Tiada siapa dapat menghalang kekuasaan Allah. Punca pelbagai
bencana alam yang berlaku adalah disebabkan kemelut dan krisis yang sengaja
diciptakan manusia itu sendiri. Sebahagian manusia hari ini seolah-olah hilang
keyakinan untuk menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah di bumi Allah ini. Disebabkan
kerenah dan krisis yang berlaku di kalangan manusia itulah juga barangkali
Allah sengaja menimpakan bencana ke atas segelintir hamba-Nya sebagai ujian dan
takdir yang tidak dapat ditolak. Sebagai hamba yang sentiasa meyakini akan
keadilan Tuhan, maka sudah sewajarnya kita sama-sama merenungi dan menghayati
apa yang tersirat di sebalik ujian dan bala yang telah menimpa kita.
Sesungguhnya hanya dengan keyakinan, iltizam, istiqamah dan
keinsafan yang mendalam saja akan membolehkan kita mencari kekuatan dalam diri
bagi mengimarahkan bumi Allah dengan perbuatan yang diredai kerana kita
hanyalah makhluk Allah yang dipinjamkan sementara untuk menetap di alam fana
ini.Setiap apa juga kerakusan dan keterlanjuran yang berlaku bukanlah
disebabkan pihak tertentu saja, ia mungkin disebabkan rentetan peristiwa yang
berpanjangan akibat dari keegoan manusia itu sendiri untuk menguasai muka bumi
ini secara total dan sering menganggap orang lain tidak ubah seperti hamba.Tanpa
sikap toleransi dan saling faham memahami, tentu saja pelbagai kejadian negatif
akan cepat mudah meletus.
Apabila tercetusnya pertelingkahan, permusuhan dan dendam, sudah
pasti akan meletuslah perbalahan yang akhirnya hanya memusnahkan sebahagian
besar makhluk di muka bumi. Berdasarkan
peringatan dari Allah kepada kita ini, Allah berhak untuk menurunkan apa juga
ujian ke atas hamba-Nya yang tidak bersyukur dengan nikmat dan kurniaan-Nya.
Bahkan melakukan perbuatan yang sentiasa mengundang kemurkaan Allah.Ada
waktunya Allah hanya menurunkan malapetaka kecil. Ia adalah amaran daripada
Allah agar manusia segera menghentikan daripada berbuat sesuatu yang boleh
mengundang kemarahan-Nya.
Tetapi, apabila datang bala yang lebih besar, maka ia bukan lagi
sebagai ingatan dan amaran, sebaliknya adalah bencana yang sengaja diturunkan
Allah untuk memberi pembalasan di atas kerakusan manusia.Lebih malang, apabila
berlaku bencana Allah, ramai manusia yang tidak berdosa akan turut menjadi
korban. Di sinilah pentingnya konsep ‘berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan
dengan kesabaran. Keengganan menunaikan tuntutan agama seperti mengeluarkan
zakat,tidak melaksanakan solat dan sebagainya juga adalah salah satu hal yang
boleh mengundang kemurkaan Allah.
No comments:
Post a Comment