Beragama adalah fenomena sejagat. Hampir semua masyarakat
bertamadun, sedikit sebanyak dipengaruhi oleh pandangan atau pernah melalui
proses orientasi agama atau kepercayaan dalam sejarah pembentukan dan
pengembangan peradaban mereka.Evolusi sosial mengubah orientasi dan pegangan
kepada agama, yang mengakibatkan pemisahan agama daripada pemerintahan seperti
yang berlaku dalam sejarah tamadun Barat dan Islam pada satu masa dulu. Namun,
ia sama sekali tidak terus menidakkan kewujudan dan peranan agama dalam
membentuk nilai dalam sebuah masyarakat hingga kini.Pemikiran sekular walaupun
wujud, contohnya di Barat, nilai agama masih terus bertahan dan berperanan
dalam pembentukan masyarakatnya.Oleh kerana sifat kesejagatan pengaruh agama
membentuk nilai dalam masyarakat, maka kajian mengenai masyarakat tidak akan
lengkap, tanpa melihat agama sebagai antara faktor yang mempengaruhi
pembentukan nilai masyarakat dalam sesebuah negara.
Dalam Islam, nilai agama bertunjangkan kepada tauhid dan
bersendikan akidah. Bagi penganut agama Islam, nilai yang mereka pegang
berpandukan kepada ajaran dan panduan al-Quran dan sunnah. Oleh kerana
sebahagian besar penduduk negara ini beragama Islam, maka tentulah, nilai agama
Islam berperanan dalam sejarah dan membentuk masyarakat Malaysia hingga hari
ini. Sejarah mencatatkan bahawa sejak mempunyai kerajaan, penduduk di Tanah
Melayu beragama Islam. Undang-Undang Kanun Melaka yang wujud dalam pemerintahan
kesultanan Melaka jelas dipengaruhi oleh nilai pegangan Islam dalam masyarakat
Melayu pada waktu itu.Kedatangan penjajah Barat yang menakluki Tanah Melayu
mengubah struktur politik negara ini pada waktu itu. Namun, hingga kepada
penjajahan British, pengaruh dan nilai Islam tidak pernah terpinggir sepenuhnya
dalam pembentukan sistem masyarakat yang membentuk struktur pemerintahan
penjajah pada waktu itu.
Kuasa tertentu, khususnya yang membabitkan adat resam dan amalan
agama Islam terus diberikan kepada raja yang mereka iktiraf.Begitu juga dengan
keadaan apabila rundingan dengan pihak British sebelum negara memperoleh
kemerdekaan. Islam tetap menjadi keutamaan dalam membentuk keputusan masyarakat
Islam dan ia diiktiraf oleh British. Hal ini, dibuktikan apabila pemimpin Islam
yang memperjuangkan kemerdekaan berpendirian tegas untuk memaktubkan dalam
Perlembagaan yang dicadangkan supaya Islam menjadi agama rasmi negara.Perkara
itu juga dipersetujui oleh kaum lain yang mahu turut menjadi anggota kepada
negara baru ‘Malaysia’ yang merdeka. Sebagai kompromi kepada persetujuan yang
dicapai, hak kewarganegaraan diberikan kepada pendatang dari China dan India. Dimaktubkan
juga kebebasan mereka untuk terus mengamalkan agama masing-masing dalam ruang
lingkup perundangan yang ada.
Mengambil kira masyarakat majmuk di Malaysia, tentulah gabungan
nilai yang dapat diterima semua, menjadi pilihan ideal bagi digunakan untuk
membentuk masyarakatnya. Namun, oleh kerana Islam menjadi anutan majoriti
penduduk di Malaysia, nilai yang ditonjolkan tentulah dikaitkan dengan pegangan
agamanya. Sekadar memberikan contoh di negara ini diperkenalkan sistem ekonomi
alternatif yang serasi dengan nilai Islam. Prinsip dan amalan nilai Islam, diterapkan
juga dalam pentadbiran.Nilai lain termasuk usaha membanteras rasuah, membasmi
kemiskinan, mewujudkan keadilan sosial, meningkatkan produktiviti, mewujudkan
masyarakat berintegriti, pengukuhan institusi keluarga, penekanan kepada
pendidikan dan pencapaian ilmu pengetahuan serta sains dan teknologi. Terbaru
kempen mengubah sikap kepada amalan berbudi pekerti tinggi dan amalan nilai
murni dalam masyarakat.
Kalau diteliti, nilai itu sebenarnya bersifat sejagat dan ada dalam
semua ajaran agama.Tidak hairanlah, apabila diterapkan nilai Islam dalam
masyarakat, tiada penentangan atau bantahan daripada mana-mana kumpulan agama
di Malaysia. Semua lapisan masyarakat menerimanya dengan hati dan minda
terbuka.Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, kebebasan beragama sedia terjamin
dalam Perlembagaan negara. Kebebasan ini mewujudkan keharmonian dalam
masyarakat Malaysia sejak kita memperoleh kemerdekaan. Kesefahaman kepada
pengaruh dan peranan nilai agama itu mewujudkan masyarakat yang mampu
bekerjasama dan berinteraksi. Dalam erti kata lain, masyarakat harmoni dalam
menangani masalah yang dihadapi.
Semua agama menyeru kepada kebaikan dan kerukunan dalam perhubungan
sesama manusia. Islam, sebagai agama ‘yang mensejahterakan’ atau ‘agama
keamanan’ sangat menuntut umatnya supaya menghormati sesama manusia, meskipun
anutan agama mereka berbeza daripada Islam. Dalam soal memelihara keharmonian
agama, masyarakat bukan Islam dan Islam mempunyai peranan sama penting. Di pihak
bukan Islam, tuntutan mereka perlu munasabah dan rasional untuk mengelakkan
pertembungan yang merugikan semua pihak. Sikap emosional, keterlaluan,
fanatisme dan terlalu mementingkan diri perlu dibatasi dengan kewarasan dan
rasionalisme yang bertunjangkan keadilan untuk semua.Kalau pun menghadapi
masalah, semua pihak harus memilih perundingan dalam menyelesaikannya. Memilih
jalan konfrontasi dan bertindak di luar batas kemanusiaan seperti melakukan
keganasan harus dielakkan bagi menjamin keutuhan sebuah masyarakat dan negara.
No comments:
Post a Comment