Kita sering didedahkan dengan berita mengenai binaan atau bangunan
yang retak dan runtuh kerana kelalaian manusia sendiri, seperti tidak mematuhi
spesifikasi atau prosedur ditetapkan. Pastinya kesusahan akibat masalah itu
amat dirasai hingga menjejaskan hampir keseluruhan minda dan perasaan mereka
yang menanggungnya selagi tidak diselesaikan. Fenomena buruk tidak disukai
sesiapa saja kerana ia boleh mengakibatkan pelbagai bencana malah kehilangan
harta serta nyawa. Sesuatu yang perlu disedari ialah kebanyakan kerosakan di
dunia ini berpunca daripada sikap buruk manusia sendiri. Allah SWT menegaskan
melalui firman-Nya bermaksud: “Sudah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana
di darat dan di laut dengan sebab apa yang dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya
yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan
perbuatan buruk yang mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan
bertaubat).” (Surah ar-Rum, ayat 41)
Berlainan dengan kerosakan fizikal yang mudah dilihat dan diperbaiki,
kerosakan spiritual atau kerohanian tidak dapat dilihat dengan nyata
menyebabkan ia kurang diberi perhatian.Contohnya, tanda rosak rohani seperti
mengabaikan solat, puasa atau sering melakukan perkara ditegah syarak, kita
kurang memberi perhatian untuk membaikinya.Apabila dibiarkan ia menjadi lebih
bahaya, bukan saja boleh mengundang pelbagai keburukan kepada diri sendiri,
bahkan masyarakat, negara dan ummah seluruhnya.Mutakhir ini, pelbagai isu
berkaitan kerosakan rohani seperti masalah keruntuhan akhlak, gejala sosial dan
pelbagai jenayah bagaikan api dalam sekam yang boleh mengancam kesejahteraan
hidup individu serta masyarakat.Hidup dalam perspektif Islam seperti disimpulkan
daripada mafhum ayat 77 surah al-Qasas ialah memenuhi keperluan dan
tanggungjawab di dunia ini sebagai jambatan menuju kehidupan yang kekal abadi
di akhirat.
Justeru, peraturan hidup Islam perlu dipatuhi kerana berdasarkan
firman Allah, jelas menunjukkan pelbagai kerosakan di dunia ini berpunca
daripada manusia sendiri.Kepincangan dalam masyarakat yang terhasil melalui
pelbagai bentuk jenayah dan perlakuan buruk manusia adalah manifestasi
pengabaian terhadap peraturan agama dan perkara pokok dalam usaha memelihara
agama daripada runtuh ialah ibadat solat.Rasulullah SAW bersabda yang
maksudnya: “Sembahyang itu tiang agama, sesiapa yang meninggalkannya maka
sesungguhnya ia meruntuhkan agama.”Hadis itu membuktikan pentingnya solat dalam
hubungan manusia dengan kehidupan kerana solat menjadi pengemudi seseorang itu
dalam segala tindak tanduknya.Ini kerana seseorang yang melaksanakan ibadat
utama itu tentunya lahir daripada keimanan yang kental terhadap Allah SWT.
Allah SWT memberi jaminan bahawa ibadat solat dapat mencegah
seseorang itu daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar melalui firman-Nya,
“... dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu
mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar.” (Surah al-'Ankabut, ayat
45). Jika diperhatikan dengan penuh keinsafan dan kesedaran, kita tentu gusar
melihat pelbagai kemungkaran berlaku yang menandakan betapa ramai orang sedang
membina keruntuhan. Jika diambil satu dosa iaitu dosa meninggalkan solat,
agaknya berapa ramai yang sedang mengumpul dosa lantaran setiap waktu tidak
menunaikan solat bak kata pepatah Melayu, ‘sedikit-sedikit lama-lama jadi
bukit.’Yang pasti saban hari ada umat Islam sedang membina keruntuhan, lantaran
mengumpul dosa dengan mengabaikan kewajipan agamanya.
Setiap individu Muslim sepatutnya sentiasa berusaha membina iman
dan amalnya dengan melaksanakan perintah Allah SWT dan menjauhi segala
larangan-Nya, bukan membina keruntuhan dengan meninggalkan perintah dan
melaksanakan larangan-Nya.Umat Islam sewajarnya sentiasa menaruh bimbang akan
kemungkinan terkena janji Allah SWT seperti diceritakan di dalam al-Quran
mengenai kaum yang dikenakan azab dan bencana disebabkan mereka tidak beriman
dan melakukan dosa.Sebaliknya umat Islam hendaklah mempunyai hati dan fikiran
yang bersih sebagai cermin iman yang luhur untuk menikmati janji Allah dalam
firman bermaksud: “Sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertakwa,
tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang
melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi.” (Surah al-A'raf, ayat 96).
Setiap peristiwa di dunia ini mempunyai hikmah pengajaran dan
iktibar untuk direnung seperti kisah dalam al-Quran mengenai sesuatu kaum atau
negeri yang dihancurkan lantaran penduduknya melakukan pelbagai dosa dan
kemungkaran.Masa untuk bermuhasabah menginsafi diri sentiasa luas terbentang
seperti kata-kata bijak pandai yang mengingatkan kita, “Sekiranya sesat di
hujung jalan, baliklah ke pangkal jalan.”Oleh itu, umat Islam tidak harus
terleka membina keruntuhan, sebaliknya binalah kekuatan diri, kukuhkan negara
dan ummah.
No comments:
Post a Comment