Kebanyakan kita sudah tentu pernah menghadiri pelbagai seminar,
kursus, ceramah atau bengkel. Sesungguhnya suatu hal yang menarik yang dapat
diperhatikan pada setiap program tersebut ialah apabila sesi itu dikendalikan
sama ada oleh penganjur, pengerusi, ataupun penceramah yang muslim maka
sepertinya suatu kewajipan bahawa mereka akan memulakan sesi itu dengan bacaan
Ummul Kitab dan mengakhiri sesi tersebut dengan Surah Al-Asr. Secara umumnya,
ramai yang tahu mengapa harus dimulakan dengan Ummul Kitab dan sekiranya
ditanya, ramai yang akan menyatakan yang Al-Fatihah itu maksudnya buka, maka
molek sekiranya sesuatu yang baik itu (majlis ilmu yang dihadiri) dimulakan
dengan Al-Fatihah. Maka, sekiranya dilanjutkan soalan mengapa pula harus
ditamatkan dengan Surah Al-Asr? Barangkali jawapan yang biasa didengari ialah
surah itu mengingatkan kita terhadap kepentingan masa. Ada juga yang menyatakan
yang kita perlu menyampaikan ilmu yang telah dipelajari dalam majlis itu.
Pernahkah kita terfikir untuk bertanya kepada penceramah tersebut,
mengapa harus dibacakan Surah Al Asr? Tidakkah boleh ditutupkan majlis ilmu itu
tadi dengan surah lazim yang lain? Meneliti maksud surah Al-Asr yang bermaksud
: “Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang
beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran
serta berpesan-pesan dengan kesabaran.” (Al-Asr : 1 – 3). Sekiranya
diperhatikan, terjemahan surah di atas memberi penekanan terhadap beberapa
perkara iaitu,Allah SWT bersumpah dengan masa, Allah SWT menyatakan
sesungguhnya manusia itu berada dalam keadaan rugi. Sebagai perbandingan, Allah
SWT meletakkan keadaan negatif (rugi) kepada manusia dengan bersumpahkan masa.Seterusnya
Allah SWT memberi pengecualian rugi kepada golongan yang berikut,Orang yang
beriman,Orang yang beramal soleh,Orang yang berpesan-pesan dan Orang yang sabar
Dalam konteks ini, dapat kita perhatikan bahawa ciri-ciri orang
yang tidak rugi yang disenaraikan di atas sebenarnya berada dalam satu tertib
yang mana dengan hanya mengikuti tertib tersebut dapat mengelakkan sesorang
daripada menjadi rugi. Dan yang menariknya, penekanan rugi di sini bukan hanya
merujuk kepada tauhid terhadap Allah semata-mata malah mencakupi apa sahaja perlakuan
manusia. Ini bermaksud, bagi mereka yang tidak beriman kepada Allah juga harus
memahami proses ini berlaku bagi mengelakkan mereka termasuk dalam kategori
rugi.
Tertib golongan yang terkecuali daripada kerugian,orang yang
beriman.Iman atau bahasa mudahnya bermaksud percaya. Seseorang itu dikatakan
beriman apabila dia mempercayai apa yang disampaikan kepadanya. Dalam konteks
perilaku manusia, adalah lebih mudah bagi seseorang melakukan sesuatu yang
dipercayainya, contohnya mempercayai bahawa memakan ubat yang dibekalkan oleh
doktor adalah usaha dalam menyembuhkan penyakit. Dalam hal mempercayai sesuatu
ini biasanya manusia lebih mudah jatuh percaya apabila melihat bukti dengan
matanya sendiri. Sebagai contoh, adalah sukar mempercayai keberkesanan ubat
kurus yang dijual oleh seseorang yang gemuk orangnya, kecuali orang itu menjadi
kurus terlebih dahulu. Maka sekiranya kita membeli ubat itu semata-mata ingin
menjaga hati si penjual yang berbadan gemuk tadi, bukankah satu kerugian kepada kita?
Kemudian tertib yang kedua,orang yang beramal soleh. Amal atau
melakukan sesuatu bermaksud kita melakukan sesuatu sama ada atas keinginan
sendiri atau dorongan sesuatu. Dalam hal ini, adalah satu kerugian buat kita
sekiranya kita percayakan kepada sesuatu yang mendatangkan kebaikan tetapi kita
tidak melaksanakannya. Sebagai contoh, kita tahu bahawa solat adalah wajib dan
sesiapa yang meninggalkannya akan berdosa. Tetapi di sebalik kepercayaan kita
kepada perkara fardhu itu, kita tidak pun mengamalkannya. Begitu juga dengan pelbagai
perkara lain yang kita pelajari dalam hidup seperti penggunaan tali pinggang
keledar. Kita percaya bahawa penggunaannya mampu menyelamatkan nyawa. Tetapi,
jika kita tidak menggunakannya walaupun kita percaya kesan penggunaannya, maka kita akan menjadi orang yang rugi terutamanya apabila kemalangan berlaku dan kita mendapat musibah kerana tidak mengenakan tali pinggang keledar.
Seterusnya yang ketiga ialah orang yang berpesan-pesan.Berpesan-pesan
di sini boleh difahami dalam bentuk menyampaikan perkara yang dipercayai dan
diamalkan seperti di atas. Ini bermaksud proses komunikasi dan penyebaran
maklumat terhadap kebaikan ini perlu dilakukan. Sekiranya tidak, kita akan
menjadi orang yang rugi. Memetik contoh terdahulu, pemakaian tali pinggang
keledar. Sebagai orang yang mempercayai dan menggunakan tali pinggang keledar,
adalah penting untuk kita sentiasa mengingatkan atau berpesan kepada mereka
yang menaiki kereta kita untuk turut sama menggunakan tali pinggang. Adalah
rugi sekiranya hanya kita yang menggunakannya kerana andainya kemalangan
berlaku, hanya kita seorang yang terselamat. Begitu juga dengan aspek ibadah,
seandainya kita rajin ke masjid tetapi tidak mengajak orang lain turut sama ke
masjid, maka kita akan menjadi orang yang rugi kerana kita juga boleh mendapat
pahala kerana menggalakkan orang ke masjid dan menyeru orang lain berbuat
kebaikan.
Dan yang terakhir ialah orang yang sabar.Dalam tertib ini, sabar
berada di bahagian terakhir proses kerana hanya selepas kita beriman, beramal
dan menyebarkan sesuatu, barulah kita bersabar. Mengapa keadaan ini berlaku?
Hal ini demikian kerana manusia tidak mudah menerima perubahan. Perubahan menuntut
pengorbanan masa, wang dan usaha yang kuat. Atas dasar ini, kita diminta
bersabar atas usaha yang dilaksanakan untuk melihat hasilnya. Bayangkan senario
ini; kita percaya bahawa solat berjemaah itu bagus, kita mengamalkannya dengan
ke masjid dan kita menyebarkan dengan mengajak anak-anak kita ke masjid. Kita
telah pun melengkapkan ketiga-tiga tertib di atas. Namun anak kita menolak dan
tidak mahu mengikut kita ke masjid. Kita menjadi berang dan marah. Ini boleh
mengakibatkan anak-anak menjadi takut, kecewa dan sebagainya yang mengakibatkan
mereka semakin menjauhi kita dan menyukarkan kita mendidik mereka. Bukankah ini
satu kerugian? Sebaliknya apabila anak-anak menolak, kita menasihati dengan
lembut, menunjukkan teladan yang baik maka ini lebih dekat dengan hati mereka
dan mampu mempengaruhi mereka.
No comments:
Post a Comment