Kehidupan sebagai seorang hamba Allah,pasti kita tidak dapat lari
dari melakukan kesilapan. Kita percaya,ramai manusia pelaku maksiat di luar
sana yang jauh di dalam hati mereka ingin bertaubat, ingin berubah menjadi
lebih baik, cuma mereka tiada motivasi, tiada orang yang datang membantu
mereka.Saat mereka rasa mereka hampir lemas dengan dosa, tiada orang yang
datang menghulurkan tangan.Saat manusia-manusia soleh tanpa dosa yang nyata di
sekeliling mereka, melabel mereka sebagai pendosa, ahli neraka, manusia yang
dimurkai Allah, mereka rasa hilang harapan untuk hidup sebagai orang
baik,rasa hilang harapan dan putus asa
untuk meraih rahmat Allah, untuk masuk syurga Allah.
Kita yakin, setiap manusia tidak kira apa jua agama di dunia ini, tidak
kira dia penjenayah, ahli maksiat ataupun pendosa, apabila ditanya inginkah kamu
masuk syurga? Sudah tentu mereka menjawab ya cuma mereka tidak mampu
menterjemahkan keinginan mereka itu kepada perbuatan, cuma ramai antara mereka
yang hilang harapan untuk berubah, tiada yang mendekati mereka menyampaikan
kepada mereka betapa luasnya rahmat dan keampunan Allah, melampaui
kemurkaanNya.
Kita singkap kembali satu kisah yang masyhur yang berlaku pada
zaman Nabi S.A.W, di mana sahabat Nabi, Maiz Bin Malik datang menemui Nabi
kerana dia telah berzina dengan isteri orang. Maiz menemui Nabi dan mengaku dia
telah melakukan perbuatan yang keji, dia ingin Nabi supaya menjalankan hudud
keatasnya (rejam sampai mati) dan menyucikannya.Namun Nabi menyuruhnya pulang
dan bertaubat pada Allah tanpa bertanya lanjut tentang perbuatan keji yang
dilakukannya itu.Maiz tidak berpuas hati, dia benar-benar menyesal dan ingin
bertaubat. Empat kali dia menemui Nabi dan jawapan Nabi tetap sama, pulang dan
pohonlah taubat pada Allah.Di saat itu Nabi masih bersangka baik pada Maiz,
Nabi cuba bertanya kepada Maiz, mungkin Maiz tidak sengaja, mungkin Maiz tidak
waras ketika itu, mungkin juga Maiz tidak sampai berzina, mungkin Maiz cuma
bersentuhan atau bercumbuan.
Akhirnya Nabi akur dan mengarahkan Maiz direjam dengan batu dan ketika
direjam, Maiz melarikan diri kerana sakit namun dikejar sahabat dan direjam
sehingga mati. Apabila berita ini sampai kepada Nabi, Nabi berdukacita kerana
bagi Baginda adalah lagi baik dibiarkan Maiz melarikan diri, semoga dia
benar-benar bertaubatbdan Nabi juga bersabda pada sahabat, adalah lagi baik
untuk Maiz merahsiakan dosanya dan memohon taubat pada Allah, daripada dia
mengadu pada Baginda. Begitulah Nabi junjungan kita memberikan contoh ikutan
yang terbaik. Nabi mengajar manusia agar tidak menjadi penghukum kepada
pendosa, Nabi sentiasa menyampaikan kepada manusia bahwa rahmat dan keampunan
itu maha luas, tidak kira sebesar mana dosa yang kita lakukan.
Nabi cuba sedaya upaya untuk tidak menghukum Maiz dan memberinya
ruang untuk mohon taubat pada Allah, Nabi masih bersangka baik pada Maiz
meskipun Maiz sendiri yang mengaku akan dosanya. Nabi tidak mahu ambil tahu
tentang dosa Maiz kerana itu aibnya dan urusannya dengan Allah.Kita manusia
tugas kita menyampaikan, dosa orang lain adalah antara dia dengan Allah. Bukan
tugas kita untuk mengorek aib dan dosa orang lain. Indahnya Islam. Islam bukan
seperti Kristian, dimana pendosa boleh hapuskan dosanya pada paderi di gereja,
buka aibnya kepada paderi itu dan kemudian paderi itu yang memberi hukuman dan
keampunan semudah abc. Ingatlah, Allah
menciptakan Syurga dan Neraka kedua-duanya untuk pendosa.Syurga untuk
pendosa yang sempat bertaubat, manakala neraka untuk pendosa yang enggan dan
tidak sempat bertaubat.
No comments:
Post a Comment