Kita semakin menghampiri bulan rahmat dan keampunan Allah swt iaitu
bulan Ramadan. Marilah kita berusaha mempersiapkan diri menghadapi bulan
kebesaran kita. Ramadan adalah bulan yang sangat dinantikan oleh para pencinta
akhirat. Bulan yang mulia ini adalah bulan kesabaran, bulan memohon pertolongan
dan keampunan dan bulan kerahmatan.Ramadan adalah bulan kebaikan dan barakah
yang telah dikhususkan untuk umat Islam. Setiap amalan yang dilakukan
secara ikhlas akan mendapat limpahan rahmat dan nikmat daripada-Nya. Jika
kita meletakkan matlamat untuk membaca satu juz Quran sehari, ini
akan mendatangkan ganjaran kebaikan yang berlebihan bagi kita semua.Apakah yang dicari dan diharapkan oleh manusia selain
mendekatkan diri dari Allah? Tidak bermakna hidup tanpa mengerti erti hidup dan
kehidupan.Hingga kini manusia masih kabur, gelap, tidak mengerti, tidak
memahami apa yang diharapkan dari kehidupan yang fana ini. Mereka sedang
mencari dan terus mencari.
Apakah pencarian seseorang hamba itu menuju ke arah
cinta dan redha Illahi? Atau pencarian hamba itu hanya akan berakhir dengan
kerakusan mengejar nikmat duniawi ? Apakah yang sebenarnya dicari? Bagi mereka
yang sedang terus ditenggelami arus dunia tanpa berusaha untuk mengekang
turapan ego, kehadiran Ramadan tidak membawa sebarang erti. Tiada langsung
kekesalan yang akan timbul di hati. Malah mereka akan lebih giat berlari untuk
mendapatkan pesona dunia. Ego mereka akan berteriak, “Ayuh, teruskan langkahmu,
usah dihiraukan Ramadan yang datang membawa seribu keberkatan. Mari
berlari ke arah memuaskan keinginan ku!” Manusia diciptakan di muka bumi ini untuk mengabdikan diri kepada
Allah swt dan Allah berkata kepada hambanya, ‘sama ada kamu memilih jalan yang
penuh ranjau dan duri atau kamu melalui jalan yang diterangi cahaya iman dan
tauhid.’Ya. Terdapat dua jalan. Jalan yang dipenuhi gelombang dan ombak yang
keras dan menghempas, adalah jalan yang tidak wajar untuk kita harungi. Jalan
mencabar ini bukan untuk kita. Banyak penderitaan yang harus kita alami
menerusi belenggu ranjau kehidupan sebegini.
Pilihlah jalan yang mudah. Jalan
yang menghimbau manusia untuk menyerahkan diri kepada Allah menerusi amalan
ketaatan dan pelaksanaan ibadah yang ikhlas. Dengan cara ini, hidup kita akan
sentiasa disinari cahaya ketenangan dan kegembiraan. Mereka yang ingkar terhadap perintah dan suruhan Allah swt akan
terus dihimpit oleh keperitan hidup. Jika kita tidak berjaya untuk mengecapi
ketenangan, kedamaian hidup di dunia, sudah pasti kita tidak akan mampu untuk
memilikinya di alam barzarkh. Apa jua yang sedang diusahakan di dunia ini,
itulah yang akan didapati di dalam kubur masing-masing. Jika kita hiasi Ramadan
dengan iman dan amalan soleh, dan sekiranya suratan takdir memanggil kita untuk
kembali ke pangkuan Illahi pada tahun itu, maka akan kita dapati keberkahan
ramadan menanti diri kita di dalam kubur itu. Tetapi jika kita membiarkan
ramadan berlalu begitu sahaja tanpa sebarang rasa penyesalan, maka seksaan yang
berlipat ganda sedang menantikan kita di alam barzarkh.
Allah swt yang maha Agung lagi maha Bijaksana telah mencipta
manusia sebagai sebaik-baik ciptaan. Allah telah memuliakan manusia dengan
memberi mereka rezeki dari yang baik−baik dan melebihkan manusia dengan
kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk lain. Sebagai balasannya, Allah
berkata kepada manusia, “Jadilah kamu hamba yang bersyukur.”Tunjukkan
tanda mensyukuri nikmat dengan perbuatan. Bulan Ramadhan telah dianugerahkan
kepada kita untuk menyempurnakan ketaqwaan. Di sepanjang bulan yang mulia ini,
‘matikan enjin’ kita. Jika ‘enjin’ manusia berfungsi secara terus-menerus, ia
akan mendatangkan kemudaratan. Maka kesempatan harus diambil sepanjang satu
bulan ini untuk merehatkan ‘enjin’, mensucikan diri, menyedarkan diri
daripada kelekaan dan kealpaan. Dengan cara ini, kita dapat melatih diri untuk
menjadi lebih prihatin terhadap setiap tindakan mengenai perbuatan baik dan
buruk dalam kehidupan. Semua ini adalah untuk kebaikan diri kita sendiri. Bukan untuk
Allah swt. Peluang-peluang keemasan ini telah ditujukan khas untuk kita dan di
samping itu, Allah telah menjanjikan balasan syurga bagi mereka yang melakukan
setiap amal kebaikan ini ikhlas keranaNya.Malang sungguh, manusia yang
cenderung mengejar kenikmatan dunia mengambil sikap acuh tak acuh dalam mencari
keberkatan dan keredhaan Allah.
Seringkali kita mendengar mereka bertanya, ‘Apakah
ganjaran pahala yang akan kami perolehi jika amalan ini dilakukan?’ Mereka
hanya akan melakukan sesuatu amalan jika amalan itu menjanjikan ganjaran besar
dari yang Maha Esa. Tetapi, pernahkah kita menanyakan tentang balasan
dosa dan seksa dari Allah yang sedang menanti akibat keingkaran kita terhadap
perintah dan suruhanNya? Mengapa tidak? Bertanyalah tentang persoalan ini. Ia adalah lebih
penting buat kita. ‘Apakah hukuman yang sedang menanti diri kita akibat
melambat-lambatkan solat?. Sesuatu yang harus difikirkan kini. ‘Oh, aku
melakukan solat mengikut sesuka hati.’ Benar. Buatlah mengikut sesuka hati kita.
Namun kita tidak akan dapat lari daripada hakikat bahawa Allah swt menuntut
agar kita melakukan solat fardhu secara berjamaah dan tepat pada waktunya. Ini
harus diberi keutamaan. Kita tidak harus melengah-lengahkan waktu solat.
Semua
perkara-perkara ini tidak begitu diendahkan oleh umat Islam masa kini.
Mereka hanya ingin mengambil tahu tentang ganjaran pahala yang akan
diperolehi menerusi amalan yang tidak seberapa. Hentikan semua ini. Yang
harus diberi keutamaan adalah untuk menghindari perbuatan yang mendatangkan
dosa-dosa dan kemurkaan Allah. Seterusnya, akan kita dapati bahawa Allah swt
akan memberi kepadamu balasan duniawi dan ukhrawi. Rebutlah peluang di bulan yang mulia ini untuk menggapai redha
Illahi. Sebagai umat Islam yang telah diberi petunjuk Allah, kita harus bersatu
dalam menggugah kesedaran akal serta memenuhi hati dengan keimanan. Kita harus
bangkit dari harapan kosong dan khayalan sambil bertanya kepada diri sendiri,
‘apakah sebenarnya tujuan aku melakukan perkara ini? Adakah Allah serta
rasulNya gembira dengan diri ini atau sebaliknya?
Dalam manusia sibuk melayani
tuntutan ego, mereka menjadi leka dan alpa dengan tugas mereka dimuka bumi ini sebagai
hamba dan khalifah Allah. Dari anak kecil yang berusia tujuh tahun, hingga ke
orang dewasa berusia tujuh puluh tahun, biarpun lelaki mahupun wanita, semuanya
berkelakuan seperti firaun yang zalim. Allah swt telah mengutuskan para nabi
sebagai pembimbing dan pemberi petunjuk untuk kebahagian manusia baik di dunia
maupun di akhirat. Ini yang sedang berleluasa di kalangan manusia abad ke 21. Walaupun
duduk berapat-rapat, namun mereka saling menzalimi diantara mereka. Jika kita
tidak berusaha untuk membebaskan diri daripada belenggu kezaliman ini, maka
bersiap sedialah untuk menghadapi Jahannam yang sedang menanti di penghujung
jalan. Marilah kita renungkan bersama,ibadah puasa di bulan
ramadan seharusnya dipakai sebagai kesempatan khusus bagi kita untuk
mengakui dosa secara terbuka di hadapan Allah sambil mengikis sifat tercela
agar dapat kita menjadi hamba Allah yang beriman dengan sebenar-benarnya.
Tetapi jika ibadah ini tidak dapat membendung sifat-sifat tercela di dalam
diri, maka kita ibarat seekor haiwan buas yang sedang dirantai dalam keadaan
kelaparan.
No comments:
Post a Comment