Sunday, 26 July 2015

MENUJU YANG HALAL

Maha suci Allah, Tuhan yang memegang hati-hati hamba Nya. Alhamdulillah tanggal 26 Julai 2015, dunia menyaksikan perikatan cinta suci ini dibentuk dipelihara melalui ikatan pertunangan. Hati menjadi resah dan gelisah disaat kesunyian dan kesepian namun tatkala hadirnya sebuah anugerah dari Allah yang tidak ternilai pemberian Nya,seorang bidadari penyeri di hati membawa seribu satu ketenangan di jiwa membawa seribu satu kebahagiaan di hati ini. Perkenalan yang tidaklah lama namun dek kerana keihklasan dan ketelusan cinta,maka sebuah ikatan pertunangan mulai dibina. Cinta perlulah dimaknai dengan bicara mata hati. Tidak cukup sekadar lafaz yang berbunga, tidak lengkap sekadar bergayut semata-mata dan tidak sempurna jika hanya sekadar impian tanpa usaha.


Seringkali kita tertanya-tanya,mengapa baru kenal ingin terus mengikat ? Jawapannya sudah semestinya termaktub dalam nilai kesucian cinta ini. Cinta,tidak perlu menunggu bertahun-tahun baru hendak serius membina mahligai.Cinta tidak perlu menunggu saat kesempurnaan diri kerana sifat cinta itu juga ialah menyempurnakan hidup kita. Kadang-kala orang tidak bersalah mengheret ke sana ke sini anak orang tanpa ikatan yang suci namun orang pasti akan pelik jika ada pasangan yang berkahwin muda. Didakwanya belum sampai usia matang untuk berkahwin,dikatakan juga belum bekerja ingin menyara pasangan bagaimana dan tidak lupa juga,orang seringkali menuduh terlalu awal berkahwin di usia muda. 





Apa-apa pun persepsi kita, kita harus sedar dan faham bahwa pertunangan ini merupakan sebuah perikatan perjanjian sebagai salah satu jalan untuk menjadi lebih serius untuk membina rumahtangga. Bertunang ini bermakna bermulalah episod serisu kita untuk mengikat cinta suci ini dari sebarang tohmahan,fitnah dan hinaan orang terhadap kita.Pertunangan bererti mengikat seseorang sebagai tanda dan bukti bahwa kita serius untuk memilikinya dan bukan sekadar cinta kayangan lagi. Berusahalah menuju yang halal dan hindarilah dari pergaulan bebas yang kelak akan membinasakan kita. Pertunangan juga adalah proses menuju yang halal yakni jalan yang telah diredhai Allah SWT.


Buat bakal isteriku penyejuk dimata penawar dihati,diri serba hina ini tidak akan mampu memilikimu jika tanpa keizinan dan kekuatan dari Nya. Diri lemah dan tak berdaya ini tidak akan mampu berdiri sebagai seorang suami tanpa memohon kerahmatan dan keberkatan rumahtangga dari Nya. Ku berjanji disaat ketika lafaz sakinah bergema, maka gugurlah tanggung jawab ibubapa dan terbebanlah pula di pundak bahuku. Kau akan ku jadikan bidadari menghiasi alam syurgawi,kau akan ku hiasi dengan kalungan solehah dan mawaddah. Terima kasih atas kesetiaanmu menanti saat lafaz ku lontarkan. Terima kasih atas kejujuranmu menerima ku insan yang serba kekurangan ini. Semoga Allah sentiasa melindungi perjalanan sebuah ikatan cinta suci ini.


Monday, 20 July 2015

SYAWAL : MAKNA SEBUAH KEMENANGAN

Begitu pantas masa berlalu, Ramadhan sudahpun meninggalkan kita, bak kata pepatah yang datang pasti akan pergi. Bulan yang menjanjikan seribu macam keistimewaan itu sudah berlalu pergi dan seiring dengan itu pula kita menyambut kedatangan Syawal. Kita raikan kemuculan Syawal dengan takbir, tasbih dan tahmid, iaitu bulan yang sering kita kaitkan dengan bulan kemenangan. Namun sepanjang menyambut kehadiran Syawal yang syahdu itu sepanjang hayat kita, pernahkah kita bertanya, apakah sebenarnya yang kita raikan?  Apakah hakikat sebenar di sebalik sambutan tersebut.  Sesungguhnya, yang kita raikan pada hakikatnya ialah diri kita sendiri sebagai seorang Muslim yang hidup di atas panji Islam. Kita raikan anugerah terbesar pemberian Allah iaitu Islam, iaitu agama yang telah memuliakan kita, memberi harga diri kepada kita, dan yang telah memelihara martabat kemanusiaan kita. Islam itu adalah agama yang telah disempurnakan oleh Allah, Islam yang menjadi penyempurna nikmat Allah kepada kita, dan Islam yang telah diredhaiNya sebagai jalan hidup. Maka pada saat kita menyambut dan meraikan kehadiran Syawal/Aidilfitri, kesedaran inilah yang kita raikan dan wajar bagi kita untuk memperbanyakkan pujian ke atas Allah di atas nikmat ini.


Menerusi Islamlah kita terpelihara daripada menjadi hamba kepada dunia, nafsu dan harta benda. Dengan Islam juga kita bebas merdeka daripada menjadi hamba kepada sesama manusia. Islam jugalah yang menjadikan kita berdiri mulia, walaupun di saat umat Islam dihina, ditindas dan dipijak hampir di setiap pelusuk dunia ini.Bahkan Islam itu juga menjadikan kita gigih dan cekal untuk terus bertahan walaupun  diasak dari segenap sudut.  Ditindas hak asasi kita sebagai manusia yang bertunjangkan Islam, ditindas pemikiran kita, ditindas semangat perjuangan kita, ditindas ekonomi kita, ditindas hak kemasyarakatan kita, diputar-belitkan siasah serta dikelirukan jatidiri kita,  dan kita ditindas pada setiap sudut kehidupan yang ada. Tetapi pernahkan kita merasakan Islam yang kita genggam erat ini semakin longgar atau terkulai layu?  Tentu tidak sama sekali. Bahkan tekanan itulah yang menjadikan kita semakin yakin bahawa ianya adalah ujian untuk orang beriman dan juga sunnatullah yang menjanjikan kemenangan mutlak bagi mereka yang berjaya menempuhnya.  Kerana kita yang dianugerahkan kemanisan iman tidak akan bertolak-ansur dengan prinsip Islam, malah perintah Allah kita junjung dan julang dengan lebih tinggi dan bersemangat, dan menjadi lebih tegas dan berani memuliakan Islam.  





Semuanya ini adalah kerana kita sedar bahawa di saat meraikan Syawal Aidilfitri, ianya juga adalah saat yang sesuai untuk diisi dengan kefahaman yang mantap dan semangat juang yang tinggi.  Iaitu semangat mahu melihat kalimah Allah itu ditinggikan mengatasi segala yang lain.Kekuatan ini sebenarnya dijana menerusi ibadah puasa yang telah ditempoh dan dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh selama sebulan.  Seiring dengan menyambut hari kemenangan di bulan Syawal ini, kita juga tidak seharusnya lupa untuk menilai sejauh manakah kita telah mengisi Ramadhan yang telah berlalu pergi dengan ibadah yang cukup bagi memungkinkan kita dianugerahkan keampunan Allah?  Juga adakah kita berhasil  untuk mendapat nilai taqwa sebagaimana yang telah dijanjikan oleh Allah dalam al Quran? Persoalan-persoalan ini hanya mampu dijawab oleh kita sendiri yang terlebih mengetahui usaha dan nilai puasa yang kita lakukan.   Beruntung dan bergembiralah mereka yang telah bersusah payah beramal untuk meraih keampunan dan keredhaan Allah, serta berdukacita dan rugilah mereka yang lalai dan leka sepanjang Ramadhan.  Jika Ramadhan yang berlalu pergi itu tidak mampu memperbaiki dan meningkatkan kualiti diri kita, maka pada bulan dan ketika manakah lagi yang boleh menjadi pendorong yang dapat mengubah diri kita ini?




Pun begitu, perlu diingat bahawa jika ibadah itu hanya di bulan Ramadhan, dengan anggapan ibadah itu seperti bermusim, maka rugilah juga kesudahannya.  Sebenarnya tidak sukar untuk melihat tanda-tanda amal kebajikan kita sepanjang Ramadhan diterima atau ditolak.  Jika selepas Ramadhan, taat dan patuh kita kepada Allah berkekalan, malah mampu mengubah diri menjadi manusia yang lebih baik dan berkualiti, maka itulah sebesar-besar nikmat kurniaan Allah.  Tetapi jika apa yang berlaku adalah sebaliknya, maka hati-hatilah, kerana dikhuatiri kita termasuk dalam golongan yang rugi dan kelak akan dihumbankan ke dalam api neraka.Jika di bulan Ramadhan kita mampu hadir ke masjid setiap hari untuk solat fardhu dan solat sunat Tarawih, tetapi selepas Ramadhan kita hilang kemampuan untuk ke masjid walaupun untuk bersolat fardhu. Jika di bulan Ramadan kita mengekang lidah dari berkata-kata yang dusta dan sia-sia tetapi membasahi lidah dengan membaca al-Quran dan berzikir, sebaliknya selepas Ramadhan lidah itulah juga yang memaki-hamun, mengadu domba, mengupat dan menyebar fitnah, dan mata serta telinga kita diisi sepenuhnya dengan hal-hal yang membawa kemurkaan Allah.  




Apakah hasil dan kesan yang sebegini  memungkinkan ibadah kita sepanjang Ramadhan diterima Allah.  Mudah-mudahan Allah melindungi kita dari termasuk dalam golongan yang sedemikian.Sesungguhnya Ramadhan yang kita lalui itu umpama satu madrasah pendidikan yang memupuk dan  menghasilkan benih taqwa. Dari benih ini akan tumbuh pula pohon taqwa yang sangat diperlukan dalam mengharungi kehidupan ini.  Dan dari pohon taqwa inilah lahirnya ibadah dan akhlak mulia yang menjadi penghias diri seorang Muslim.  Juga dari rimbunan taqwa yang subur inilah juga lahirnya kekuatan untuk menangkis segala hasutan dan pujuk-rayu yang boleh membinasakan seorang Muslim. 

Wednesday, 24 June 2015

PENGHARAMAN SIS BUKAN TINDAKAN BIJAK

Secara jujur,kita tidak bersetuju dengan beberapa perkara yang dibangkitkan oleh Sister In Islam dan ada beberapa perkara yang kita rasa mereka melakukan kerja yang baik khususnya isu membela kezaliman keatas wanita.Antara isu yang menjadi pertikaian oleh SIS ialah isu poligami.SIS mendakwa poligami ini hanya satu bentuk penindasan dan kezaliaman ke atas kaum wanita. Malah SIS berpandangan berpoligami ini lebih membawa mudharat dan kehancuran rumahtangga. Secara prinsipnya,poligami itu tidak salah tetapi yang menjadi masalahnya pada hari ini ialah bagaimana kita melaksanakan dan menguruskan perihal berpoligami ini. Sekiranya kita mempersoalkan mengenai ketidakadilan dalam berpoligami,maka monogami juga terkadang mempunyai keganasan dalam rumahtangga. Maka sebetulnya ialah bukan poligami itu yang salah tetapi bagaimana kita melaksanakannya.Antara isu lain lagi ialah harta faraid yang menyatakan bahawa lelaki lebih banyak dapat bahagian daripada kaum wanita.Dari segi logik akalnya,lelaki semestinya mendapat lebih kerana lelaki lebih banyak tanggungan daripada wanita.


Menjadi tanggungjawab bagi para suami untuk membelanjakan hartanya sebagai nafkah pada keluarga.Tanggungjawab membelanjakan harta pada keluarga ini tidak dibebani pada kaum wanita.Jadi kerana itulah syariat menyatakan lelaki akan mendapat bahagiannya lebih banyak berbanding kaum wanita.Maka secara tuntasnya,tidak timbul langsung isu ketidakadilan dalam pembahagian harta faraid.Namun,kita juga tidak dapat menafikan pertubuhan SIS mempunyai usaha-usaha membela nasib wanita yang tidak bernasib baik.Antaranya ialah penderaan isteri yang tidak mendapat tempat dan perhatian oleh mahkamah syariah.Nasib golongan isteri yang seringkali dijadikan bahan untuk melepaskan geram,marah dan sebagainya tidak mendapat perhatian yang sewajarnya oleh pihak yang berkenaan.Berdasarkan pengalaman beberapa individu,golongan isteri yang ditindas,di zalimi dan di kasari ini bukannya tidak membuat aduan pada pihak yang berkenaan tetapi mereka ini seringkali diminta bersabar dan tabah menghadapinya.Nasihat-nasihat yang sebeginilah yang membuatkan para suami lebih bertindak ganas dan keterlaluan dalam rumahtangga. 




Inilah yang seringkali dibangkitkan oleh pertubuhan SIS dalam hendak membela nasib para isteri yang ditindas oleh suami.Dalam islam sekalipun,jika terang-terang para suami melakukan kekasaran pada isteri maka pisahkanlah mereka untuk mengelakkan kezaliman terus berleluasa.Keganasan dalam rumahtangga adalah bercanggah sama sekali dengan matlamat asal perkahwinan iaitu untuk mendapatkan ketenangan dan kebahagiaan. Pertubuhan SIS menimbulkan isu ini adalah sebagai tindak balas daripada kegagalan golongan agamawan menyelesaikan isu seperti ini.Sepatutnya bukan tugas SIS untuk membela golongan wanita kerana islam itu sendiri menjadi pelindung untuk kaum wanita.Usaha-usaha yang dilakukan oleh pertubuhan SIS ini secara tidak langsung akan membuka pintu hati kita khususnya golongan agamawan untuk melihat dan menilai semula sejauh mana tahap pengurusan mahkamah syariah pada hari ini.Kita tidak dapat nafikan pertubuhan SIS ada juga perkara yang positifnya. Apabila perkara-perkara seperti ini dibangkitkan oleh sebuah pertubuhan sekularisma, maka secara tidak langsung ia telah memberikan gambaran yang salah tentang islam itu sendiri.Sewajarnya golongan agamawan,para pemikir islam dan para alim ulama lebih layak membawa dan menyelesaikan isu-isu ini bukan dengan berbalah, bersengketa pada perkara yang khilaf.


Oleh itu,jika sekiranya kita ingin menghukum pertubuhan SIS ini sebagai sebuah pertubuhan haram,ini perlu dilihat dengan lebih teliti sebelum kita mengharamkannya. Jika kita hendak menghukum sesuatu pertubuhan dengan hukum haram,maka perlu bagi mereka hak untuk membela diri dahulu kerana ini adalah islam.Islam sendiri mendidik kita untuk memberikan hak yang seluasnya pada tertuduh untuk membela diri. Maka sekiranya mereka ini benar-benar didapati bersalah berdasarkan fakta yang jelas,bukan sekadar persepsi atau anggapan semata-mata,maka wajarlah untuk diharamkan.Tetapi sekiranya kita tidak membuka ruang perbincangan yang seluasnya pada mereka,lalu kita terus mengharamkannya tanpa soal selidik,maka perkara ini tidak betul dalam islam.Malah sekiranya golongan agamawan yang mengharamkannya tanpa mengajak kembali kepada islam yang sebenar,tanpa memberitahu tentang islam sejelasnya,maka secara tidak langsung,sedar ataupun tidak,kita telah melakukan satu kerugian besar.Rugi dalam membiarkan mereka terus sesat meredahi jalan kegelapan. Jadi sebelum beritndak mengharamkan sesuatu,berfikirlah sejenak dan renungkan kembali kesannya selepas itu.

Sunday, 21 June 2015

RAMADAN : BULAN PENYATUAN UMMAH

Ramadan yang penuh keberkatan ini disambut di seluruh dunia secara serentak. Oleh kerana kedudukan negara-negara kita berlainan dari sudut geografi, kita tidak dapat menyambutkan pada satu ketika yang sama. tetapi semuanya menyambut pada satu tarikh yang sama yakni kemunculan anak bulan Ramadan di tempat masing-masing. Sesungguhnya Ramadan membayangkan kesejagatan dan perpaduan Islam. Pada setiap ketika, setiap detik dalam 24jam sehari, kita akan mendapati ada saja umat Islam yang sedang berpuasa, yang sedang berbuka, yang sedang bertarawih, membaca al-Quran, bersahur dan pelbagai aktiviti lain meraikan Ramadan mubarak ini.Kita dapati umat Islam tediri dari pelbagai jenis warna kulit, bangsa, kaum, bahasa dan kebudayaan. Namun dengan sambutan Ramadan yang serentak; mereka bersatu dalam kepelbagaian ini. Jelas terserlah ruh ayat Allah: Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam. (Surah al-Anbiyaa’:107)


Kesatuan dalam kepelbagaian ini adalah ciri penting Islam. Kita berbeza bukan sekadar budaya dan warna kulit tetapi kadangkala sehingga dalam beberapa hal cara beribadah. Namun kita tetap bersatu di atas perkara pokok dan prinsip.Misalnya tiada umat Islam yang mempertikaikan kewajipan puasa pada bulan Ramadan, tiada yang tidak bersetuju bahawa awal puasa ialah pada satu Ramadan, tiada yang membangkang jika dikatakan yang sakit dan dalam perjalanan dibenarkan berbuka dan tiada yang mengatakan solat malam pada bulan Ramadan itu amat digalakkan. Ini adalah perkara-perkara pokok dan prinsip dan tidak ada pertikaian mengenainya. Namun di kalangan kita mungkin berbeza dari segi cara menentukan tarikh 1 Ramadan atau samada “orang yang dalam perjalanan yang mudah perlu berpuasa atau tidak” dan samada “ solat tarawih itu 20 rakaat atau 8” dan seumpamanya. Perbezaan pendapat yang kecil sedemikian tidak semestinya tidak menunjukkan ketidaksatuan; asalkan semuanya berdasarkan hujah dan nas yang kuat. 




Perkara furu' dan khilafiyah seperti itu tidak sepatutnya menjadi penyebab kepada perpecahan. Kita perlu menghormati kebebasan yang Islam berikan dalam berbeza pendapat. Islam mengajar kita bertoleransi dan berpegang dengan adab dan akhlak ketika berlaku perbezaan pendapat. Para sahabat pernah berbeza pendapat dalam bab puasa dalam perjalanan. Lihat sikap mereka. Anas bin Malik berkata: "Kami sedang bermusafir bersama dengan Rasulullah (saw) semasa Ramadan dan di kalangan kami ada yang berpuasa, ada yang tidak berpuasa. Golongan yang berpuasa tidak menyalahkan orang yang tidak berpuasa dan golongan yang tidak berpuasa tidak menyalahkan orang yang berpuasa.(Hadis Riwayat Bukhari and Muslim). Itulah sikap sahabat-sahabat Nabi SAW yang harus kita contohi. Tidak ada sebab untuk kita merendah-rendahkan amal perbuatan orang lain atau merasa diri kita lebih besar, lebih hebat, lebih banyak amal, lebih wara’, lebih tinggi darjat taqwa berbanding dengan mereka yang mempunyai kelainan dari sudut perkara¬perkara khilafiyah sebegini.


Ingatlah pesanan Allah: Hai orang-orang yang beriman, janganlah suatu kaum men golok-olokkan kaum yang lain (karena) boleh jadi mereka (yang diolok-olokkan) lebih baik dari mereka (yang men golok-olokkan) (Surah al-Hujurat: 11). Berhati-hatilah dengan jarum-jarum halus yang bakal merosakkan amal kita. Jangan dilayan perasaan bahawa kita lebih baik dari mereka kerana kita melaksanakan sesuatu amal yang lebih lebih banyak, lebih kerap, lebih sempurna sambil kita memandang rendah orang lain. Boleh jadi juga dalam keghairahan mencari yang lebih ‘benar’ dan lebih ‘banyak’ kita terpedaya dengan tipu-daya hawa nafsu kita yang memesongkan.Ingatlah, sebaik sahaja kita merasa diri kita lebih taqwa dari orang lain, di ketika itu bukanlah layak lagi kita digelar bertaqwa!

BINALAH SEMULA ROHANI

Kita sering didedahkan dengan berita mengenai binaan atau bangunan yang retak dan runtuh kerana kelalaian manusia sendiri, seperti tidak mematuhi spesifikasi atau prosedur ditetapkan. Pastinya kesusahan akibat masalah itu amat dirasai hingga menjejaskan hampir keseluruhan minda dan perasaan mereka yang menanggungnya selagi tidak diselesaikan. Fenomena buruk tidak disukai sesiapa saja kerana ia boleh mengakibatkan pelbagai bencana malah kehilangan harta serta nyawa. Sesuatu yang perlu disedari ialah kebanyakan kerosakan di dunia ini berpunca daripada sikap buruk manusia sendiri. Allah SWT menegaskan melalui firman-Nya bermaksud: “Sudah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah ar-Rum, ayat 41)


Berlainan dengan kerosakan fizikal yang mudah dilihat dan diperbaiki, kerosakan spiritual atau kerohanian tidak dapat dilihat dengan nyata menyebabkan ia kurang diberi perhatian.Contohnya, tanda rosak rohani seperti mengabaikan solat, puasa atau sering melakukan perkara ditegah syarak, kita kurang memberi perhatian untuk membaikinya.Apabila dibiarkan ia menjadi lebih bahaya, bukan saja boleh mengundang pelbagai keburukan kepada diri sendiri, bahkan masyarakat, negara dan ummah seluruhnya.Mutakhir ini, pelbagai isu berkaitan kerosakan rohani seperti masalah keruntuhan akhlak, gejala sosial dan pelbagai jenayah bagaikan api dalam sekam yang boleh mengancam kesejahteraan hidup individu serta masyarakat.Hidup dalam perspektif Islam seperti disimpulkan daripada mafhum ayat 77 surah al-Qasas ialah memenuhi keperluan dan tanggungjawab di dunia ini sebagai jambatan menuju kehidupan yang kekal abadi di akhirat. 




Justeru, peraturan hidup Islam perlu dipatuhi kerana berdasarkan firman Allah, jelas menunjukkan pelbagai kerosakan di dunia ini berpunca daripada manusia sendiri.Kepincangan dalam masyarakat yang terhasil melalui pelbagai bentuk jenayah dan perlakuan buruk manusia adalah manifestasi pengabaian terhadap peraturan agama dan perkara pokok dalam usaha memelihara agama daripada runtuh ialah ibadat solat.Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Sembahyang itu tiang agama, sesiapa yang meninggalkannya maka sesungguhnya ia meruntuhkan agama.”Hadis itu membuktikan pentingnya solat dalam hubungan manusia dengan kehidupan kerana solat menjadi pengemudi seseorang itu dalam segala tindak tanduknya.Ini kerana seseorang yang melaksanakan ibadat utama itu tentunya lahir daripada keimanan yang kental terhadap Allah SWT.


Allah SWT memberi jaminan bahawa ibadat solat dapat mencegah seseorang itu daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar melalui firman-Nya, “... dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar.” (Surah al-'Ankabut, ayat 45). Jika diperhatikan dengan penuh keinsafan dan kesedaran, kita tentu gusar melihat pelbagai kemungkaran berlaku yang menandakan betapa ramai orang sedang membina keruntuhan. Jika diambil satu dosa iaitu dosa meninggalkan solat, agaknya berapa ramai yang sedang mengumpul dosa lantaran setiap waktu tidak menunaikan solat bak kata pepatah Melayu, ‘sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit.’Yang pasti saban hari ada umat Islam sedang membina keruntuhan, lantaran mengumpul dosa dengan mengabaikan kewajipan agamanya.




Setiap individu Muslim sepatutnya sentiasa berusaha membina iman dan amalnya dengan melaksanakan perintah Allah SWT dan menjauhi segala larangan-Nya, bukan membina keruntuhan dengan meninggalkan perintah dan melaksanakan larangan-Nya.Umat Islam sewajarnya sentiasa menaruh bimbang akan kemungkinan terkena janji Allah SWT seperti diceritakan di dalam al-Quran mengenai kaum yang dikenakan azab dan bencana disebabkan mereka tidak beriman dan melakukan dosa.Sebaliknya umat Islam hendaklah mempunyai hati dan fikiran yang bersih sebagai cermin iman yang luhur untuk menikmati janji Allah dalam firman bermaksud: “Sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi.” (Surah al-A'raf, ayat 96).



Setiap peristiwa di dunia ini mempunyai hikmah pengajaran dan iktibar untuk direnung seperti kisah dalam al-Quran mengenai sesuatu kaum atau negeri yang dihancurkan lantaran penduduknya melakukan pelbagai dosa dan kemungkaran.Masa untuk bermuhasabah menginsafi diri sentiasa luas terbentang seperti kata-kata bijak pandai yang mengingatkan kita, “Sekiranya sesat di hujung jalan, baliklah ke pangkal jalan.”Oleh itu, umat Islam tidak harus terleka membina keruntuhan, sebaliknya binalah kekuatan diri, kukuhkan negara dan ummah.

DISEBALIK SURAH AL ASR

Kebanyakan kita sudah tentu pernah menghadiri pelbagai seminar, kursus, ceramah atau bengkel. Sesungguhnya suatu hal yang menarik yang dapat diperhatikan pada setiap program tersebut ialah apabila sesi itu dikendalikan sama ada oleh penganjur, pengerusi, ataupun penceramah yang muslim maka sepertinya suatu kewajipan bahawa mereka akan memulakan sesi itu dengan bacaan Ummul Kitab dan mengakhiri sesi tersebut dengan Surah Al-Asr. Secara umumnya, ramai yang tahu mengapa harus dimulakan dengan Ummul Kitab dan sekiranya ditanya, ramai yang akan menyatakan yang Al-Fatihah itu maksudnya buka, maka molek sekiranya sesuatu yang baik itu (majlis ilmu yang dihadiri) dimulakan dengan Al-Fatihah. Maka, sekiranya dilanjutkan soalan mengapa pula harus ditamatkan dengan Surah Al-Asr? Barangkali jawapan yang biasa didengari ialah surah itu mengingatkan kita terhadap kepentingan masa. Ada juga yang menyatakan yang kita perlu menyampaikan ilmu yang telah dipelajari dalam majlis itu.


Pernahkah kita terfikir untuk bertanya kepada penceramah tersebut, mengapa harus dibacakan Surah Al Asr? Tidakkah boleh ditutupkan majlis ilmu itu tadi dengan surah lazim yang lain? Meneliti maksud surah Al-Asr yang bermaksud : “Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.” (Al-Asr : 1 – 3). Sekiranya diperhatikan, terjemahan surah di atas memberi penekanan terhadap beberapa perkara iaitu,Allah SWT bersumpah dengan masa, Allah SWT menyatakan sesungguhnya manusia itu berada dalam keadaan rugi. Sebagai perbandingan, Allah SWT meletakkan keadaan negatif (rugi) kepada manusia dengan bersumpahkan masa.Seterusnya Allah SWT memberi pengecualian rugi kepada golongan yang berikut,Orang yang beriman,Orang yang beramal soleh,Orang yang berpesan-pesan dan Orang yang sabar 




Dalam konteks ini, dapat kita perhatikan bahawa ciri-ciri orang yang tidak rugi yang disenaraikan di atas sebenarnya berada dalam satu tertib yang mana dengan hanya mengikuti tertib tersebut dapat mengelakkan sesorang daripada menjadi rugi. Dan yang menariknya, penekanan rugi di sini bukan hanya merujuk kepada tauhid terhadap Allah semata-mata malah mencakupi apa sahaja perlakuan manusia. Ini bermaksud, bagi mereka yang tidak beriman kepada Allah juga harus memahami proses ini berlaku bagi mengelakkan mereka termasuk dalam kategori rugi.

Tertib golongan yang terkecuali daripada kerugian,orang yang beriman.Iman atau bahasa mudahnya bermaksud percaya. Seseorang itu dikatakan beriman apabila dia mempercayai apa yang disampaikan kepadanya. Dalam konteks perilaku manusia, adalah lebih mudah bagi seseorang melakukan sesuatu yang dipercayainya, contohnya mempercayai bahawa memakan ubat yang dibekalkan oleh doktor adalah usaha dalam menyembuhkan penyakit. Dalam hal mempercayai sesuatu ini biasanya manusia lebih mudah jatuh percaya apabila melihat bukti dengan matanya sendiri. Sebagai contoh, adalah sukar mempercayai keberkesanan ubat kurus yang dijual oleh seseorang yang gemuk orangnya, kecuali orang itu menjadi kurus terlebih dahulu. Maka sekiranya kita membeli ubat itu semata-mata ingin menjaga hati si penjual yang berbadan gemuk tadi, bukankah satu kerugian kepada kita? 




Kemudian tertib yang kedua,orang yang beramal soleh. Amal atau melakukan sesuatu bermaksud kita melakukan sesuatu sama ada atas keinginan sendiri atau dorongan sesuatu. Dalam hal ini, adalah satu kerugian buat kita sekiranya kita percayakan kepada sesuatu yang mendatangkan kebaikan tetapi kita tidak melaksanakannya. Sebagai contoh, kita tahu bahawa solat adalah wajib dan sesiapa yang meninggalkannya akan berdosa. Tetapi di sebalik kepercayaan kita kepada perkara fardhu itu, kita tidak pun mengamalkannya. Begitu juga dengan pelbagai perkara lain yang kita pelajari dalam hidup seperti penggunaan tali pinggang keledar. Kita percaya bahawa penggunaannya mampu menyelamatkan nyawa. Tetapi, jika kita tidak menggunakannya walaupun kita percaya kesan penggunaannya, maka kita akan menjadi orang yang rugi terutamanya apabila kemalangan berlaku dan kita mendapat musibah kerana tidak mengenakan tali pinggang keledar.


Seterusnya yang ketiga ialah orang yang berpesan-pesan.Berpesan-pesan di sini boleh difahami dalam bentuk menyampaikan perkara yang dipercayai dan diamalkan seperti di atas. Ini bermaksud proses komunikasi dan penyebaran maklumat terhadap kebaikan ini perlu dilakukan. Sekiranya tidak, kita akan menjadi orang yang rugi. Memetik contoh terdahulu, pemakaian tali pinggang keledar. Sebagai orang yang mempercayai dan menggunakan tali pinggang keledar, adalah penting untuk kita sentiasa mengingatkan atau berpesan kepada mereka yang menaiki kereta kita untuk turut sama menggunakan tali pinggang. Adalah rugi sekiranya hanya kita yang menggunakannya kerana andainya kemalangan berlaku, hanya kita seorang yang terselamat. Begitu juga dengan aspek ibadah, seandainya kita rajin ke masjid tetapi tidak mengajak orang lain turut sama ke masjid, maka kita akan menjadi orang yang rugi kerana kita juga boleh mendapat pahala kerana menggalakkan orang ke masjid dan menyeru orang lain berbuat kebaikan. 





Dan yang terakhir ialah orang yang sabar.Dalam tertib ini, sabar berada di bahagian terakhir proses kerana hanya selepas kita beriman, beramal dan menyebarkan sesuatu, barulah kita bersabar. Mengapa keadaan ini berlaku? Hal ini demikian kerana manusia tidak mudah menerima perubahan. Perubahan menuntut pengorbanan masa, wang dan usaha yang kuat. Atas dasar ini, kita diminta bersabar atas usaha yang dilaksanakan untuk melihat hasilnya. Bayangkan senario ini; kita percaya bahawa solat berjemaah itu bagus, kita mengamalkannya dengan ke masjid dan kita menyebarkan dengan mengajak anak-anak kita ke masjid. Kita telah pun melengkapkan ketiga-tiga tertib di atas. Namun anak kita menolak dan tidak mahu mengikut kita ke masjid. Kita menjadi berang dan marah. Ini boleh mengakibatkan anak-anak menjadi takut, kecewa dan sebagainya yang mengakibatkan mereka semakin menjauhi kita dan menyukarkan kita mendidik mereka. Bukankah ini satu kerugian? Sebaliknya apabila anak-anak menolak, kita menasihati dengan lembut, menunjukkan teladan yang baik maka ini lebih dekat dengan hati mereka dan mampu mempengaruhi mereka.

JAUHI BURUK SANGKA

Saudara saudari sekalian, salah satu sifat buruk yang perlu di jauhi dalam hidup seorang Muslim sejati adalah sifat suka berburuk sangka. Sifat buruk sangka ini datang daripada sikap suka berprasangka. Sikap prasangka ini terbahagi kepada dua iaitu prasangka baik dan prasangka buruk. Dalam al-Quran, surah al-Hujurat ayat 12, Allah menyebut tentang prasangka, yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa.”. Apabila melihat sesuatu perkara, manusia lebih cenderong menafsirnya daripada sudut negatif. Jadi, bagi mengelakkan berburuk sangka, kita perlu membuat usul periksa atau bertanya lanjut tentang sesuatu perkara sebelum membuat andaian. Allah mengingatkan kita dalam Quran, surat al-Hujurat, ayat 6 yang bermaksud: 'Wahai orang-orang yang beriman, apabila datang kepadamu orang fasik (orang yang tidak mengamalkan ajaran Islam) yang membawa sesuatu berita, maka siasat dengan teliti (benar atau tidak).'


Oleh itu, apabila kita fikir tentang orang lain, lihatlah daripada sudut pandangan yang positif dan baik. Contohnya apabila kita melihat rakan kita menolong cikgu mengangkat barang, fikirlah dari sudut yang positif. Iaitu, dia kasihan kepada cikgu itu atau dia seorang yang sememangnya rajin dan suka menolong orang lain. Jangan cepat berprasangka buruk atau melihat dari aspek negatif seperti berfikir rakan kita itu hendak mengampu cikgu atau sebagainya.Dengan cara itu,kita akan sentiasa dapat merapatkan silaturahim dengan kawan-kawan. Kita juga dapat melatih diri menjauhi sikap berprasangka buruk dan sekaligus dapat menjauhi fitnah. Ini kerana, prasangka buruk melahirkan sikap buruk yang lain iaitu fitnah dan mengumpat. 


Fitnah ialah berkata sesuatu yang tidak benar terhadap orang lain. Ia berpunca dari prasangka buruk. Dosa fitnah ini juga cukup besar dan amat dikutuk oleh ajaran Islam. Fitnah boleh memutuskan silaturahim, merosakan hubungan sosial dan sekaligus mengucar-kacirkan masyarakat dan negara kita. Manakala mengumpat pula berkata tentang orang lain berkaitan sesuatu yang tidak disukainya, walaupun perkara itu benar.Dalam al-Quran, surah al-Hujurat, ayat 12, Allah menegah sikap keji ini. Maksudnya: “...dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya.”


Allah mengibaratkan mengumpat ini sebagai memakan daging mayat yang busuk. Kita tentu sekali akan menjauhi dan berasa jijik terhadap perbuatan memakan mayat. Begitulah sepatutnya kita turut berasa jijik terhadap perbuatan mengumpat.Oleh itu, bagi mengelakkan diri daripada terjebak dengan fitnah dan mengumpat, jauilah sikap berburuk sangka. Bersihkan hati dan fikiran kita daripada segala sangkaan yang buruk. Orang yang gembira dan berjaya dalam hidup tidak akan bersangka buruk kepada orang lain. Dia sentiasa melihat dirinya dan apa yang ada disekelilingnya dengan fikiran yang positif dan baik sangka, walaupun dia mungkin tidak sehebat, semewah atau secantik orang lain.