Monday, 15 June 2015

HILANGNYA SEBUAH KEBERKATAN

Salah satu tanda-tanda kiamat kecil yang berikutnya ialah waktu yang terasa semakin singkat. Rasulullah SAW telah menggambarkan tentang perkara ini dalam beberapa hadis Baginda. Para ulama tidak mentafsirkan "singkatnya waktu" dengan bertambahnya kecepatan putaran bumi sehingga misalnya, jumlah masa dalam satu hari berkurang menjadi 23 jam. Pentafsiran seperti ini tentunya bertentangan dengan logik kerana jika kita memutarkan sebiji bola pada titik tertentu, tentulah laju putarannya semakin lama semakin berkurang bukannya semakin bertambah.Oleh itu, sebahagian ulama mentafsirkan singkatnya waktu ini dengan hilangnya keberkatan.Keberkatan yang paling penting ialah keberkatan dalam hidup dan keberkatan dalam waktu kita.


Yakinlah, kita diciptakan untuk suatu tugas yang penting, dan waktu ialah modal asas untuk dapat menunaikan tugas tersebut dengan baik.Tanpa keberkatan dan pengurusan waktu yang baik, kita tidak akan dapat menunaikan tugas tersebut dengan sempurna. Oleh sebab itu, bagi hamba-hamba Allah yang sejati, waktu jauh lebih mahal dan lebih berharga daripada yang dan apa sahaja harta benda di dunia ini.Keberkatan waktu dapat kita lihat dalam sejarah hidup tokoh-tokoh Islam dan para sahabat. Mereka berjaya melahirkan prestasi yang cemerlang dalam masa yang sangat singkat sehingga sering kali sukar diterima logik "zaman hilang berkat" kita ini.Imam al-Ghazali yang hidup hanya selama 55 tahun belum lagi disebut. 




Begitu juga Imam an-Nawawi yang hidup hanya selama 45 tahun, namun berjaya menulis banyak buku berharga yang kebanyakannya tebal berjilid-jilid. Orang yang pernah menulis buku pasti tahu betapa besar keberkatan yang Allah SWT berikan kepada waktu para ulama ini.Sebagai manusia biasa, mereka memiliki waktu yang sama dengan kita, sebulan mempunyai empat minggu, seminggu mempunyai tujuh hari dan sehari mempunyai 24 jam. Namun keberkatan dalam waktu memungkinkan mereka berkarya dan mendatangkan hasil yang lebih banyak daripada kita.Apakah yang menyebabkan keberkatan hilang pada zaman kita ini? Imam Ibn Abi Jamrah dalam Syarh al-Bukhari berkata,Penyebabnya ialah lemah iman dan tersebarnya pelbagai pelanggaran syariat dalam pelbagai jenis bidang, salah satu daripadanya dalam hal makanan.



Kita semua tahu unsur haram dan syubhah yang terdapat dalam makanan kita. Sering kali kita tidak peduli, lalu tanpa ragu-ragu mengambil makanan setiap kali ada kesempatan. Lemah iman memang membawa kepada berlakunya pelbagai maksiat dalam pekerjaan seperti pecah amanah, khianat, menerima rasuah dan lain-lain. Semua ini akan menghapus keberkatan dalam semua aspek kehidupan manusia, termasuklah waktu. Jika kita menyedari bahawa keberkatan telah hilang, maka sangat rugi jika kita masih membuang waktu yang memang sudah sedikit itu. Sebaliknya, kita harus bertekad menggunakan waktu itu dengan baik untuk meningkatkan prestasi di dunia dan mengumpul bekal untuk Akhirat. Semoga Allah SWT memberi kita hidayah agar menjadi orang-orang yang pandai memanfaatkan masa di dunia untuk memperbanyak bekalan di Akhirat. Amin ya Rabbal 'alamin

No comments:

Post a Comment