Ramadan yang penuh keberkatan ini disambut di seluruh dunia secara
serentak. Oleh kerana kedudukan negara-negara kita berlainan dari sudut
geografi, kita tidak dapat menyambutkan pada satu ketika yang sama. tetapi semuanya
menyambut pada satu tarikh yang sama yakni kemunculan anak bulan Ramadan di
tempat masing-masing. Sesungguhnya Ramadan membayangkan kesejagatan dan
perpaduan Islam. Pada setiap ketika, setiap detik dalam 24jam sehari, kita akan
mendapati ada saja umat Islam yang sedang berpuasa, yang sedang berbuka, yang
sedang bertarawih, membaca al-Quran, bersahur dan pelbagai aktiviti lain
meraikan Ramadan mubarak ini.Kita dapati umat Islam tediri dari pelbagai jenis
warna kulit, bangsa, kaum, bahasa dan kebudayaan. Namun dengan sambutan Ramadan
yang serentak; mereka bersatu dalam kepelbagaian ini. Jelas terserlah ruh ayat
Allah: Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi
semesta alam. (Surah al-Anbiyaa’:107)
Kesatuan dalam kepelbagaian ini adalah ciri penting Islam. Kita
berbeza bukan sekadar budaya dan warna kulit tetapi kadangkala sehingga dalam
beberapa hal cara beribadah. Namun kita tetap bersatu di atas perkara pokok dan
prinsip.Misalnya tiada umat Islam yang mempertikaikan kewajipan puasa pada
bulan Ramadan, tiada yang tidak bersetuju bahawa awal puasa ialah pada satu
Ramadan, tiada yang membangkang jika dikatakan yang sakit dan dalam perjalanan
dibenarkan berbuka dan tiada yang mengatakan solat malam pada bulan Ramadan itu
amat digalakkan. Ini adalah perkara-perkara pokok dan prinsip dan tidak ada
pertikaian mengenainya. Namun di kalangan kita mungkin berbeza dari segi cara
menentukan tarikh 1 Ramadan atau samada “orang yang dalam perjalanan yang mudah
perlu berpuasa atau tidak” dan samada “ solat tarawih itu 20 rakaat atau 8” dan
seumpamanya. Perbezaan pendapat yang kecil sedemikian tidak semestinya tidak
menunjukkan ketidaksatuan; asalkan semuanya berdasarkan hujah dan nas yang
kuat.
Perkara furu' dan khilafiyah seperti itu tidak sepatutnya menjadi
penyebab kepada perpecahan. Kita perlu menghormati kebebasan yang Islam berikan
dalam berbeza pendapat. Islam mengajar kita bertoleransi dan berpegang dengan
adab dan akhlak ketika berlaku perbezaan pendapat. Para sahabat pernah berbeza
pendapat dalam bab puasa dalam perjalanan. Lihat sikap mereka. Anas bin Malik
berkata: "Kami sedang bermusafir bersama dengan Rasulullah (saw) semasa
Ramadan dan di kalangan kami ada yang berpuasa, ada yang tidak berpuasa.
Golongan yang berpuasa tidak menyalahkan orang yang tidak berpuasa dan golongan
yang tidak berpuasa tidak menyalahkan orang yang berpuasa.(Hadis Riwayat
Bukhari and Muslim). Itulah sikap sahabat-sahabat Nabi SAW yang harus kita
contohi. Tidak ada sebab untuk kita merendah-rendahkan amal perbuatan orang
lain atau merasa diri kita lebih besar, lebih hebat, lebih banyak amal, lebih
wara’, lebih tinggi darjat taqwa berbanding dengan mereka yang mempunyai
kelainan dari sudut perkara¬perkara khilafiyah sebegini.
Ingatlah pesanan Allah: Hai orang-orang yang beriman, janganlah
suatu kaum men golok-olokkan kaum yang lain (karena) boleh jadi mereka (yang
diolok-olokkan) lebih baik dari mereka (yang men golok-olokkan) (Surah
al-Hujurat: 11). Berhati-hatilah dengan jarum-jarum halus yang bakal merosakkan
amal kita. Jangan dilayan perasaan bahawa kita lebih baik dari mereka kerana
kita melaksanakan sesuatu amal yang lebih lebih banyak, lebih kerap, lebih
sempurna sambil kita memandang rendah orang lain. Boleh jadi juga dalam
keghairahan mencari yang lebih ‘benar’ dan lebih ‘banyak’ kita terpedaya dengan
tipu-daya hawa nafsu kita yang memesongkan.Ingatlah, sebaik sahaja kita merasa
diri kita lebih taqwa dari orang lain, di ketika itu bukanlah layak lagi kita
digelar bertaqwa!
No comments:
Post a Comment