Rasulullah telah buktikan hanya ketakwaan senjata paling berkesan
pertahan agama dan tanah air tercinta. Perubahan peradaban manusia berlaku amat
pantas. Islam yang suatu ketika dulu begitu gemilang, kini jatuh tersungkur di
tangan Barat yang mendominasi dunia terutama dari segi ekonomi. Umat Islam
dalam sejarah adalah kuat serta pernah menakluki dua pertiga dunia, tetapi pada
hari ini mereka ditindas, dihina dan diusir dari tanah air sendiri selain
dilabel dengan imej negatif atau pengganas. Berita keganasan, pembunuhan dan
pencerobohan dilakukan kuasa besar Barat terhadap umat Islam bukan perkara baru
kerana berlaku sejak lama dulu sehingga hari ini penindasan itu masih
berleluasa. Keganasan dan penindasan di Palestin, Lubnan, Myanmar, Syiria,
Bosnia dan paling hampir dengan negara kita seperti Thailand berlaku tanpa
pembelaan sewajarnya. Sehingga kini entah berapa banyak nyawa terkorban, harta
musnah dan air mata tumpah membasahi bumi. Peristiwa ini sungguh mengguris jiwa
umat Islam.Hari ini, ramai pemimpin negara Islam lantang menyeru umat Islam
bersatu bagi menyelamatkan negara daripada penjajahan. Namun, usaha
merealisasikannya bukan saja kabur, malah tidak bersungguh-sungguh serta tidak
jelas dari segi matlamat dan kaedah yang mesti dilaksanakan.
Bagaimanakah negara Islam boleh bersatu jika segala ideologi yang
menyesatkan seperti sekularis, komunis, sosialis dan kapitalis masih digunakan
pemimpin Islam sendiri. Ideologi bertentangan Islam patut ditolak oleh umat
Islam. Jika kita lihat ketika ini kesatuan Islam masih lemah dan keadaan
menjadi lebih buruk apabila umat Islam mengalami masalah dalaman sesama sendiri
di samping masalah luaran dengan negara Islam lain. Negara Islam hari ini,
secara umum lemah dari pelbagai segi merangkumi politik, ekonomi dan kesatuan
fikrah. Sehingga kini kesatuan dan kekuatan umat Islam secara keseluruhan masih
belum pulih. Kelemahan ini juga menjadikan Barat semakin berani menekan dan
melakukan pelbagai penindasan serta kekejaman terhadap umat Islam.Pemimpin
negara Islam masih gagal mencapai kata sepakat menangani masalah ini, sedangkan
nyawa dan nasib umat Islam seperti di Palestin semakin terancam. Mereka juga
tidak memahami perkara awlawiyyat (keutamaan) sehingga menyebabkan kepentingan
umat dan agama Islam terabai. Kegagalan ini juga mengakibatkan negara Islam
terpaksa tunduk kepada kehendak Barat. Kebanyakan kita mengaku sebagai umat
Islam, namun setakat manakah peranan dan tanggungjawab sebagai saudara seagama
dalam usaha membantu mereka yang ditindas dan apakah sumbangan kita untuk
membantu mereka?
Kini sudah sampai masanya
umat Islam insaf dan melakukan muhasabah diri serta mencari punca di manakah
silapnya. Masyarakat Islam perlu membina kekuatan dalaman dan luaran seterusnya
menjadi umat yang berkuasa dan disegani di seluruh dunia.Pemimpin negara Islam
harus bersatu dan memandang ke depan di samping mengatur strategi efektif ke
arah mencari penyelesaiannya. Antara usaha yang mampu dilakukan ialah
memperkukuhkan kuasa politik, ekonomi, ketenteraan, kesatuan fikrah, akidah,
persaudaraan dan persenjataan supaya segala bentuk penjajahan, penindasan dan
menghina umat Islam dapat dihindarkan. Umat Islam juga perlu berperanan sebagai
individu pengguna yang bijak dengan memboikot barang syarikat Barat yang mengaut
keuntungan untuk menjatuhkan negara Islam. Walaupun usaha ini kelihatan remeh,
jika seluruh umat Islam bersatu hati natijahnya amat besar ke arah mengurangkan
sumber ekonomi Barat yang nyata tujuannya untuk membeli senjata bagi meneruskan
serangan terhadap umat Islam. Umat Islam perlu kembali kepada fitrah iaitu
menghayati serta mengamalkan al-Quran dan hadis sepenuhnya.Dalam dunia serba
moden hari ini, walaupun ada umat Islam yang kuat imannya, tidak kurang juga
yang jauh terpesong daripada landasan Islam.
Ada juga hanya Islam pada nama sedangkan segala kewajipan agama
tidak pernah ditunaikan, malah cara hidup mereka juga seperti bukan Islam.
Perkara ini perlu diambil perhatian supaya umat Islam dan generasi akan datang
menjadi umat yang benar-benar bertakwa kepada Allah SWT serta mantap imannya
seperti umat pada zaman Rasulullah SAW dan zaman sahabat Baginda. Jika perkara
ini gagal ditangani pada peringkat akar umbinya lagi, maka tidak mustahil suatu
masa nanti umat Islam menjadi umat termundur, dihina dan diperlekeh oleh bangsa
asing seperti yang terjadi kepada saudara kita di negara disebutkan sebelum
ini. Oleh itu, sebagai manusia yang dimuliakan dengan akal fikiran dan khalifah
di muka bumi ini, jawapannya tepuk dada tanya iman dan diri sendiri siapakah
kita, apakah tujuan kita dijadikan dan ke manakah kita akan kembali suatu hari
nanti. Apa yang kita miliki hari ini seperti kuasa, pangkat, dan kekayaan harta
benda di dunia ini adalah pinjaman dan ujian semata-mata, maka pergunakan
dengan sebaiknya ke jalan diredai kerana tanpa bekalan secukupnya kita akan
kembali kepada Allah SWT dengan keadaan papa dan hina.
No comments:
Post a Comment