
bergembira atas penderitaan orang lain. Kalau begitu halnya, perumpamaan itu tidak
benar-benar mendidik orang Melayu. Atau boleh jadi, mesej perumpamaan itu tidak
merujuk kepada golongan di atas walaupun zahirnya perumpamaan tersebut
menunjukkan seolah-olah kedua-dua belah pihak harus berasa bahananya.
Sedarlah bahawa mulut amanah Allah SWT. Jika kita merujuk kepada
ilmu tasawwuf, “mulut” ini disebut “lidah”. Itulah hakikatnya. Mulut selain
menjadi saluran untuk makan dan minum, ia juga menjadi medium komunikasi. Maka
sebab itu, mulut pada hari akhirat akan menjadi saksi atas apa yang dilakukan
oleh tuannya. Ketika itu manusia tidak boleh menafikannya lagi.Lidah merupakan
salah satu daripada tujuh anggota manusia yang Allah SWT amanahkan kepadanya
untuk dimanfaatkan dan dijaga sebaiknya. Jadi, semua anggota itu seharusnya
dignakan mengikut kehendak Allah SWT. Mulut atau lidah sebagai contoh
diamanahkan supaya bercakap perkara yang baik, membaca al-Quran dan
menyampaikan ilmu yang bermanfaat. Tetapi realitinya, anggota tersebut sering
disalahgunakan oleh manusia, lalu menyebabkan hubungan sesama manusia rosak
binasa. Percayalah apabila manusia tidak menjaga amanah, mulut itu akan menjadi
alat pemusnah kebahagiaan masyarakat.
Oleh sebab itu, dalam ilmu tasawwuf disebutkan, bagi
mengimbangi tujuh anggota tersebut, Allah SWT menciptakan tujuh buah pintu
neraka. Maknanya, bagi setiap satu bahagian anggota itu, ada neraka yang
dikhususkan untuknya. Ini termasuklah neraka untuk mereka yang tidak menjaga
amanah lidah. Sungguhpun Allah SWT telah menyediakan neraka khas bagi dosa
lidah, masih ramai umat Islam yang tidak pandai menjaga lidah. Seolah-olah
mereka telah merelakan diri untuk masuk ke dalam neraka
tersebut. Mengapakah ini berlaku?Apakah mereka tidak takut kepada
neraka?Kita mungkin tidak hairan dengan ahli politik yang setiap patah ucapannya
boleh menyakitkan hati parti lawan. Ucapan yang berbentuk fitnah atau umpatan
sudah menjadi asam garam dunia politik. Mungkin antara sebabnya, sudah tidak
fikir akan dosa dan pahala lagi. Malah, boleh jadi mereka tidak takut akan
neraka atas sangkaan peluang untuk bertaubat masih ada.
Demikian juga sifat dua orang insan yang berebut kuasa dan
sebagainya. Kata-mengata antara satu sama lain sudah menjadi lumrah.
Persoalannya, adakah dengan mengata orang, pihak satu lagi boleh insaf dan
bertaubat? Tidak sama sekali. Jadi apa faedahnya berbuat begitu? Tidak gerunkah
kita andai nanti dimasukkan ke dalam neraka bahana lidah ini.Kita dapat
mengenal peribadi seseorang daripada percakapannya. Orang yang tinggi akhlak
selalunya bercakap hal yang baik saja, tidak menyakiti hati orang lain, tidak
mengucapkan perkataan kotor dan tidak banyak bercakap. Mereka mengawal lidah
sebaik-baiknya.Ya Allah, peliharalah lidah kami daripada kata-kata keji, dusta,
nista, umpat, fitnah, adu domba dan selamatkan kami daripada lidah para penabur
fitnah. Ya Allah, jauhkanlah lidah kami daripada menyakiti umat manusia, dan
jadikanlah ia kepada kami sebagai penyelamat daripada api neraka, dan
jadikanlah perkataan kami sebagai jambatan menuju ke syurga. Ya Allah,
ampunkanlah kami, dan golongkanlah kami dalam mereka yang berkata benar.
No comments:
Post a Comment