Manusia sering keliru. Mereka hidup seolah-olah sedang mencari yang
pasti dari selain Allah s.w.t.. Padahal, apa yang dicari itu, kalaupun memang
sesuatu yang pasti, tetapi hanya pasti akan berpisah dengannya suatu hari
nanti. Kehilangan itu bermula pada sebuah kehendak untuk mengekalkan apa yang
tidak akan kekal sehingga mengabaikan yang Maha Kekal.Ada orang merasa puas
kerana sekurang-kurangnya dia tidak macam orang lain. Kalau dia ingin berpuas
hati dengan tahap dirinya, maka memadai dia mencari orang yang berada di bawah
tahapnya.Sebab itulah, ada insan yang lalai masih boleh berkata: “Walaupun saya
buat maksiat, tetapi saya juga solat. Ada orang langsung tak solat.” Agamanya
adalah pada ukuran orang lain.Ada juga orang yang terkeliru dengan apa yang
dicari, kemudian menganggap sekelilingnya sebagai yang keliru ketika
berinteraksi dengannya. Ada orang yang tidak sanggup untuk berubah, lalu
mengharapkan orang lain pun tidak berubah sepertinya.
Kalau ada orang yang berubah, dia akan mengatakan: “alah, semalam
orang itu lebih buruk dari saya.” Adakah keburukan manusia semalam itu adalah
cerminan hari ini-nya atau masa depannya, sedangkan yang lalai tidak pun mula
melangkah menuju sebarang perubahan. Jutaan keburukan semalam bisa Allah s.w.t.
langsaikan sekelip mata dengan keampunan, bagaimana itu tidak menjadi motivasi
untuk kembali kepada Tuhan? Akhirnya, bukan hidup kita sebagai Tuhan untuk
menilai agama orang lain, tetapi tidak melakukan apa-apa untuk agama sendiri.Jangan
jadikan kebaikan kita adalah pada kejahatan orang lain. Memang mudah melakukan
kebaikan dengan mengukur keburukan orang lain sebagai definisi kebaikan.
Seorang yang tidur walaupun tidak buat apa-apa kebaikan tetapi lebih baik
daripada seorang yang mencuri. Tapi, takkan itu alasan untuk terus tidur tanpa
melakukan tugas kehambaan?
Hidup kita adalah tentang kita. Bahkan, hubungan kita kepada orang
lain dan dengan orang lain adalah tentang kita, iaitu tentang kita menjadi
hamba Allah s.w.t melalui mereka semua. Bukan tugas kita memasukkan sesiapa ke
neraka dan tidak pula kita layak memasukkan sesiapa ke dalam syurga. Tetapi,
kita diamanahkan untuk menguruskan hidup kita sebagaimana yang Allah s.w.t.
kehendaki. Sekeliling kita adalah cara menyempurnakan diri kita, bukan sebab
untuk merasa diri sempurna. Beza antara menyempurnakan diri kita (takmil)
dengan merasa diri sempurna (kamal) adalah, asas menyempurnakan diri adalah
kita merasa diri kita serba kekurangan dan perlu melakukan pembaikian diri dan
terus menyempurnakan kekurangan diri dan tidak pernah berhenti
menyempurnakannya. Ini kerana, tidak ada kesempurnaan yang tidak boleh
disempurnakan lagi dalam diri seseorang insan.
Adapun orang yang menjadikan persekitaran sebagai sebab untuk
merasa diri sempurna, maka dia akan membandingkan dengan mereka yang lebih
buruk daripada dirinya, atau mencari kesalahan setiap manusia, lalu tidak
melakukan apa-apa kerana merasakan dirinya sudah sempurna dan lebih banyak masa
untuk menilai keburukan orang lain dan menghukum sekeliling. Memang semua orang
ada kesalahan, sebagaimana semua orang ada kebaikan.Mengapa buang masa dengan
keburukan orang untuk tidak melakukan perubahan diri, sedangkan boleh
menjadikan kebaikan orang sebagai contoh ikutan untuk memperbaiki diri?
Katanya, hidup di dunia cuma sekali. Adakah sekadar untuk tidak melakukan
apa-apa, merasa puas dengan diri sendiri, mengejar kepuasan diri dan menilai
manusia di sekeliling, lalu akhirnya mati?
Semua orang berhak memberi pandangan. Tetapi, bukan semua perkara
akan mengikut persepsi yang kita inginkan. Hakikat itu wujud sebelum kita
diciptakan. Hakikat kita adalah makhluk yang diadakan daripada tiada tidak akan
berubah setelah kita ada. Hakikat kita adalah milik Tuhan yang menciptakan kita
tidak pernah berubah sekalipun kita rasa memiliki segala-gala yang kita
inginkan. Adakah kita yang tidak pernah menciptakan apa-apa dalam kehidupan
kita, layak memiliki apa yang diberi oleh Tuhan dalam kehidupan kita, tetapi
kita tidak merasakan kelayakan Allah s.w.t untuk memiliki kita, sedangkan kita
ini diciptaka oleh-Nya?
Kita boleh memilih untuk tidak mahu melihat Allah s.w.t. dalam
kehidupan. Tetapi, dengan tidak mahu melihat Allah s.w.t., tidak menyebabkan
Allah s.w.t tidak melihat kita, dalam kehidupan kita. Kita sangka kita lakukan
apa yang betul, tetapi apa yang betul tidak pernah mengikut apa yang kita
sangka. Kalau kita yang lalai menyangka, bahawa kelalaian itu adalah kefahaman
terhadap kehidupan, mengapa kelalaian itu akhirnya terhenti dengan kematian?
Apa gunanya kita faham “kehidupan” tanpa memahami kematian? Kehidupan duniawi
semakin menjauhi kita sedang kematianlah yang semakin menghampiri kita. Apabila
orang kata: “kubur masing-masing”, maka jawapannya: “maka sebab itulah nasihat
ini diberikan wahai teman”. Jangan kelalaian semalam menjadi sebab untuk
kelalaian esok.
No comments:
Post a Comment