Ramadan datang lagi. Bulan yang mulia ini hanya datang setahun
sekali. Setiap individu muslim mukmin menyambut ketibaan Ramadhan dengan
penuh ghairah dan teruja. Pada bulan ini Allah menawarkan dengan limpah
keberkatan dan gandaan pahala bagi setiap kebajikan yang dilakukan oleh sesiapa
yang berpuasa dengan sempurna. Maka untuk menyambut bulan ini pelbagai
program telah diatur setiap tahun seperti melantik Imam Hafiz untuk membimbing
solat terawih, mengadakan tadarus Quran berkelompok, berbuka puasa
beramai-ramai, ceramah fadhilat ramadhan, qiamullail dan sebagainya. Dengan
segala macam program ini menarik minat para jamaah untuk memenuhi ruang masjid
. Ahli jamaah yang jarang-jarang datang ke masjid pun hadir menunjukkan
komitmen sepanjang sebulan Ramadhan. Mungkin itu yang dikatakan tarikan bulan
yang penuh keberkatan dan melembutkan hati kepada sesiapa sahaja yang ihklas
untuk mencari kebajikan dan pahala.
Dengan aturcara yang padat ini, kita boleh namakan sebagai madrasah
terbuka kepada sesiapa yang bersedia untuk mengambil peluang keemasan tersebut.
Sebenarnya segala macam program yang diatur ialah sebagai pelengkap untuk
mengisi keberkatan dan kemeriahan Ramadhan. Tetapi secara khususnya
ialah difardukan berpuasa bagi sesiapa mencukupi syarat seperti umur
baligh dan sebagainya. Perkara utama yang dituntut kepada orang berpuasa
hendaklah meninggalkan makan minum dan tidak melakukan perkara-perkara yang
membatalkan puasa bermula dari terbit fajar sehinggalah terbenam matahari.
Ini bermakna diharamkan kepada kita makan minum di siang hari walaupun ianya
makanan dan minuman halal.
Berpuasa memerlukan seseorang yang sangat tinggi disiplin diri
untuk menyempurnakan kewajipan puasa yang mempunyai hikmah tersurat dan
tesirat. Secara umumnya, kesan positif puasa seringkali menjadi tumpuan kajian.
Para doktor perubatan menjadikanya sebagai amalan kesihatan atau sebagai
jalan penyelesaian bagi penyakit-penyakit moden yang sukar di atasi oleh
rawatan-rawatan canggih hari ini tanpa memberi kesan sampingan. Di kalangan
pengamal perubatan moden menganggapnya sebagai penemuan terapi baru. Keajaiban
puasa ini memaksa Mark Twain seorang doktor yang terkenal mencadangkan supaya
rakan pesakitnya agar berpuasa sepanjang 48 jam. Namun demikian, sungguhpun
hebat fungsi puasa, Islam tidak memberatkan kita seperti cadangan melampau itu.
Berpuasa menuntut kita menghadapi cabaran nafsu. Sebenarnya Imam
Al-Ghazali lebih awal menjelaskan hal ini menerusi karya agungnya, Ihya`
Ulummiddin. Tegasnya bencana yang paling besar dalam kehidupan manusia ialah
nafsu perut. Selanjutnya secara analisis beliau menyatakan pengambilan
berlebihan akan menghilangkan kecergasan serta akan hilang kecerdasan dan
kebijaksanaan. Akhirnya mengundang sikap malas dan melesukan fizikal.
Perspektif al-Ghazali menjawab salah tanggapan umum dengan mengambil makanan
yang banyak ketika lapar akan menambahkan tenaga terutamanya ketika berbuka
pausa. Hal yang sama diingatkan oleh al-Quran supaya pengambilan makanan dan
minuman hendaklah tidak melampau (al-A’raf:31). Ketika berbuka kita disunatkan
memakan buah kurma agar memulih kehilangan tenaga melalui gula tulin dan
serat buah. Di kala ini juga, kita hendaklah pastikan juadahnya
adalah halal serta selamat, dan tiada pengambilan yang makruh seperti merokok.
Selain itu, Ramadhan turut menekankan ketepatan pengurusan masa
termasuklah melewatkan waktu sahur dan berbuka di awal waktu. Manakala pada
malam hari disunatkan menunaikan sembahyang solat tarawih berjamaah dan
membanyakkan membaca al-Quran. Sebenarnya kesemua ini adalah nikmat cabaran
kepada sesiapa mencari keredhaan Allah dan pahala yang berlipat ganda. Mencari
limpahan rahmat Lailatulqadar kemuncak kepada segala cabaran kerana ia berada
di penghujung Ramadhan disebabkan sudah “keletihan” dan masing-masing sibuk
dengan pelbagai persediaan menyambut hari raya. Puasa Ramadhan hendaklah
disempurnakan dengan bayaran fitrah. Budaya berlebihan menyambut hari raya
berbanding pengisian Ramadhan harus diperbetulkan. Orang yang menikmati
kemeriahan syawal hanyalah bagi sesiapa yang berjaya menghidupkan sepenuhnya
Ramadhan dengan merebut segala tawaran dari Allah s.w.t. Bukannya meraikan
syawal sehingga terpinggir Ramadhan disebabkan segala macam tawaran istimewa
dari gedung-gedung perniagaan.
Kalau sekiranya kita menghadapi cabaran puasa hanya menahan lapar
dan dahaga, tetapi generasi awal Islam menghadapinya dalam suasana genting
tetapi cemerlang ketika Ramadhan.Hakikat kecemerlangan pernah dibuktikan
sendiri oleh Rasulullah dan para sahabat apabila mereka mencapai kemenangan
dalam peperangan Badar di bulan Ramadhan dengan jumlah tentera Islam seramai
313 dan sedangkan jumlah musuh berlipat ganda, iaitu 1000 orang. Selepas
berpuasa sebulan, mereka juga tetap menunjukkan kehebatan di mana mereka
memenangi dua peperangan dalam bulan Syawal, Ahzab dan Hunain. Sudah
tentulah kemenangan mereka disempurnakan dengan kekuatan inteligensia,
informasi, mental dan strategi yang cekap. Mengikut laras bahasa pengurusan dan
motivasi hari ini ialah, mereka dilatih menggunakan potensi IQ dan EQ
sepenuhnya.Semoga kita mendapat nikmat ketaqwaan.
No comments:
Post a Comment