Thursday, 27 March 2014

HAKIKAT MANUSIA ITU LEMAH

Sebagai manusia, pastinya tiada siapa yang terlepas dari ujian rasa lemah,rasa tak mampu,rasa dah tidak berdaya,rasa layu letih dan sebagainya.Manusia sama sekali tidak akan terlepas dari merasai dan mengalami perasaan yang saya sebutkan tadi.Rasa macam tak tahu mampu atau tidak nak teruskan langkah ini.Rasa seperti tak tahu mampu atau tidak nak terus bertahan dan bertahan dalam sesuatu masalah. Subhanallah !!! lemahnya kita sebagai hamba Allah. Lemahnya manusia itu adalah dibawah pengetahuan Allah. Sebab itulah Allah suruh kita bergantung harap padaNya semata2.Sebab itulah Allah utuskan Rasulullah kepada kita. Sebab Allah tahu hakikat manusia ni lemah,tidak mampu,tidak kuat jika sendiri dan tidak akan mampu bertahan untuk jangka masa yang lama bila sendirian.


Berapa ramai manusia yang kini sedang hebat diuji oleh Allah dengan pelbagai bentuk ujian dan dugaan yang menghimpit dada mereka hingga menjadikan segala jiwa dan hati mereka yang dahulunya kuat dan tabah kian luntur dan menjadi lemah.Manusia itu tidak akan boleh lari dari kesedihan, kedukaan dan kegalauan. Segala rasa bercampur-baur menjadikan jiwa resah dan bungkam, dan ada yang memilih untuk terus-menerus kecewa dalam hidup.Perasaan merasakan diri lemah, galau, bungkam dan duka ini tidak dapat kita bohongi diri sendiri. Perasaan itu benar, dan kita tidak dapat menidakkan semua ini. Terasa betapa lemahnya diri, kita kembali merenung kehidupan.





Dan daripada situ, kita mendapati satu konklusi.Sesungguhnya manusia ini lemah. Kerana itu manusia perlu memohon kekuatan daripada Pencipta manusia itu sendiri! Manusia sering lupa bahawa mereka sebenarnya LEMAH.Saya seperti anda, dan kita semua ialah manusia yang sama di sisi Tuhan. Maka sebab itu, hakikat manusia itu lemah tidak dapat dipisahkan dari kita semua.Akhirnya, kita perlu kembali kepada Pencipta untuk memohon kekuatan. Akhirnya, manusia itu jualah yang lemah dan Allah jua yang Maha Berkuasa.Kembalilah memohon kekuatan daripadaNya.Biar doa-doa menjadi pelunas rasa.Biar doa-doa menjadi peluah rasa.Segala remuk redam diluahkan, diadukan kepada Pencipta.Allah sesungguhnya Maha Mendengar.


Ketika kita hampir-hampir putus asa, ketika kita hampir jatuh ke jurang kekecewaan, kita mengadu kepadaNya.Kita benar-benar lemah dan tidak terdaya, hingga ada ketikanya terpacul keluhan dan keluhan, kita kadang-kadang bagai terlupa Dia sentiasa bersama kita semua.Saat ini kita menyedari bahawa tiada apa yang ada pada kudrat manusia. Hanya Dia sahaja tempat manusia bergantung harap. Maka segala keresahan ini diserah kepadaNya mudah-mudahan gelojak hati ini tenang.Sedarlah bahawa sesungguhnya manusia itu LEMAH !!!


Saturday, 15 March 2014

REMAJA HANYA SEKALI



Menyebut mengenai remaja,di akhirat kelak terdapat 7 golongan manusia yang akan dapat naungan Allah.Ketika itu,tiada naungan selain dari naungan Allah S.W.T. Dalam satu hadis Nabi S.A.W, baginda pernah sebut salah satu golongan yang mendapat naungan Allah itu adalah golongan remaja. Remaja yang bagaimana yang mendapat naungan atau teduhan dari Allah? Remaja yang dimaksudkan oleh Nabi itu ialah remaja yang membesar dan meningkat umur mereka dalam keadaan taat patuh akan perintah Allah.Visi mereka akhirat.Bila kita sebut remaja bervisi akhirat,tidak semestinya kena menjadi seorang ustaz ataupun ustazah.Jika mahu jadi doktor maka jadilah seorang doktor yang bervisi akhirat.Andai hendak menjadi seorang peguam maka jadilah seorang peguam yang bervisi menjaga hukum Allah.


Teringat saya akan sebuah kisah seorang remaja di zaman Rasulullah yang ketika itu beliau berusia 17 tahun. Beliau ialah Tsa’labah Bin Abdurrahman. Setelah beliau memeluk islam,beliau sentiasa mengikuti pengajian Rasulullah. Setiap kali Rasulullah berhajat kepada sesuatu barang, baginda mesti beritahu Tsa’labah dan meminta beliau untuk mencarinya. Maka suatu hari beliau pergi mencari barang yang diminta oleh Rasulullah S.A.W. Dalam perjalanan beliau mencari barang tersebut, beliau melewati sebuah rumah seorang wanita yang kebetulan pintu rumah wanita tersebut terbuka.Maka Tsa’labah secara spontan memandang ke dalam rumah itu dan terlihat seorang wanita sedang mandi.Maka ketika itu beliau tersedar, lalu beliau terus menyembunyikan diri di sebuah gua di pinggir madinah kerana takut dan malu untuk bertemu dengan Rasulullah dek kerana dosanya memandang wanita. Subhanallah bagaimana remaja kita ?





Tetapi kini, remaja hari ini jauh dari pegangan agama.Jauh dari tarbiah yang berlandaskan agama.Mungkin selama ini kita sibuk untuk mendidik para remaja.Kita selalu sibuk membentuk fizikal remaja sahaja tanpa melihat pembentukan dalaman remaja itu sendiri.Lihatlah bagaimana remaja hari ini.Bagaimana mereka bertutur dengan ibubapa? Bagaimana mereka berpakaian dan siapakah idola mereka? Kita sentiasa sibuk memberikan pendidikan yang tinggi,fasiliti dan wang ringgit yang cukup. Dalam masa yang sama kita leka dan alpa untuk menyibukkan diri untuk membentuk kerohanian remaja itu sendiri.Remaja adalah usia yang begitu berharga dan tiada tanding nilainya.Bentuklah remaja didiklah mereka mengikut acuan islam.




Wahai para ibubapa sekalian,ambillah kesempatan untuk mencipta saham di akhirat kelak dengan mendidik serta mentarbiah anak-anak remaja mengikut garis panduan yang telah islam tetapkan.Ajarkan mereka siapa Nabi kita.Beritahulah kepada mereka siapa pencipta kita.Sampaikanlah kepada mereka ayat-ayat cinta dari tuhan kita.Buat para remaja sekalian,janganlah kita merasa hidup ini akan berpanjangan kerana ajal itu tidak mengenal usia.Ambillah peluang dan kesempatan yang ada ini untuk membina jati diri remaja islam sepertimana  yang diceritakan dalam al quran dan hadis.Jadilah pewaris keberanian yang benar seperti Saidina Ali yang sanggup tidur di tempat Rasulullah. Contohilah sifat ketaqwaan seperti Tsa’labah yang takut dan malu untuk berjumpa Rasulullah dek kerana dosanya itu.



Thursday, 13 March 2014

SYUKUR DARI KACA MATA INSAN

Manusia ini biasanya syukur di dalam pentakrifan dia ada kaitan dengan kurniaan. Bila Allah kurnia pada kita, kita ucap syukur. Tetapi memuji Allah dengan lafaz alhamdulillah ini, merangkumi semua keadaan. Masa kita susah pun kita ucap alhamdulillah. Tetapi bila kita syukur maksudnya kita berterima kasih diatas pemberian Allah. Hamka pernah berkata “ Kita ini selalu merujuk kepada perkara yang belum kita dapat dan kita selalu lupa dengan perkara yang kita dapat".Kita selalu nak bersyukur kalau kita diberi benda yang baru dan kita lupa bahawasanya apa yang telah ada pada kita hari ini adalah suatu nikmat yang besar. 




Suatu hamba Allah yang patah kakinya yang barangkali dia tidak pernah teringat pun nikmat kaki yang berpijak setiap hari,suatu hari Allah uji padanya dengan ujian sakit kaki,dia akan kata “Ya Allah, bagilah kembali kakiku ini,sembuhlah kembali kakiku ini”. Ketika itu dia tahu nikmat besarnya kaki,nikmat tangan.Seperti kata Hamka “ Yang ada ini sudah harapan kita”. Tetapi insan bukan salah untuk kita mengharapkan yang belum ada tetapi jangan lupa yang telah ada.Sebab itu sebahagian para sarjana menyebut syukur kadang kala lebih tinggi maqamnya dari sabar. Ramai orang terpaksa bersabar namun belum tentu orang yang dapat nikmat itu bersyukur.


Bila insan dia syukur, dia tidak akan cepat mengeluh.Kadang kala kita seringkali mengeluh sebab kita diuji dengan kereta kerapkali rosak tetapi disebalik semua itu ada lagi insan yang masih belum ada kereta pun. Insan jika dia nak bersyukur kepada Allah tidak terdaya dia.Seperti firman Allah S.W.T dalam surah Al Nahl ayat ke 18 yang bermaksud :

“Dan jika kamu menghitung-hitung nikmat Allah, niscaya kamu tak dapat menentukan jumlahnya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”




Bila kita melihat hidup ini secara keseluruhan sesungguhnya apa yang Allah kurnia kepada kita ini adalah lebih dari harapan kita sebenarnya.Ibnu Katsir menjelaskan dalam kitab tafsirnya Allah benar-benar memaafkan kalian. Jika kalian diperintah untuk mensyukuri seluruh nikmat tersebut, tentu kalian tidak mampu dan bahkan enggan untuk bersyukur. Jika Allah mahu menyiksa, sudah tentu boleh dan itu bukan tanda Allah itu zalim. Akan tetapi, Allah masih mengampuni dan mengasihi kalian. Allah mengampuni kesalahan yang banyak apatah lagi memaafkan bentuk syukur kalian yang sedikit.”




Kadang kala kita banyak mengeluh.Ini tidak kena itu pun tidak kena. Semuanya tidak kena.Kita seharusnya mendidik jiwa kita agar sentiasa bersyukur walaupun dalam keadaan serba sedikit nikmat yang kita perolehi pada sesuatu keadaan.Yakinlah dengan bersyukur kita akan lebih mendekatkan diri kita kepada Allah lantas meletakkan ketaatan kepada perintah Allah itu lebih utama. Bersyukurlah selagi masih diberi kesempatan.


Tuesday, 11 February 2014

BUMI KINANAH KEMBALI BERDARAH

Aduhai bumi kinanah kembali berdarah
Dari jauh kedengaran suara merintih
Ayah-ayah dibunuh disembelih
Ibu-ibu dinoda diperkosa
Anak-anak kecil terbunuh tanpa dosa
Kampung halaman hancur musnah tersungkur
Tanda kemanusiaan insan yang kian terkubur



Aduhai bumi gedung ilmu...
Saban hari kami menatap penderitaanmu
Parut luka lama masih belum sembuh
Kini ia kembali berdarah
Menjadi semakin parah
Air mata tangisanmu tak mampu kami kesat
Parah lukamu tak terdaya kami rawat
Musuh durjanamu tidak bersungguh kami sekat
Apa hujah kami nanti di akhirat
Jika ditanya apa yang kami telah buat?
Masih tergamakkah kita berdiam kaku
Tanpa menghulur tangan sedia membantu
Sedangkan kita masih mampu mengadu
Kepada Tuhan Yang Maha Satu...



Ya Allah...dengarlah suara rintihan ini
Buat saudara kami yang dikasihi
Hentikan segala kesedihan dan penderitaan
Kami merayu dengan penuh harapan
Hancurkan kezaliman musnahkan penindasan
Hantarkan pertolongan pasakkan keyakinan
Semoga ia berakhir dengan kemenangan
Selamatkanlah ardhul kinanah dari kemusnahan...


PERIT SEBUAH PERPISAHAN

Pertama sekali cuba kita fahami fitrahnya alam dunia ini.Tiada satu pertemuan pun yang berlaku tanpa di sudahi dengan perpisahan.Ini menandakan bahawa apa tiada yang kekal di dunia ini kecuali Dia.Perpisahan sungguhpun mudah disebutkan di bibir insan, tetapi ternyata ia keadaan paling sukar dihadapi dengan tenang.Tiada manusia yang tidak sedih dengan sebuah kehilangan.Mana ada manusia yang mahu kebahagiaannya hilang.


Namun, kita perlu sedar bahawa kehidupan bukanlah seperti apa yang kita bayangkan.Di saat pertemuanmu dengan seseorang, persiapkan diri menghadapi perpisahan dengannya suatu hari nanti.Sakitnya kehilangan tiapa siapa mampu ungkapkan dengan perkataan.Hanya airmata menjadi jawapan.  Tambahan pula perpisahan melibatkan insan yang disayang.Perpisahan dengan ibu bapa, saudara, sahabat-sahabat tentunya akan mengukir parut yang tidak hilang bekasnya lantaran kenangan dan keindahan yang sering terimbas kembali di minda fikiran.Namun, hakikatnya hidup terlalu singkat untuk di habiskan dengan memikirkan segala jam yang telah lepas.Mungkin kalaupun tidak terpisah kerana jodoh dan pertemuan yang kuat, nanti akan terpisah jua oleh maut yang pasti sedang mendekat.



Apa yang penting, sesakit apa pun perasaan yang mencucuk di dalam.  Jangan lupa kembali mengingati Allah.Segala apa yang kita ada hanya pinjaman.Segala yang termiliki akan dipulangkan.Kita tidak pernah memiliki apa-apa tanpa pemberianNya.Allah pinjamkan mereka untuk kita merasa bahagia.  Untuk kita belajar berkasih sayang.Untuk kita saling menebarkan peringatan.

Tetapi jangan gundah dan jangan hancur dalam kesedihan.Kita masih ada peluang untuk bertemunya lagi.Masih ada!  Iaitu di alam abadi.Di tempat yang tidak akan ada lagi perpisahan ke dua kali.Kerana itu kita perlu saling menasihati dan saling memperbaiki diri, semoga Allah kumpulkan kita sekali lagi di sana nanti.Bertaqwalah kepada Allah, nanti Allah akan cukupkan kita dengan segala kurniaanNya.

DI SEBALIK KELEMBUTAN WANITA

Ujar lelaki, wanita itu lemah
Ujar wanita, mereka adalah lembut
Antara lemah Dan lembut.....besar perbezaannya
Namun Ada yang tidak rela mengakuinya
Telah ditakdirkan ...kerana lembut wanita
Tidak gemar perbalahan.. Kecuali jika terpaksa
Lalu wanita pun diam
Diam seolah-olah menerima...
Dalam diam, wanita gigih melaksanakan kewajipan
Dalam diam ,wanita terus terusan bekerja
Di pejabat sebagai kerani...di rumah sebagai suri
Dari sebelum tercalit garis putih di subuh hari




Hingga jarum jam tegak bertindih jari
Lelaki yang mengaku kuat .celik Mata sarapan sudah terhidang
Apabila pulang dari pejabat...di kerusi malas longlai terlentang
Isteri dikatakan lemah...bergelut di dapur memasak
Suami yang mengaku gagah...bersantai di hadapan TV tidak bergerak
Selesai memasak wanita menguruskan anak-anak
Menyapu sampah,mengemas rumah yang berselerak
Lelaki keletihan kerana memandu di jalan sesak
Berehat,menonton TV sambil tergelak
Dalam diam wanita dianggap lemah...terus berlumba dengan masa
Memandikan anak, melipat pakaian Dan membasuh baju




Kakitangan semua digerakkan dengan laju
Menyiram pohon-pohon bunga yang mulai layu
Sebelum solat Magrib untuk sujud... Menyembah yang Satu
Makanan dihidang selepas solat
Selesai kerja rumah,anak-anak diajar mengaji
Sedang suami tersadar semula seperti tadi
Sebagai isteri kesetiaan wanita sentiasa diuji
Dalam diam semua tugas rumah segera dibereskan
Lelaki terpelajar celik hati... Ingin menghapuskan diskriminasi
Lantang membela nasib wanita....
Memberi kesedaran supaya segera bangkit
Meminta lelaki jangan lagi memperlakukan wanita mengikut adap tradisi
Hukum agama telah terpapar



Tugas suami mengemas rumah,menjaga anak
Membasuh pakaian,menyediakan makanan
Jika suami tidak terdaya melakukannya
Seorang pembantu wajar disediakan
Lelaki yang hanyut dalam keasyikan
Tidak mampu menerima perubahan
Rela bertahan bagaimana jua
Asalkan cara hidup tradisi terus dinikmati
Dalam diam
Wanita yang sering dianggap lemah
Meneruskan hidup dalam segala kekuatan

'KeKaYaaN YaNg PaLiNg KaYa iaLaH AKAL,
KeMiSkiNaN YaNg PaLiNg BeSaR iaLaH JAHIL,
KeBuRuKaN YaNg PaLiNg HoDoH iaLaH SESAT'





Tak perlu mncari teman secantik BALQIS,
Jika diri tak seindah SULAIMAN,
Mengapa mengharap teman setampan YUSUF,
Jika kasih tak setulus ZULAIKHA,
Tak perlu diri menjadi seteguh IBRAHIM,
Jika tak sekuat SARAH,
Mengapa didamba teman hidup seistimewa KHADIJAH,
Jika diri tak sesempurna RASULULLAH S.A.W,

Tak guna Ada MATA kalau tak dapat MELIHAT,

Tak guna Ada HATI kalau tak tau MENILAI......

Monday, 10 February 2014

AKU MASIH DI SINI

Aku lahir ke atas dunia dengan izin Mu
Lahirku saat Rasul dan Para Sahabat telah tiada
Para tabi’ dan tabi’in juga telah meninggalkanku
Zaman ku adalah zaman pemerintahan islam tidak berkuasa lagi
Aku terbit di tengah masyarakat islam
Namun islam tiada lagi dalam hati dan hidup mereka

Tapi aku bersyukur kerana masih ada lagi
Yang mahu melihat islam bersinar semula
Aku kuatkan azam untuk menyertai mereka
Cuba sedaya upaya menggerakkan generasiku yang lumpuh ini
Generasiku seusiaku yang sakit
Lalai dengan hiburan dan asyik memuaskan nafsu
Sibuk dengan cinta penuh noda

Aku takut aku lemah untuk membimbing mereka
Kerana aku juga tidak sempurna
Namun aku sedar bahawa tugas besar ini
Adalah wajib dan tidak memerlukan insan sempurna
Kerana tiada manusia yang terlepas dari dosa
Dan tugasku adalah berusaha
Gagal jatuh,dicela tak diterima itu perkara biasa



Aku terus berdoa agar aku ditetapkan hati
Bukan nilaian harta yang aku cari
Bukan juga kerana nama ingin dikenal sebagai insan mulia
Cukuplah REDHA MU sebagai harga
Bantulah hamba Mu ini !!!
Sedarkanlah generasiku ini ya RABB
Bangunkanlah semula ummat ini
Aku yakin ISLAM pasti kembali
Dan aku takkan pernah berhenti
Demi agamamu ya Rabbul Izzati